Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 343 - Kamu Benci Saya?

Chapter 343 - Kamu Benci Saya?

Sebaik sahaja melangkah masuk, Su Qianci terhidu bau asap rokok. Dia memandang ke dalam bilik itu dan tiba-tiba berasa sejuk apabila angin malam meniup ke wajahnya. Tingkap bilik itu terbuka, langsirnya berterbangan dan kegelapan malam jelas kelihatan di luar. Bulan memancarkan cahaya yang terang dan bintang-bintang berkerdipan di langit. Kelihatan beberapa pokok meliang-lintuk ditiup angin. Li Sicheng sedang berdiri di tepi tingkap itu dan masih memakai pakaiannya tadi. Sikunya ditongkat pada tingkap dan jarinya memegang sepuntung rokok. Asapnya dihembus ke dalam bilik. Abu rokok kelihatan tergantung pada rokok itu dan hampir jatuh.

Li Sicheng menyedari seseorang baru sahaja masuk, namun tidak berpaling. Perlahan-lahan dia menjentik abu rokok ke dalam bekas dan berkata dengan suara yang dalam dan tenang, "Kamu bencikan saya?"

Pertanyaan tiba-tiba itu membuatkan hati Su Qianci tersentak, seolah-olah sebuah planet yang dihentam asteroid.

Kamu bencikan saya…

Soalan ringkas itu mengingatkan Su Qianci akan segala kesedihan dan kekecewaannya. Dia memandang belakang Li Sicheng sebelum matanya menjadi kabur dan basah.

Mana mungkin saya mampu bencikan kamu… Kamu ialah Li Sicheng…

Su Qianci cepat-cepat menyapu air matanya dan berpura-pura tidak mendengar apa-apa. Dia berjalan menuju ke almari. Walaupun mereka sudah agak lama tidak balik ke rumah lama itu, Liu Sao telah meletakkan pakaian-pakaian musim luruh di dalam almari itu supaya mereka dapat tidur di situ bila-bila masa sahaja. Su Qianci mengambil baju tidurnya dan masuk ke dalam bilik air kerana tidak mampu lagi menahan tangisannya. Dia bukanlah seorang yang suka menangis. Malah ketika kejadian dia dipukul oleh wanita-wanita kaya dahulu, dia hanya mengetap gigi dan tidak menangis. Walau bagaimanapun, dia sentiasa tidak mampu menahan tangisannya untuk perkara yang berkaitan dengan Li Sicheng.

Li Sicheng membawa pengaruh yang besar dalam hidupnya… Tidak kira kehidupan lalu atau sekarang, dia tidak berjaya untuk tidak menghiraukan lelaki itu. Setiap kali memandang Li Sicheng, hatinya masih berdegup kencang. Bagaimana mungkin dia dapat membenci seseorang seperti itu?

Li Sicheng jelas menyedari Su Qianci telah masuk ke bilik air. Dia mematikan rokoknya, menutup tingkap dan duduk di sofa yang berada di sebelah katil mereka. Selepas duduk tanpa sebarang suara buat seketika, dia mendengar seseorang mengetuk pintu. Dia membuka pintu dan mendapati Liu Sao sedang berdiri di situ.

 "Encik Li, ini pencuci mulut berkhasiat yang Kapten Li suruh saya bawa untuk Puan. Boleh Encik Li beri pada Puan nanti?"

Li Sicheng memandangnya sekilas dan mengerutkan dahi. "Tak bagus makan makanan manis tengah malam begini."

 "Ia bukan untuk Encik Li. Berilah kepada dia. Atuk sendiri minta saya sediakannya untuk Puan."

 "Okey," Li Sicheng mempercayai kata-kata itu. "Faham."

 "Encik Li pun boleh rasa sedikit. Rasanya sedap juga." Liu Sao mengukir senyuman yang mencurigakan di wajahnya sambil menjeling sekilas ke dalam bilik itu.

 "Dia di dalam bilik air. Kamu boleh tinggalkannya kepada saya."

 "Baiklah." Liu Sao menyerahkan dulang yang dipegangnya kepada Li Sicheng dan berjalan pergi setelah menutup pintu.

Walau bagaimanapun, setelah beredar dari situ, Liu Sao kelihatan resah. Dia berjalan ke ruang tamu dan bertanya kepada Kapten Li, "Ia akan beri kesan yang kita mahu? Bagaimana kalau Encik Li salah faham…"

 "Jangan risau. Mereka suami isteri jadi mereka perlu cepat-cepat berbaik." Kapten Li menoleh ke arah bilik pasangan itu dan mengeluh. "Saya harap budak Sicheng itu akan faham usaha saya. Saya dah korbankan reputasi saya untuk dia…"