Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 420 - Kucar-Kacir

Chapter 420 - Kucar-Kacir

Luo Zhan ketawa mendengus melihatnya. "Ada baju di dalam almari. Pakailah apa-apa dan berambus!"

Lu Yihan berjalan ke almari itu dan membukanya sebelum terhidu sesuatu yang busuk. Dia hampir termuntah dan segera menutup pintu almari itu. Dia menahan dirinya daripada menumbuk Luo Zhan dan berkata sambil mengetap giginya, "Tak bolehkah kau hidup macam manusia?"

Luo Zhan menaikkan bebola matanya ke atas. "Carilah apa yang sesuai. Aku sayang semua baju aku."

Di bahagian Selatan tiada sistem pemanas. Suhu sekeliling menjadi rendah kerana hujan. Lu Yihan menggeletar lalu merebahkan dirinya ke atas katil dan menarik selimut.

"Hei hei, apa kau buat ni? Aku bukan gay," kata Luo Zhan.

Lu Yihan lebih kuat daripada Luo Zhan, jadi dia berjaya menarik selimut itu dan menyelubungkan tubuhnya. Selimut itu berjaya menghangatkan tubuhnya serta-merta.

Luo Zhan tidak memakai baju. Selepas tersentuh kulit Lu Yihan yang sejuk, dia memutuskan untuk membiarkan lelaki itu mengambil selimutnya. Dia bimbang Lu Yihan akan mati kesejukan dan dia akan dituduh atas dakwaan cuai. Luo Zhan membuka laci meja sisi dan mengambil selimut lain. Dia menyelubungkan selimut itu ke atas tubuhnya lalu membuka almari dan melemparkan beberapa helai pakaian kepada Lu Yihan.

Lu Yihan yang sudah berasa hangat mengutip pakaian itu. Sebaik melihat tanda harga yang masih tergantung pada pakaian itu, Lu Yihan ketawa dan berkata, "Kau rosakkan baju mahal!"

"Kau tak nak? Bagi balik!" kata Luo Zhan sambil menghulurkan tangannya.

Mustahil Lu Yihan akan menyerahkannya kembali. Dia terus menyarung baju dan seluar itu. Walau bagaimanapun, kedua-duanya agak singkat. Lu Yihan bangun dan berdiri di sebelah Luo Zhan. Ketinggian Lu Yihan ialah 161cm, sedikit rendah daripada Li Sicheng tetapi masih tinggi. Namun Luo Zhan pula… Lu Yihan memandangnya dan berkata, "Kau tak sampai 155cm?"

"Bodoh! Aku 158cm lah!" Luo Zhan menghalakan penumbuk dan sempat dielak oleh Lu Yihan.

"Ada jaket tak? Aku sejuk."

"Aku tak ada jaket!"

"Jaket lama pun tak apa."

Lu Yihan berjalan keluar selepas selesai memakai pakaian Luo Zhan. Sebaik sahaja melangkah keluar dari bilik itu, dia hampir pengsan kerana bau yang dihidunya. Lu Yihan tidak faham bagaimana Luo Zhan boleh menjadi penggodam. Rumahnya sangat kucar-kacir!

Lu Yihan berjalan dan melihat sekelilingnya. Bungkusan-bungkusan makanan yang dipesan dari kedai makan, pakaian yang lebih seminggu tidak dibasuh dan produk penjagaan diri yang hampir tamat tempoh, hampir kesemuanya dipenuhi debu. Dia hampir tidak sanggup melihatnya…

Kepala Lu Yihan bertambah pening. Dia melihat pakaian yang dipakainya dan mula mengemas dengan terpaksa. Dia mencampakkan kesemua pakaian kotor ke dalam mesin basuh kemudian mula mengemaskan ruang tamu itu. Setelah bekerja selama dua jam, dia telah siap membasuh tiga bakul pakaian dan telah menjadikan ruang tamu itu berubah sama sekali. Lu Yihan berasa puas hati dengan apa yang telah dilakukannya. Kemudian dia membuka pintu bilik tidur dan mendapati Luo Zhan sedang nyenyak tidur.

Lu Yihan mengambil semua pakaian di dalam almari dan membuang kesemua tanda harga yang ada sebelum mencampakkan kesemuanya ke dalam mesin basuh tanpa mempedulikan materialnya. Selepas meletakkan kesemua pakaian ke atas rak pengering, Lu Yihan meninggalkan nota: Aku buat semua ini untuk bayar baju kau. Tak perlu berterima kasih.

Menjelang tengah hari barulah Luo Zhan terjaga. Dia melihat jam yang menunjukkan pukul satu. Dia ternampak nota Lu Yihan di atas meja sisi tetapi tidak mengendahkannya dan keluar ke ruang tamu untuk mencari baju. Walau bagaimanapun, dia mendapati rumahnya telah menjadi luar biasa bersih. Luo Zhan tidak pernah membayangkan rumahnya boleh menjadi sekemas itu. Pakaian yang berlonggok-longgok telah tiada. Meja, sofa dan lantainya kelihatan berkilauan. Oh Tuhan, Lu Yihan ini lelaki atau bukan?

"Suri rumah yang sempurna!" fikir Luo Zhan. Angin sejuk yang menyapa tubuhnya membuatkannya menggigil. Disebabkan tidak menjumpai sebarang pakaian di ruang tamu, dia masuk ke bilik tidurnya sebelum mendapati almarinya juga telah kosong. Luo Zhan mula tersedar dia tiada apa-apa untuk dipakai selain seluar pendek yang sedang dipakainya. "Tak guna, aku kena berbogelkah?"

Related Books

Popular novel hashtag