"Bawakan saya asam jeruk!"
"Laurel, saya nak makan mi."
"Kau kenapa? Perkara senang itu pun tak boleh buat? Sia-sia saja Abang Sicheng bayar gaji kau."
"Hei, berani kau buat muka? Kau tak tahu aku siapa?"
Tang Mengying memperhambakan dan memberi arahan kepada orang-orang gaji itu tanpa henti. Dia menikmati sepenuhnya menjadi puan besar di dalam rumah itu. Namun pada masa yang sama dia juga merasakan seperti ada sesuatu yang hilang. Setelah mengarahkan pelbagai perkara, dia tidur kerana kebosanan. Apabila dia bangun daripada tidurnya, dia masih berasa bosan. Tiba-tiba dia teringat tentang sesuatu yang perlu dilakukannya. Dia perlu pergi ke syarikat Li Sicheng. Pada masa yang sama juga dia perlu memastikan Su Qianci turut berada di sana dan kemudian mempergunakan perempuan itu untuk…
Walaupun Li Sicheng menyuruhnya supaya tidak keluar, bukankah lebih baik jika dia dapat membuatkan kandungannya gugur tanpa Li Sicheng meraguinya? Tang Mengying memutuskan untuk meneruskan rancangannya lalu memilih baju yang menampakkan bentuk perutnya dengan jelas dan memakai mekap. Wanita di dalam cermin di hadapannya kelihatan anggun dan cantik. Dia mengambil dompetnya lalu keluar dari bilik.
Sebaik melihat Tang Mengying yang kelihatan berseri-seri, dua orang gaji yang berdiri di pintu terus memandang satu sama lain dan segera mengekorinya.
"Kamu tak perlu ikut saya. Saya cuma mahu bersiar-siar."
Tang Mengying sangat tidak sukakan orang-orang gaji di rumah itu. Tiada seorang pun yang bercakap kecuali Laurel. Sungguh membosankan!
Laurel si penjaga rumah segera menghampiri Tang Mengying dan bertanya, "Cik Tang, kamu nak ke mana?"
"Kenapa saya perlu beritahu kamu?" Tang Mengying berkata dengan marah.
"Encik Li cakap kamu perlu berehat. Kalau kamu tak dapat rehat yang cukup sewaktu mengandung, kamu akan alami kesukaran sewaktu nak melahirkan nanti." Laurel menambah sendiri ayat di belakang.
Walau bagaimanapun, Tang Mengying sangat gembira mendengarnya. "Okey, baiklah. Tapi saya ada sesuatu yang perlu saya buat. Kamu boleh tunggu di sini, saya akan balik segera."
"Tak boleh, Cik Tang. Kamu tak boleh keluar."
Mendengar kata-kata Laurel, wajah dua pengawal peribadi yang mengawal pagar rumah bertukar dingin dan mereka terus menghalang pintu.
"Apa maksud kamu? Saya tak boleh keluar?"
"Cik Tang, duduk di rumah saja. Ini arahan Encik Li."
Tang Mengying membentak, "Kamu ingat kamu siapa? Kamu cuba halang saya keluar? Bukankah saya puan besar dalam rumah ini?" Kemudian dia terus menghubungi Li Sicheng. Namun dia tidak dapat membuat panggilan walaupun bar isyarat di telefonnya penuh. Tang Mengying terkejut lalu membuka internet pada telefonnya dan mencuba 3G dan 4G, malangnya satu mesej pun tidak dapat dihantar. Wajahnya terus berubah pucat dan dia teringat lukisan dan tembok tinggi yang mengelilingi rumah itu…
Pengawal-pengawal peribadi yang mendengar kekecohan itu bergegas datang. Orang-orang gaji itu kelihatan patuh tetapi tidak gentar. Laurel memandang Tang Mengying dengan mata yang kelihatan memberi amaran. Jantung Tang Mengying berdegup laju. Satu idea gila muncul di fikirannya: dia telah dikurung.
Tujuh hari berlalu. Su Qianci tidak tahu bagaimana dia telah melalui hari-harinya. Dia berdiri di tepi tingkap gaya Perancis di tingkat 16 dan merenung kereta serta orang yang lalu-lalang di bawah. Jam terus berdetik dan kakinya terasa kebas, tetapi dia tidak berfikir untuk duduk. Telefonnya berdering lalu membawanya kembali ke alam realiti. Dia menjeling skrin telefonnya dan menyedari panggilan itu datang daripada… Qin Shuhua.
"Qianci, kamu di mana? Ada sesuatu yang Ibu nak bincangkan dengan kamu."