Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 441 - Rong Xuan Sudah Meninggal

Chapter 441 - Rong Xuan Sudah Meninggal

Song Yifan mengetap bibirnya sambil memandang Su Qianci. Ya, gadis ini pasti anak Rong Xuan. Jika tidak, mana mungkin mereka semirip itu dengan umur mereka juga menepati jangkaan? Tetapi, apa yang boleh dibuat? Su Qianci memang tiada hubungan darah dengannya… Su Qianci ialah Su Qianci. Song Yifan ialah Song Yifan. Walaupun gadis itu memanggilnya "Ayah", mereka berdua tahu mereka tiada pertalian. Anak Ron Xuan bukanlah anaknya. Song Yifan berasa sedikit sedih ketika dia memujuk ibunya, "Mungkin. Mak, duduklah."

Ibu Song Yifan mendengar kata-kata anaknya lalu duduk dan menghulurkan gambar itu kepada Su Qianci. Su Qianci mengambil gambar itu dan melihat empat orang di dalamnya. Ibu Song Yifan duduk di atas kerusi dan seorang gadis cantik yang memakai topi berwarna-warni berdiri di belakangnya sambil tersenyum. Song Yifan yang kelihatan muda berdiri di sebelah kiri manakala Sheng Ximing berdiri di sebelah kanan gadis itu. Mereka bertiga berumur 20-an di dalam gambar itu. Jadi ini rupa mereka dahulu, fikir Su Qianci. Dia merenung Ron Xuan yang berdiri di tengah-tengah dan teringat wanita angkuh yang dijumpainya di hospital tempoh hari.

Betulkah mereka orang yang sama?

"Dulu, Xuan pernah pengsan di gunung dan Yifan yang selamatkan dia dan bawa dia balik ke sini," Ibu Song Yifan mengenang kembali. Suaranya perlahan dan kedengaran dingin. "Waktu itu, dia baru berumur 18 tahun. Kulitnya halus dan wajahnya sangat cantik."

Su Qianci yang duduk di sofa mendengar kata-kata itu dan memegang tangan Li Sicheng tanpa sedar. Li Sicheng meletakkan tangannya pada bahu Su Qianci tanpa berkata apa-apa.

"Kota Dan guna nama lain waktu itu. Kota Danxin. Kami sangat miskin ketika itu. Ayah Song Yifan tak setuju gadis itu tinggal di sini sebab kami perlu sediakan makanan untuk seorang lagi. Tapi Yifan merayu. Gadis itu beritahu nama dia Rong Xuan. Suaranya merdu dan wajahnya cantik. Malah dia ada dua lesung pipit. Dia beritahu dia anak yatim piatu dan satu-satunya abangnya juga telah meninggal. Dia larikan diri dari kampungnya disebabkan wabak. Setiap hari Xuan buat semua kerja rumah dan dia sangat rajin. Saya tak sihat, jadi dia jaga saya. Akhirnya saya semakin sihat dan ayah Song Yifan mula dapat menerima dia. Selepas itu dia dan Yifan jadi kekasih. Saya dan suami sangat gembira…" Wanita tua itu berhenti dan menoleh ke arah Su Qianci. "Xuan, kenapa kamu tiba-tiba hilangkan diri? Kamu tahu Yifan hampir gila cari kamu?" Mata tuanya bergenangan dengan air mata dan kelihatan menuduh dan menyalahkan Su Qianci.

Su Qianci berundur dengan tidak selesa dan berkata, "Nenek… Saya… Saya Su Qianci."

"Mak, dia Su Qianci, bukan Xuan. Xuan dah meninggal dunia." Song Yifan memandang Su Qianci dan menjelaskan, "Nenek dah tua. Matanya kurang nampak dan dia juga ada Alzheimer."

"Oh…" Wanita tua itu mengangguk. "Kami aturkan perkahwinan kamu berdua di kota ini dan suami saya jemput semua orang. Tiba-tiba, kamu lari dan hancurkan reputasi kami di sini…"