Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 342 - Atuk akan Sentiasa Menjadi Tempat Kamu Berlindung

Chapter 342 - Atuk akan Sentiasa Menjadi Tempat Kamu Berlindung

Li Sicheng menangkap epal itu dan meletakkannya di atas meja tanpa berkata apa-apa. Su Qianci yang berada di sebelah Atuk juga hanya diam. Itulah situasi yang dilihat oleh Qin Shuhua dan Li Xiao sebaik sahaja mereka kembali dari rumah jiran di sebelah.

Wajah Li Xiao berubah dan dia menyalahkan Li Sicheng, "Sicheng, jangan buat Atuk kamu marah."

Li Sicheng mencebikkan bibirnya sambil menjeling Su Qianci. Kemudian dia berkata, "Tak ada sesiapa yang nak lihat saya, jadi tiada sebab untuk saya terus ada di sini."

Sebaik sahaja dia berkata begitu, barulah semua orang faham perkara yang sedang berlaku. Semua mata terus tertumpu kepada Su Qianci. Su Qianci kelihatan bergelumang dengan perasaan yang bercampur-baur. Dia berasa gementar dan berkata, "Saya tak…"

Kapten Li menjeling Li Sicheng tajam dan melemparkan sebiji lagi epal kepadanya sambil bertanya, "Apa kamu nak cakap tentang diri kamu sendiri?"

Epal itu menghentam perut Li Sicheng yang kelihatan terkedu. Dia mengambil epal itu dan meletakkannya di atas meja lalu berkata, "Saya nak pergi mandi."

Melihat situasi itu, Qin Shuhua memandang Su Qianci dengan senyuman sinis. Su Qianci memandangnya kembali tanpa gentar.

 "Saya kagum lihat kamu boleh seksa anak saya seperti ini," kata Qin Shuhua tiba-tiba sebelum beredar dari ruang tamu itu. "Li Xiao, saya ada sesuatu untuk beritahu kamu."

Li mengangguk dan menoleh ke arah Su Qianci. "Cuba untuk tak ganggu orang tua dengan hal peribadi kamu. Kamu dah dewasa dan patut bersikap seperti orang dewasa. Sicheng dah layan kamu dengan baik."

Li Xiao tidak membenci atau menyukai Su Qianci. Walaupun menantunya itu cantik, dia bukan daripada keluarga yang mempunyai kepentingan dan tidak memiliki sikap yang menarik. Li Xiao tidak membantah perkahwinan mereka kerana Su Qianci dipilih sendiri oleh ayahnya. Walau bagaimanapun, dia tidak menyangka wanita itu akan memberi pengaruh yang besar kepada anak lelakinya. Walaupun Li Sicheng tidak menyebutnya, dia jelas mengambil berat tentang isterinya. Sebelum ini Li Xiao tidak pernah melihat Li Sicheng melayan sesiapa seperti dia melayan Su Qianci. Seluruh ahli keluarga Li mempunyai perangai yang agak degil.

Su Qianci menundukkan wajahnya dan mengangguk lalu berkata, "Saya tahu, Ayah."

Li Xiao tidak berkata apa-apa lagi dan mengikuti Qin Shuhua ke bilik kerja.

 "Jangan dengar cakap dia. Kalau budak itu berani buli kamu, beritahu saja Atuk. Atuk akan sokong kamu," kata Kapten Li sambil menepuk dadanya. "Atuk akan sentiasa jadi tempat kamu berlindung."

Mata Su Qianci menjadi basah. Dia mengangguk sambil menyedut hingusnya dan bertanya, "Atuk… Kenapa Atuk layan saya dengan sangat baik?"

 "Dah tentulah. Takkan Atuk nak layan Li Sicheng pula dengan baik? Budak itu agar kurang ajar. Lagipun Atuk cuma harapkan kamu untuk bagi Atuk cucu."

Tambahan pula, Li Sicheng sepatutnya bersyukur kerana mempunyai isteri. Pasti tidak ramai yang boleh bertahan dengan sikap panas barannya itu. Takdir menentukan dia bertemu seseorang yang dia dan Atuk sukai, jadi sudah tentulah Atuk mahu memastikan Su Qianci terus ada di samping Li Sicheng. Atuk tidak menyebut perkara yang difikirkannya dengan kuat. Dia berasa puas hati melihat Su Qianci terharu dengan kata-katanya. Atuk berasa bertuah kerana isteri cucunya adalah wanita yang senang digembirakan. Jika isteri cucunya adalah budak perempuan Tang itu…

Sebaik terfikirkan Tang Mengying, Kapten Li berasa marah. Senyumannya hilang dan dia terus menukar topik sambil menggenggam tangan Su Qianci. Selepas berbual seketika, Kapten Li berasa letih dan dia menyuruh Su Qianci untuk masuk tidur.

 Su Qianci berdiri di hadapan bilik mereka dengan perasaan janggal sebaik memikirkan dia akan berdua-duaan dengan Li Sicheng. Dia tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan suaminya itu… Selepas beberapa ketika, akhirnya Su Qianci membuka pintu bilik itu dan masuk ke dalam.

Related Books

Popular novel hashtag