Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 330 - Kejutan yang Tidak Disangka-Sangka

Chapter 330 - Kejutan yang Tidak Disangka-Sangka

Su Qianci merasakan seolah-olah ada duri yang menikam jantungnya lalu membuatkan ia berdarah dan hancur. Hatinya berasa sangat sakit seperti disiat-siat. Matanya mula basah sebelum air matanya berlinangan jatuh.

Li Sicheng telah berbohong kepadanya!

Lelaki itu benar-benar ada di sini bersama Tang Mengying! Tetapi kenapa? Bukankah dia sepatutnya ke trip perniagaan? Bukankah dia sepatutnya berada di Amerika sekarang? Malah Cheng You juga berbohong…

Su Qianci mengeluarkan telefonnya dan mendail nombor yang berada paling atas pada senarai nombor dalam telefonnya.

Kali ini, telefon Li Sicheng tidak lagi dimatikan. Su Qianci melihat jam dan menyedari sudah pukul sembilan malam. Dia ketawa sinis. Lelaki itu benar-benar pembohong profesional! Pada jam ini, kapal terbangnya sepatutnya baru tiba di New York, jadi tiada apa yang meragukan apabila telefonnya telah kembali dihidupkan. Panggilan Su Qianci segera dijawab. Sebelum sempat Li Sicheng berkata apa-apa, Su Qianci memanggil, "Abang…"

Li Sicheng tidak menyangka Su Qianci akan menggodanya sebegitu. Angin tidak baiknya serta-merta hilang sebaik mendengar panggilan itu. Raut wajahnya kembali tenang dan dia memanggil kembali, "Sayang." Suaranya perlahan tetapi penuh dengan rasa sayang dan cinta. Walau bagaimanapun, bagi Su Qianci, ia kedengaran seperti satu hukuman yang paling teruk dan menghancurkan maruahnya.

"Kamu masih ke trip perniagaan itu?"

"Ya…" Li Sicheng terdiam seketika seolah-olah berfikir sesuatu. Sesaat kemudian dia menyambung, "Saya baru turun dari kapal terbang."

Penipu!

Hati Su Qianci terasa pedih dan air matanya terus jatuh. Dia segera menutup mulutnya kerana bimbang tangisannya akan didengari Li Sicheng.

"Kenapa?" Li Sicheng bertanya dengan lembut dan mesra. "Kelas kamu dah tamat?"

Sebaik melihat Su Qianci menangis, pemandu teksi itu menghulurkan tisu. Su Qianci mengambil tisu itu dan mengelap air matanya sebelum menarik nafas dan cuba membuatkan suaranya kedengaran tenang. "Dah. Kamu tahu, saya baru saja nampak seseorang yang kelihatan seperti kamu. Saya ingatkan dia memang kamu, tapi nampaknya saya tersilap."

Li Sicheng kedengaran seperti sedang dalam mood yang baik dan bergurau, "Jadi, kamu rindukan saya?"

Dahi Su Qianci berkerut. Wajahnya merah padam dan dia terdiam selama beberapa saat sebelum menjawab perlahan, "Tak adalah, langsung tak."

"Kamu tak perlu berbohong. Saya tak akan ketawakan kamu." Li Sicheng bersandar pada tempat duduknya dan berkata dengan suara yang dalam, "Saya pun rindukan kamu."

"Tipu…" Mata Su Qianci berkelip dan air matanya kembali gugur. Dia tidak dapat menahan dirinya daripada teresak sedikit. "Encik Li, saya sangat letih…" Tersangat letih… Dia merasakan seperti tidak mampu lagi mempertahankan cintanya ini. Suaminya tidak mahukannya. Li Sicheng tidak mencintainya. Dia tahu itu. Sejak dahulu dia sudah tahu. Tetapi kenapa Li Sicheng perlu berbohong kepadanya? Jika dia mencintai Tang Mengying, kenapa perlu menyeksanya dengan sebegini kejam?

"Kenapa ini?" Dahi Li Sicheng berkerut dan dia bertanya dengan lembut, "Kamu tertekan dengan kelas?"

"Saya rindu kamu."

Li Sicheng tersenyum lalu berkata perlahan, "Saya akan balik tak lama lagi. Jadi budak baik."

Su Qianci meletakkan tangan pada mulutnya dan tidak berkata apa-apa sebelum memutuskan talian. Dia tidak mampu lagi menahan dirinya daripada menangis dengan kuat.

Hati Li Sicheng terasa hangat. Wanita ini…

Dia tersenyum kecil. Walau bagaimanapun, pemburu tiba-tiba berkata, "Bos, lengan bos berdarah lagi."

Li Sicheng melihat lengannya. Dia tidak menyedari bila ia mula berdarah kembali. Dia turut berasa lega pada masa yang sama. Mujurlah dia masih menguruskan 'trip perniagaan'. Jika tidak, Su Qianci pasti akan risau jika melihat keadaannya.

"Pergi ke hospital."

Pemburu mendengar arahan itu dan terus memandu ke arah Hospital Tentera Pertama Kingstown.

"Dah tiba masanya untuk mula merancang tentang majlis perkahwinan itu." Li Sicheng berbisik kepada dirinya sendiri. Dia berasa sedikit pening dan melihat ke luar tingkap. "Saya mahu berikan dia kejutan yang tidak pernah berlaku di mana-mana."

Related Books

Popular novel hashtag