Su Qianci memandang Lao Jin dengan simpati dan membalikkan salah satu kadnya.
Li Jinnan hampir melompat. Malah Li Sicheng turut tersengih. Dia mengusap rambut isterinya dan berbisik, "Bagus!"
Lao Jin melihat kad yang dibalikkan Su Qianci dan menyedari ia ada 10 daun sped. Nafasnya menderu kencang. "Jahanam!" Dia memanggil pembahagi kad. "Sekali lagi!"
"Saya dah selesai," kata Su Qianci sambil menguap dan bersandar pada kerusinya. "Saya sangat mengantuk sekarang. Serahkan loket itu kembali dan kita boleh balik."
"Kau nak balik begitu saja selepas menang?"
Su Qianci membalas kata-kata itu, "Dah tentulah. Adakah saya perlu kalah dulu untuk balik? Tengoklah jam. Saya mengandung dan kamu pasti tak mahu bertanggungjawab kerana mengganggu waktu tidur anak saya. Kamu nak mungkir janjikah? Kamu cakap akan serahkannya kembali jika kami menang."
Melihat situasi itu, Li Sicheng teringat akan sikap Su Qianci sebelum mereka berkahwin. Waktu itu Su Qianci tidak beradab dengan orang-orang kesayangannya. Tetapi sekarang, isterinya itu menggunakan kemarahannya untuk bergaduh dengan orang lain dan itu membuatkan Li Sicheng agak gembira.
Lao Jin terkedu.
Li Jinnan merenung lelaki itu dengan dingin. Dia menyeluk ke dalam jaketnya dan mengeluarkan sepucuk pistol. Dia mengusap pistol itu perlahan dan berkata, "Aku nak bermain dengan kau sebenarnya. Jangan paksa aku lakukan ini."
Melihat pistol itu, orang-orang bawahan Lao Jin mula risau dan berbisik, "Apa patut kita buat? Betulkah kita nak serahkan kembali jed itu?"
Wajah Lao Jin berubah pucat. "Ada aku cakap aku tak akan serahkan? Apa kau buat ni?"
"Jadi serahkannya sekarang dan jangan cakap banyak!" Li Jinnan kelihatan bengis.
Lao Jin menarik nafas dalam sebelum menanggalkan seutas rantai bersama loket jed dari lehernya yang disembunyikan di bawah kot bulunya. Kemudian dia melemparkan loket jed itu kepada Li Jinnan.
Li Jinnan terkejut dan segera menangkapnya. Sebaik memeriksa jed itu dan mendapati ia dalam keadaan baik, dia menghembus nafas lega.
"Jom," kata Li Sicheng.
Li Jinnan mengangguk. "Kamu berdua pergi dulu."
Dia takut mereka akan menyerang secara sembunyikah?
Lao Jin membentak, "Aku tak sekeji itu."
Li Jinnan ketawa. "Jangan salah faham. Aku cuma nak ambil duit kami. Kau minta 50 juta. jadi kau boleh kira 50 juta dan terus ambil. Selebihnya milik kami."
Lao Jin bertambah kecewa. Dia mengarahkan orang-orang bawahannya untuk mula mengira.
Su Qianci menguap dan melihat jam. Sudah hampir pukul 11 malam. Patutlah dia berasa sangat letih… Li Sicheng membawanya ke bawah dan meminta penjaga pintu mengambilkan keretanya. Selepas menunggu lebih 10 minit di dalam kereta, Li Jinnan masih tidak kelihatan. Su Qianci bertanya dengan risau, "Kenapa dia tak datang-datang? Cuba kamu pergi tengok."
"Okey. Tunggu dalam kereta." Li Sicheng mencium pipi Su Qianci dan keluar dari kereta.
Selepas beberapa minit, Su Qianci sudah tidak tahan menunggu. Lao Jin tidak kelihatan seperti lelaki yang baik. Bagaimana kalau ada apa-apa yang buruk telah terjadi? Dia cuba menelefon Li Sicheng sebelum mendapati telefon itu telah dimatikan. Dia tidak mempunyai nombor telefon Li Jinnan. Su Qianci keluar dari kereta dan berjalan ke arah Star City.