Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 430 - Dua Kali Diperdaya Su Qianci

Chapter 430 - Dua Kali Diperdaya Su Qianci

Walau bagaimanapun, peluang untuk mendapat straight flush adalah sangat tipis. Adakah wanita ini benar-benar bernasib baik? Lao Jin berasa ragu-ragu dan memandang Su Qianci yang sedang tersenyum lebar. Selepas seketika, dia melipat kadnya dan berkata, "Keluar!"

Tiba-tiba Su Qianci ketawa dan memegang tangan Li Sicheng. "Encik Li, dia keluar!" Kemudian dia menunjukkan kad terakhirnya iaitu A daun sped. Mata semua orang terbeliak sebaik melihat kad itu. Kemudian Li Sicheng turut ketawa kecil.

Lao Jin terus bangun dan menghentakkan tangannya pada meja. "Kau perdayakan aku?"

Su Qianci mengebilkan matanya lalu senyum. "Kelakar betul! Ini cuma permainan. Kenapa kamu marah sangat? Kamu tak tahukah ini kasino? Kenapa salahkan saya atas kebodohan kamu sendiri?"

Li Jinnan tidak dapat menahan ketawa dan mengangkat ibu jarinya tanda bagus kepada Su Qianci. "Hebat! Kamu dah dapatkan kembali apa yang Abang kalah malam ini."

Mendengar kata-kata itu, Su Qianci memandang Li Sicheng. "Berapa banyak kamu kalah?"

"Lebih 20 juta." Li Sicheng mengusap kepala isterinya. "Nak teruskan?"

"Mestilah." Su Qianci tahu nasibnya sentiasa baik di kasino. "Boleh kita teruskan, Encik Jin?"

Lao Jin menjawab, "Dah tentu!"

Walau bagaimanapun, Lao Jin masih terus kalah pada pusingan-pusingan seterusnya. Lebih membuatkannya berang, dia terjatuh ke dalam perangkap Su Qianci sebanyak dua kali. Tidak lama selepas itu, Su Qianci telah menang sebanyak 50 juta. Selepas ditolak nilai kekalahan Li Sicheng, mereka sudah memiliki sebanyak 20 juta. Namun ia masih tidak cukup. Li Jinnan memberitahu Su Qianci tentang perkara yang berlaku kepadanya. Su Qianci berasa marah dan memutuskan untuk terus bermain.

"36 juta. Encik Jin, masuk atau keluar?" Su Qianci memandang lelaki itu dengan tenang sambil tersenyum manakala jarinya mengetuk-ngetuk meja.

Cara pandangannya tidak ubah seperti Li Sicheng. Li Jinnan dan Li Sicheng sendiri dapat melihatnya. Li Sicheng tersenyum dan melihat Lao Jin yang kelihatan ragu-ragu. Lao Jin mempunyai kad yang hebat dengan empat Ace. Tetapi Su Qianci langsung tidak kelihatan gentar.

Lebih menakutkan Lao Jin, Su Qianci sekali lagi memiliki suit yang sama. K, Q, J, 9, kesemuanya daun sped. Jika mempunyai lebih 10 sped, Su Qianci akan menang dengan straight flush. Namun jika kadnya tidak mencukupi 10 sped, Su Qianci akan kalah. Lao Jin berpeluh melihat wajah penuh yakin wanita itu. Dia telah tertipu dengan wajah yakin itu beberapa kali. Dia telah berjaya mengalahkan Li Sicheng kerana nasib Li Sicheng yang malang dan helah minda yang dibuatnya. Tetapi wanita ini bukan sahaja mempunyai nasib yang baik malah bijak dengan permainan minda. Apa yang patut dia lakukan?

"Bos, jangan tertipu lagi. Wanita ini licik."

Lao Jin juga berfikir perkara yang sama. Walau bagaimanapun, bagaimana kalau ia bukan penipuan?

Melihat Lao Jin yang masih ragu-ragu, Su Qianci berkata dengan tidak sabar, "Saya dah mengantuk. Kamu nak main atau tak? Kalau tak, saya nak balik."

Lao Jin berasa berang. Ini adalah kali pertama seorang wanita berkata sebegitu kepadanya. Jika ahli gengnya tahu tentang itu, mereka akan mengetawakannya sepuas hati. Selepas seketika, Lao Jin menolak tokennya ke depan dan berkata, "Masuk! Aku tahu kau tak ada straight flush!"

Permainan terakhir.

Su Qianci melihat token-token Lao Jin dan berkata, "Kamu pasti? Jangan menyesal."

Lao Jin berasa lega mendengar kata-kata itu. "Kau tak patut riak, kan? Tunjukkan apa yang kau ada."

Related Books

Popular novel hashtag