Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 440 - Kamu Mesti Anak Xuan

Chapter 440 - Kamu Mesti Anak Xuan

"Pergilah!" Rong Rui menggerak-gerakkan tangannya menghalau.

Cheng You kebingungan. Apa maksudnya?

Melihat Cheng You terpinga-pinga, Rong Rui menjerkah, "Pergi sekarang!"

Cheng You terus bangun dan berlari keluar. Walau bagaimanapun, dia segera tersedar dia tidak membawa wang. Adakah dia perlu berjalan kaki untuk balik?

Walaupun mereka hanya mengambil masa selama 20 minit ke hotel itu dengan menaiki teksi, dia pasti akan mengambil masa lebih lama jika berjalan. Selepas teragak-agak seketika, Cheng You memutuskan untuk tidak berpatah balik bagi meminta wang daripada Rong Rui dan terus berjalan balik. Lebih setengah jam kemudian, barulah dia tiba di rumahnya. Cheng You melihat ke dalam cermin dan mendapati dagunya sedikit kebiruan. Tetapi ia tidak kelihatan jika dia tidak mendongak. Cheng You membetulkan pakaiannya sebelum menekan loceng pintu rumahnya. Sebaik sahaja pintu itu dibuka, dia melihat wajah yang dia baru sahaja bersumpah tidak akan melihatnya lagi selama dia hidup.

Rong Rui tersenyum sebaik melihat Cheng You dan memanggil, "Emak, Ayah, Youyou dah balik." Mendengar panggilan lelaki itu kepada semua orang, Cheng You merasakan bulu romanya meremang…

Su Qianci dan Li Sicheng masih tidak menemui rumah Song Yifan. Akhirnya mereka terpaksa menelefon lelaki itu. 20 minit kemudian, Song Yifan tiba untuk menjemput mereka. Rumah bapa angkat Su Qianci itu sederhana besar dan kelihatan dihias gaya tradisional. Berbeza dengan rumah lama keluarga Li, rumah keluarga Song lebih kosong.

Di ruang tamu rumah itu, kelihatan gambar nenek moyang dan beberapa patung Tuhan Tuah, Buddha dan lain-lain diletakkan bersama colok. Set perabot yang dibuat daripada kayu pic itu kelihatan lama. Seorang wanita tua yang berambut panjang dan kelabu sedang duduk di atas kerusi. Wanita itu memakai cincin dan gelang emas beserta seutas rantai emas bersama loket jed. Dia kelihatan dalam lingkungan umur 60 hingga 70-an. Anak matanya berwarna kelabu.

Sebaik menyedari ketibaan mereka, wanita itu berpaling dan bertanya dengan gembira, "Kamu dah balik?" Dia bangun dan cuba berjalan menghampiri mereka.

Song Yifan bergegas ke arahnya dan membantunya duduk kembali. "Mak, duduk saja."

Su Qianci dan Li Sicheng berjalan menghampirinya dan menyapa, "Nenek."

Wanita tua itu kelihatan amat gembira. Namun senyumannya terkaku ketika melihat Su Qianci. "Ini…"

Mata Su Qianci terkebil-kebil dan dia menoleh ke arah Song Yifan.

"Tunggu!" Wanita tua itu kelihatan seperti teringat tentang sesuatu dan bergegas ke biliknya. Kemudian dia berjalan keluar dengan membawa satu gambar di dalam bingkai. Dia melihat gambar itu dan Su Qianci silih berganti. Matanya menjadi merah. "Xuan! Kamu mesti Xuan!"

 "Nenek, saya bukan…"

 "Kamu langsung tak berubah! Tapi kenapa kamu sampai hati tinggalkan anak saya? Kamu tahu bagaimana dia hidup selama beberapa tahun ini?" Dia mula menangis sebelum menoleh ke arah Li Sicheng. "Ini siapa?"

Song Yifan segera datang dan berkata, "Mak, Mak dah silap. Ini anak angkat saya, Su Qianci. Saya dah beritahu Mak tentang dia. Ini suami dia, Li Sicheng."

Ibu Song Yifan melihat gambar itu dan membandingkannya dengan wajah Su Qianci. "Kamu sangat mirip dengan dia. Kamu mesti anak Xuan, bukan?"