Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 419 - Boleh Tak? Keluarkannya

Chapter 419 - Boleh Tak? Keluarkannya

Kedua-dua lelaki itu menaiki tangga sambil memaut bahu satu sama lain. Luo Zhan mencari kunci di dalam poketnya. Lu Yihan bersandar pada dinding kondo itu yang sejuk dan menunggu Luo Zhan membuka pintu. Kepalanya terasa amat pening. Selepas beberapa minit berlalu, Luo Zhan masih gagal menjumpai kuncinya dan kelihatan panik.

Lu Yihan mula hilang sabar dan berkata, "Boleh tak? Keluarkannya."

Luo Zhan sendawa sambil mencari di semua poketnya. "Peliknya. Mana kunci aku?"

Lu Yihan mendekati Luo Zhan dan cuba mencari di dalam poketnya.

Ting!

Lif tiba bersama seorang gadis yang membawa beg galas. Gadis itu berjalan ke rumahnya, mengeluarkan kunci dan membuka pintu. Lu Yihan dan Luo Zhan langsung tidak mengendahkannya. Ketika Lu Yihan mencari di dalam poket seluar Luo Zhan, dia dapat merasakan sesuatu yang keras. Walau bagaimanapun, seluar Luo Zhan terlalu ketat hingga menyebabkan tangan Lu Yihan tersekat.

"Hei, cuba bertenang. Aku tak dapat keluarkannya."

Gadis tadi menjeling ke arah mereka sebaik mendengar kata-kata itu. Dari sudut matanya, dia melihat dua orang lelaki sedang berdiri rapat antara satu sama lain.

Luo Zhan berkata, "Keluarkanlah. Aku dah bertenang."

"Ia akan patah. Letak kaki kau ke bawah."

Mata gadis itu terbeliak. Dia cepat-cepat masuk ke dalam rumahnya lalu mengintai dari celah pintu. Ketika itu, Lu Yihan mengeluarkan tangannya bersama-sama segugus kunci. Pipi gadis itu bertukar kemerahan. "Haha, mereka bercakap tentang kunci rupanya. Saya ingatkan apa tadi…"

Lu Yihan menggunakan kunci itu untuk membuka pintu rumah Luo Zhan. Sebaik sahaja pintu itu dibuka, Lu Yihan dapat menghidu bau biasa rumah lelaki bujang. Baju, stoking dan skarf bergumpalan di atas sofa. Lu Yihan masuk ke dalam rumah itu dan melihat satu meja panjang bersama tiga komputer yang telah diubah suai di atasnya. Tong sampah di tepi meja itu dipenuhi dengan kotak makanan yang dibungkus dari kedai makan.

Lu Yihan mendongak ke atas dan melihat pelbagai jenis mi segera seperti Kang Shifu, Tong Yi dan beberapa jenama yang belum pernah dilihatnya sebelum ini. Terdapat juga makanan untuk dimakan bersama mi segera seperti sosej, ham dan kimchi…

Lu Yihan mengutuk, "Rumah kamu macam reban ayam." Tidak, sebenarnya reban ayam lebih bersih daripada ini.

Luo Zhan sendawa dan masuk ke bilik air.

Lu Yihan menanggalkan jaketnya dan meletakkannya ke atas sofa. Dia meletakkan tangannya ke bawah tanpa melihat lalu terpegang sehelai stoking busuk. Oh Tuhan…

Lu Yihan berasa marah. Rumah yang kacau-bilau itu membuatkan kepalanya bertambah pening. Selepas dia mengemaskan pakaian-pakaian kotor itu dari sofa, dia mendengar Luo Zhan menjerit, "Perlawanan, perlawanan!"

 "Ayuh," jawab Lu Yihan lalu mencemuhnya. "Reban ayam!"

Luo Zhan tidak menghiraukan cemuhan itu. Dia menghidupkan komputernya lalu ketiga-tiga skrin mula menyala. Kemudian Luo Zhan mengambil sebuah laptop dan melemparkannya kepada Lu Yihan. "Kau boleh guna yang ini."

Ketika jari Lu Yihan menari-nari di atas papan kekunci laptop itu, dia berasa semakin pening dan kesakitan di kepalanya bertambah teruk. Tiba-tiba Luo Zhan muntah.

"Kotor betul…" rungut Lu Yihan. Walau bagaimanapun, sebaik terhidu bau muntah itu, dia juga turut muntah. Kedua-dua mereka akhirnya tidak berhenti memuntahkan segala isi perut. Lu Yihan menanggalkan bajunya yang telah terkena muntah.

Luo Zhan berasa jijik dan berdiri terhuyung-hayang sambil mengelap mulutnya. "Mari. Aku bawa kau ke tempat yang lebih bersih." Dia menarik Lu Yihan ke bilik tidurnya dan terus merebahkan dirinya ke atas katil.

Bilik tidur itu sememangnya jauh lebih bersih. Lu Yihan turut merebahkan dirinya ke atas katil itu. Mereka terbaring sebelah menyebelah dan terus tertidur.

Pada tengah malam itu, Lu Yihan menggigil kerana kesejukan. Dia meletakkan lengannya di atas sesuatu yang hangat seakan relau dan tertidur kembali.