Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 424 - Menyegarkan dan Seronok

Chapter 424 - Menyegarkan dan Seronok

"Tak sangat." Li Jinnan memaut bahu ibunya. "Mana Atuk?"

"Dalam bilik dia. Mari, Ibu bawa kamu jumpa Ayah." Ketika Qin Shuhua baru sahaja mahu menarik Li Jinnan pergi, pintu bilik Li Sicheng kembali dibuka. Li Jinnan menangguhkan hasrat untuk berjumpa Kapten Li sebaik melihat abangnya itu. Dia berhenti dan berkata, "Abang, tempat biasa."

Li Sicheng mengecilkan matanya dan berjalan ke hadapan. "Jom."

Ketika Su Qianci keluar, dia melihat kedua beradik itu sedang menuruni tangga. Dia menoleh ke arah Qin Shuhua dan berkata, "Ibu, apa yang mereka buat?"

"Entahlah. Dua beradik itu selalu ada rahsia. Mereka dah besar sekarang," kata Qin Shuhua sambil melepaskan keluhan. Dia teringat sesuatu dan berkata kepada Su Qianci, "Mari tengok baju anak kamu yang Mak Cik kamu pos dari luar negara. Ibu akan bawanya ke sini."

"Awalnya?"

"Tak juga. Satu lagi kita kena minta Atuk cadangkan nama untuk anak kamu."

Su Qianci berasa agak janggal. "Kandungan saya belum satu bulan lagi…"

"Baik buat persediaan awal. Mari."

Li Jinnan menghulurkan rokok kepada Li Sicheng dan turut menghisap sebatang. Riak wajah Li Sicheng kelihatan rumit ketika dia memandang adiknya itu. "Kamu dah buat keputusan?"

"Ya."

"Bukan senang nak sampai tahap ini. Kamu dah fikir masak-masak?"

"Saya dah hantar permohonan." Li Jinnan menghembus asap. "Saya dah tak boleh berpatah balik."

Li Sicheng menumbuk bahua adiknya itu. "Ayah akan patahkan kaki kamu."

"Dia boleh lakukannya. Dia boleh ambil kaki saya." Li Jinnan tersenyum seperti budak baik dan nakal pada masa yang sama. "Sekurang-kurangnya Abang sebelahi saya. Saya boleh belajar dari Abang dan terima saja hukuman. Beberapa hari di hospital patut dah cukup."

"Ia sangat menyakitkan," kata Li Sicheng sambil mengeluh. "Terpulang kepada kamu, tapi sayanglah. Tak ramai orang dapat capai apa yang kamu dah capai ni sepanjang hidup mereka."

Li Jinnan mendengar kata-kata itu dan tahu Li Sicheng bersetuju dengannya. Dia menghembus asap rokok dan berkata, "Ini bukan kehidupan yang saya mahukan."

"Kamu nak lakukan sesuatu sendiri?"

"Saya belum ada apa-apa perancangan. Tapi yang pasti, saya tak akan kembali menjadi tentera. Ia sangat membosankan."

Li Sicheng menepuk bahu adiknya dengan simpati dan kagum. "Kalau macam tu, fikir baik-baik sebelum beritahu Atuk dan Ayah."

"Saya akan beritahu selepas Tahun Baru Cina untuk nikmati beberapa hari terakhir ini." Li Jinnan menyengetkan mulutnya dan menumbuk bahu Li Sicheng. "Jom ke parti malam ni, ia sangat menyegarkan dan seronok." 

"Esok Tahun Baru Cina. Kita patut duduk di rumah untuk temankan Atuk. Kamu pun bukannya lama di sini."

"Tak boleh, saya mesti pergi esok. Abang juga."

"Abang kena ada di sini dengan kakak ipar kamu."

"Bawalah dia sekali."

Li Sicheng menjelingnya dan bertanya, "Parti apa?"

"Parti judi," jawab Li Jinnan perlahan. "Saya tak ada wang."

Li Sicheng tidak berkata apa-apa. Sudah agak! Li Sicheng bangun dan memutuskan untuk tidak menjawab.

Liu Sao sedang menyediakan makan malam ketika mereka masuk ke dalam rumah. Qin Shuhua dan Su Qianci sedang duduk di sofa sambil bermain dengan beberapa barang kecil, iaitu baju-baju bayi dan beberapa jenis mainan.

Li Jinnan mengusik, "Ibu, bukankah Qianci baru saja mengandung? Ibu nampak terlebih teruja."

"Apa yang kamu tahu, budak bujang? Pergi cari isteri dulu."