Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 341 - Buat Atuk Sakit Jantung

Chapter 341 - Buat Atuk Sakit Jantung

Su Qianci merasakan hatinya seperti ditikam. Dia menggenggam penyepitnya dengan kuat dan menundukkan kepalanya lalu terus makan.

Sebaik mendengar jawapan Li Sicheng, Atuk menjadi sangat marah. Dia menghentam penyepitnya ke atas meja dan bertanya, "Apa maksud kamu lupa? Sibuk sangatkah dengan kerja?"

Li Sicheng terus makan tanpa menjawab soalan itu. Tindakannya membuatkan Atuk berasa hampir gila. Atuk menoleh ke arah Su Qianci dan bertanya, "Qianqian, kamu rasa terseksa sejak akhir-akhir ini?"

Terseksa... Perkataan itu membuatkan pergerakan Li Sicheng terhenti.

Su Qianci meletakkan mangkuk yang dipegangnya dan menjawab, "Tidak."

"Mana mungkin?" Atuk sudah dapat meneka kesemuanya dan mengeluh.

"Dia sibuk dengan kerja, jadi tak mustahil dia boleh lupa," Su Qianci menjelaskan dengan tenang. Dia menambah makanan ke dalam mangkuknya dan menyambung makan seolah-olah tidak kisah dengan semua itu.

Li Sicheng juga sama, tenang seperti biasa. Tiada apa yang dapat Kapten Li lakukan. Dia merenung Li Sicheng dengan tajam dan bangun dari kerusinya.

"Atuk, makan," panggil Li Sicheng. Walau bagaimanapun suaranya kedengaran tenang dan tidak ikhlas.

Su Qianci berhenti makan dan segera memanggil, "Atuk, makanlah dulu. Nanti kita bincang perkara itu, okey?"

Mendengar kata-kata Su Qianci, Kapten Li menjeling Li Sicheng dengan tajam. Apabila melihat tiada bantahan daripada cucunya itu, dia mendengus sebelum kembali duduk. Dia sangat kenal perangai cucunya itu. Selagi Li Sicheng tidak membantah, bermaksud masih ada ruang untuk berbincang. Masalah yang sedang berlaku juga tidak kelihatan seperti salah Li Sicheng sepenuhnya. Selepas menjamah beberapa suap, Kapten Li mengatakan dia sudah kenyang.

Su Qianci menemani Kapten Li bersiar-siar di taman dan kembali ke rumah selepas kurang dari 20 minit. Li Sicheng duduk di atas sofa dan sedang berbual di telefon. Ia kedengaran seperti perbincangan tentang kerja.

Kapten Li duduk tanpa berkata apa-apa manakala Su Qianci sedang mengupas sebiji epal untuknya. Walau bagaimanapun, Li Sicheng masih berbual di telefon apabila dia telah menghabiskan epal itu. Kapten Li merenung Li Sicheng tajam sebelum melemparkan empulur epal itu kepadanya sebagai tanda amaran.

Li Sicheng langsung tidak mengelak malah menangkap empulur itu sebelum melemparkannya ke dalam tong sampah. Dia menyapu tangannya lalu meneruskan perbualan telefon itu tanpa sebarang perubahan dalam nadanya. Beberapa minit kemudian barulah perbualan itu selesai.

"Qianqian, tidurlah di sini malam ini," kata Kapten Li sambil mengeluh. Walaupun dia sedang bercakap dengan Su Qianci, pandangannya terarah kepada Li Sicheng. "Atuk dah tak banyak masa. Kalau Atuk dapat habiskan banyak masa dengan orang-orang muda, Atuk pasti dapat mati sebagai orang tua yang gembira."

"Atuk…" Su Qianci berasa sedih. "Atuk akan hidup selama-lamanya."

"Kalau Atuk dapat hidup selama-lamanya pun, pergaduhan kamu berdua dah buat Atuk hampir hilang separuh nyawa."

Su Qianci terkedu dan menjeling Li Sicheng. Li Sicheng yang dapat merasakan jelingan isterinya terus memandang ke arah lain dan berkata selamba, "Jadi kamu tidurlah di sini. Saya ada kerja di pejabat. Kalau dah tak ada apa-apa, saya nak pergi dulu."

Kapten Li sangat marah sehingga dia mengambil sebiji epal di hadapannya dan melemparkannya kepada Li Sicheng. "Kamu pun perlu tidur di sini."

Li Sicheng mengelak dan berkata tenang, "Saya sibuk dengan kerja."

"Tinggalkan kerja-kerja itu! Tutup syarikat kamu! Atuk boleh saja hidup tanpa syarikat kamu!" kata Kapten Li dengan marah sambil melemparkan sebiji lagi epal kepada cucunya. "Atau kamu sengaja nak bunuh Atuk dengan buat Atuk sakit jantung? Macam itu barulah tiada sesiapa akan ganggu kamu kan? Dasar budak tak kenang budi!"