Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 366 - Dia Tidak Buta

Chapter 366 - Dia Tidak Buta

"Ada seseorang di situ. Siapa?" salah seorang wartawan menjerit. Kemudian kesemua mereka menoleh ke arah tempat duduk belakang kereta mewah itu dan melihat satu tangan yang berkulit cerah memegang tangan Li Sicheng, diikuti dengan sepasang kasut tumit tinggi berwarna hijau dan skirt hijau. Wanita itu juga memakai kot kahsmir berwarna cerah. Rambut hitamnya diikat ekor kuda. Wajahnya sedikit kemerahan disebabkan kesejukan penghawa dingin di dalam kereta. Wartawan-wartawan itu yang melihatnya dari dekat menyedari kulit wanita itu langsung tiada cela. Wajahnya yang cantik itu sangat dikenali oleh semua wartawan. 

"Puan Li!"

"Betullah Puan Li. Hai Puan Li, saya dengar Encik Li ada perempuan simpanan. Kamu dah tahu tentangnya?"

"Sewaktu sidang media tempoh hari, Cik Tang mengaku dia sedang mengandung anak Encik Li. Sekarang kami dengar Encik Li ada perempuan simpanan. Kamu dah tahu tentang itu?"

"Puan Li…"

Wartawan-wartawan itu mengambil gambar dari pelbagai sudut. Su Qianci mengerutkan dahinya dan memaut lengan Li Sicheng. Dia mengemaskan kot yang dipakainya dan berkata dengan tenang, "Encik Li tak buta."

Ayat itu membuatkan semua orang terdiam.

Mata dingin Li Sicheng menjadi lembut dan dia berbisik, "Jom."

Su Qianci mengangguk dan mengikutnya masuk ke dalam bangunan pejabat itu. Dia dibawa ke tingkat teratas sambil dipandang cemburu oleh orang ramai. Kata-katanya telah menjadi tular di Internet. Pengikut akaun Weibonya telah bertambah sebanyak beberapa juta lagi dan menghampiri jumlah pengikut penulis-penulis blog terkenal. Berita yang disebarkan oleh Tang Zhenghao demi memusnahkan Li Sicheng dan syarikatnya terus tenggelam begitu sahaja. 

Di bilik pejabat CEO syarikatnya, Tang Zhenghao menghempas beberapa buah dokumen ke meja sambil membentak, "Tak guna!" Pada malam sebelumnya, dia telah mengupah seseorang untuk membocorkan maklumat tentang perempuan simpanan Li Sicheng yang berada di sebuah rumah berasingan. Walau bagaimanapun, kata-kata Su Qianci membazirkan segala usaha dan wangnya.

Setiausaha Tang Zhenghao yang masih muda meneguk minuman dan kemudian berkata, "Li Sicheng juga dah upah pempengaruh. Penggodam Z itu diupah oleh Li Sicheng, jadi tak hairanlah kita akan kalah kepadanya di Internet."

Tang Zhenghao tahu benar tentangnya, tetapi kebenaran itu terasa pahit untuk ditelan. Dia mengetapkan giginya dan berkata, "Pergi dapatkan dua orang penyiasat peribadi dan suruh mereka ikut dia 24 jam. Satu lagi, dapatkan wartawan paling terkenal untuk saya. Saya tak percaya anak saya masih belum ditemui."

Setiausaha itu mengangguk. "Baiklah."

"Dapatkan juga penggodam untuk godam telefon bimbit dan komputer Li Sicheng. Saya percaya pasti ada bukti di mana-mana."

"Satu lagi, cari seseorang untuk saya. Dia agak rapat dengan anak saya dan sangat berkebolehan. Nama dia Rong Rui."

"Baik."

"Saya tak percaya Li Sicheng itu tak dapat ditewaskan," kata Tang Zhenghao sinis. "Ingat, jangan tinggalkan apa-apa jejak."

"Okey. Saya akan cari orang-orang yang boleh dipercayai untuk kerja-kerja ini." Setiausaha itu mencatat di dalam bukunya dan mendongak. "Bos, dah tiba masanya kita bertemu dengan Shengfeng. Mereka baru telefon saya tadi… tapi kontrak itu dah berubah."

"Berubah bagaimana?"

"Mereka tambah pesanan mereka sebanyak lima kali ganda."

Mata Tang Zhenghao kelihatan bersinar. "Betulkah? B

Setiausaha itu mengangguk tetapi kelihatan teragak-agak. "Tapi, kerosakan cecair juga dah bertambah lima kali ganda."