Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 382 - Hargai Orang yang Tepat (Bahagian 3)

Chapter 382 - Hargai Orang yang Tepat (Bahagian 3)

Setiap kali dia memerlukan seseorang, lelaki itu akan muncul di hadapannya. Lelaki itu kacak dan sentiasa menguruskan segala-galanya untuknya. Namun dia telah dibutakan oleh Li Sicheng, lelaki yang ditakdirkan untuk orang lain. Tang Mengying telah memikirkan segala perkara itu ketika dia dikurung. Jika dia dapat memutarkan masa, dia tidak akan mengejar Li Sicheng tetapi menghargai Rong Rui… Dia merasakan nasibnya baik kerana masih berpeluang untuk menebus kesalahannya. Selepas melahirkan anak ini, dia akan hidup bersama Rong Rui buat selama-lamanya. Tang Mengying memegang tangan Rong Rui sambil tersenyum. "Rong Rui…"

 "Ya." Rong Rui memegang tangan Tang Mengying, tetapi di matanya sudah tiada cinta yang kelihatan. Tang Mengying sedang berada dalam kesakitan yang teramat dan tidak menyedari perubahan itu.

Tangan jururawat menolak-nolak perutnya. Tang Mengying berkata dalam kesakitan, "Kau tahu, aku dah banyak fikirkan tentang kita… selama beberapa minggu ini."

Rong Rui terkedu dan masih memegang tangannya.

"Selepas aku bersalin, aku akan… berkahwin dengan kau." Tang Mengying tercungap-cungap. Peluh membasahi seluruh wajah dan tubuhnya.

"Kamu perlu berhenti bercakap," kata jururawat di sebelahnya.

Tang Mengying tidak menghiraukan jururawat itu dan terus menggenggam erat tangan Rong Rui. "Boleh kan? Dulu sewaktu kau lamar aku, aku tak setuju. Sekarang, aku dah terima… Kau masih…"

Mata Rong Rui kelihatan dingin di sebalik topeng yang dipakainya. Dia berkata perlahan, "Tak, sudah tak ada lagi." Mendengar jawapan itu, mata Tang Mengying terus terbeliak. Rong Rui melemparkan pandangan yang sangat dingin ke arahnya. "Kau dah bunuh Rong Rui yang dulu. Kau dah lupa?"

Hati Tang Mengying terasa remuk. Kata-kata itu sangat menyakitkan sehingga membuatkannya sukar bernafas. Tang Mengying merasakan seperti sedang memandang seseorang yang tidak dikenalinya. Betulkah ini Rong Rui? Betulkah ini lelaki yang pernah berjanji untuk menjaganya sepanjang hidupnya? Lelaki ini telah berjanji untuk sentiasa ada untuknya, tidak kira dia mencintainya atau tidak. Lelaki ini yang mengatakannya sendiri… Tetapi saat ini, Rong Rui kelihatan sangat dingin. Tiada lagi cinta untuknya. Kenapa, kenapa ini terjadi…

Tubuh Tang Mengying mula menggeletar dengan kuat. Semua doktor dan jururawat terkejut dan menjerit, "Berhenti buat dia beremosi!"

Rong Rui tidak mengendahkan mereka dan menyambung, "Pada saat kau memilih Li Sicheng dan biarkan aku dengan pengawal-pengawal peribadi itu, aku dah mati. Aku bunuh diri di dalam rumah yang kau tinggal. Kau dah lupa?"

Tang Mengying yang terseksa fizikal dan mental terus menjerit, "Ahhhhh…"

"Keluar! Keluar sekarang!" Seorang doktor menolak Rong Rui dan meleraikan tangannya dan tangan Tang Mengying secara paksa. Dia terus menendang Rong Rui keluar dari bilik itu.

Walau bagaimanapun, nafas Tang Mengying semakin kencang. Dia memegang susur katil dan menjerit sambil merenung belakang tubuh Rong Rui, "Kenapa, kenapa…" Kata-kata dan sikap lelaki itu memusnahkan harapannya. "Rong Rui, Rong Rui!" Tang Mengying terus berteriak. "Kenapa…"

Kau dah bunuh Rong Rui yang dulu. Kau dah lupa?

Kau dah lupa…

"Tak guna. Emosinya sangat tidak stabil dan dia kehilangan banyak darah…"