Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 383 - Saya akan Jaga Kamu

Chapter 383 - Saya akan Jaga Kamu

Sebaik Rong Rui ditendang keluar dari bilik bersalin itu, Cheng You terus datang ke arahnya. Dia melihat darah pada baju pelindung yang dipakai Rong Rui dan bertanya, "Apa yang berlaku?"

"Tak ada apa-apa." Rong Rui berpaling dan berjalan pergi.

"Apa maksud kamu?" Cheng You agak marah dan mengekorinya. "Kamu baru masuk ke dalam. Dia dah bersalinkah?"

"Belum."

"Kamu belum serahkan klip video itu."

"Aku dah serahkannya kepada Luo Zhan." Suara Rong Rui kedengaran dingin. Dia menanggalkan baju dan topeng pelindungnya semasa berjalan.

"Video itu ada dengan Luo Zhan?"

"Ya." Rong Rui mencampakkan baju dan topeng pelindung itu ke dalam tong sampah. Kemudian dia duduk di bangku yang terletak di hujung koridor itu.

Cheng You berasa agak jengkel dengan sikap acuh tidak acuhnya. Dia berpaling untuk pergi dengan wajah yang menahan marah. Tiba-tiba tangannya ditarik oleh Rong Rui. Cheng You berpaling dan melihat mata coklat lelaki itu sedang merenungnya. Jantung Cheng You mula berdegup laju.

"Aku cakap aku akan jaga kau. Kau tak perlu bimbang."

Kata-kata Rong Rui itu menaikkan darah Cheng You. Dia menarik tangannya dari genggaman Rong Rui dan menendang lelaki itu dengan marah menggunakan kasut tumit tingginya. "Jaga saya? Saya tak akan pernah keluar dengan lelaki jahat macam kamu."

Li Sicheng dikelilingi rakan-rakan Atuk, rakan-rakan ayahnya dan rakan-rakan sejak kecilnya yang sentiasa mengusiknya kerana tidak banyak bercakap. Selepas meneguk beberapa gelas wain, wajahnya kelihatan sedikit kemerahan. Selepas selesai minum, semua orang mahu berjumpa dengan isterinya. Pandangan Li Sicheng menjadi lembut sebaik sahaja dia bercakap tentang Su Qianci. Rakan-rakannya menyedari perkara itu dan ketawa.

Li Sicheng menelefon Su Qianci, tetapi panggilannya tidak dijawab. "Tunggu di sini. Saya pergi panggil dia." Li Sicheng meletakkan gelasnya dan tiba-tiba teringat sesuatu. "Nanti jangan suruh dia minum. Dia cepat mabuk." Tambahan pula, isterinya itu akan bersikap aneh selepas mabuk… Dia masih ingat bagaimana kelakuan isterinya selepas mabuk ketika mereka di Maldives.

"Tenang. Kami tak akan buat begitu."

"Hari ini sasaran kami adalah kau."

Semua rakannya ketawa. Li Sicheng lega mendengar janji itu dan berjalan ke dapur. Walau bagaimanapun, dia mendapati Su Qianci tiada di situ. Dahinya berkerut dan dia bertanya, "Mana isteri saya?" Semua cef di situ tidak tahu. Dia cuba menelefon Su Qianci lagi, tetapi panggilan itu tidak dapat disambung. Dia mencari di sekitar dewan itu tetapi masih gagal menjumpainya. Entah kenapa, dia mula berasa panik. Hanya ada beberapa tempat yang Su Qianci mungkin pergi. Malah isterinya itu juga tidak menjawab panggilannya. Apa yang berlaku?

Ou Ming dan Yu Lili sedang bersembunyi di satu sudut sambil bercium. Apabila melihat Li Sicheng mundar-mandir, Ou Ming tidak dapat mengelak daripada bertanya, "Hei, kau kenapa?"

"Isteri aku tak dapat dikesan. Tolong aku cari dia."

Ou Ming ketawa mengejek. "Kau takut dia hilang? Mungkin dia di bilik air? Yu Lili, pergi cari dia."

"Okey, nanti saya datang." Yu Lili segera ke bilik air untuk mencari Su Qianci.

Entah kenapa hatinya berasa cemas. Li Sicheng tidak pernah berasa sebegitu sebelum ini. Kali kelima dia menelefon isterinya, barulah panggilan itu akhirnya dijawab.