Sungguh licik! Dia patut sudah menjangkakannya. Melihat daripada sikap teruk Li Sicheng, dia tidak mungkin akan memberi kerjasama di bawah ugutan mereka walaupun jika dia menyukai Tang Mengying. Puan Tang tidak terlalu memikirkan perkara itu pada awalnya. Kemudian dia mendapati Tang Mengying telah tiada di rumah sejak dua bulan lalu. Panggilan telefon kepadanya sering tidak dapat disambung. Walaupun mesej yang dihantar keluarga Tang menerima balasan, Tang Mengying tidak pernah menghantar mesej suara.
Selepas Tang Mengying memberitahu ibu bapanya tentang Li Sicheng memberikannya sebuah rumah, mereka tidak mendengar apa-apa berita daripadanya lagi. Puan Tang terus tersedar: Li Sicheng sedang mengenakan mereka kembali. Dia panik dan terus datang ke rumah lama keluarga Li.
Melihat sikap acuh tidak acuh Li Sicheng, Puan Tang menggeletar kemarahan dan menjerit, "Jangan berpura-pura! Ke mana kamu bawa dia?" Suaranya nyaring ketika dia terus memekik, "Baik kau bagi balik anak aku! Kalau tidak, aku akan dakwa kau!"
"Dakwa saya?" Li Sicheng berpeluk tubuh dan kekal tenang. "Untuk apa? Mana bukti kamu?"
Puan Tang diam seketika sebelum dia kembali menjerit, "Bukti apa lagi? Anak aku dah diculik oleh kau. Dah lama dia tak hubungi kami. Dia mesti dah dikurung di satu tempat oleh kau. Ini salah dari segi undang-undang!"
"Puan Tang, kamu perlu tunjukkan bukti untuk sokong kata-kata kamu. Kalau tak ada bukti, kami boleh dakwa kamu atas kesalahan memfitnah." Li Beixing berjalan masuk ke ruang tamu itu diikuti oleh Li Xiao dan isterinya.
Sebaik melihat Qin Shuhua, mata Puan Tang menjadi basah dan dia terus menangis, "Kasihan anak saya. Dia mengandung kerana budak lelaki ini dan sekarang dikurung pula olehnya. Dia tak boleh jumpa ibunya pada hari perayaan ini. Keluarga kamu akan diseksa di neraka."
Abang Li Xiao iaitu Li Sheng dan keluarganya berada di laman rumah. Jarak antara ruang tamu dan laman rumah agak jauh, tetapi disebabkan suara Puan Tang sangat kuat, Li Weiya mendengar jeritannya itu dan segera datang.
Kapten Li juga turut datang apabila mendengar kekecohan itu. Dia menghentak lantai dengan tongkatnya dan berkata, "Apa kamu buat di sini? Saya dah cakap keluarga Tang diharamkan di rumah keluarga Li."
Puan Tang menangis dan menjerit seakan terkena histeria. "Seluruh keluarga kamu memang sial! Anak saya sedang mengandungkan ahli keluarga kamu, tetapi kamu penjahat-penjahat hanya melihat budak lelaki tak guna ini menculik anak saya! Di mana keadilan?"
Suaranya sangat kuat sehingga membuatkan bibir Li Beixing menggerenyet. Dia berkata, "Puan Tang, jangan jadi terlalu menjengkelkan pada hari perayaan begini. Apa kaitan kami dengan kehilangan anak kamu?"
Sial kau. Anak aku pasti dah dikurung oleh adik kau. Kau boleh tanya dia jika kau tak percaya."
Li Beixing menoleh ke arah adiknya. Riak wajah Li Sicheng langsung tidak berubah dan dia berkata dengan nada tenang, "Saya tak lakukannya. Pergilan balik, Puan Tang."
Jika dia tidak mengenalinya, Puan Tang tentu telah tertipu dengan riak wajah tenang Li Sicheng. Walau bagaimanapun, dia sememangnya tahu lelaki ini sangat licik dan kejam. "Aku tak percaya!"
"Puan boleh pergi ke balai polis selepas 24 jam seseorang hilang. Puan perlu bantuan?" suara itu datang daripada seorang wanita yang kurus dan tinggi. Su Qianci menghampiri Li Sicheng dan memandang Puan Tang dengan simpati. "Puan salahkan suami saya untuk semuanya. Puan betul-betul fikir keluarga Li mudah ditipu?"