Rong Rui bergelut dengan kuat tetapi pengawal-pengawal di belakangnya dapat menahannya dengan mudah.
Dia mengetapkan giginya dan menjerit marah, "Li Sicheng, kau tak guna!"
Tang Mengying segera menjawab panggilan itu. Li Sicheng meletakkan telefon itu pada mod pembesar suara dan mengisyaratkan sesuatu kepada pengawal. Mereka terus menutup mulut Rong Rui dan menghalangnya daripada bersuara.
"Helo…" Suara Tang Mengying kedengaran terkejut dan risau. Tang Mengying melihat jam dan mendapati sudah pukul tiga pagi. Kenapa Li Sicheng menelefonnya pada waktu begini? "Abang Sicheng, kamu kah di sana?"
"Ya saya." Li Sicheng bersandar pada sofa dan melihat Rong Rui bergelut semakin kuat. Dia bertanya perlahan, "Ibu saya dah beritahu kamu?"
Jantung Tang Mengying berdegup laju. Adakah lelaki ini telah tahu sesuatu? Dia bertanya dengan berhati-hati, "Apa yang… Mak Cik perlu beritahu?"
"Saya cedera kerana ditikam Rong Rui sewaktu saya pukul dia."
Tang Mengying belum mengetahui kejadian itu. Dia terkejut dan terus bertanya, "Kamu tak apa-apa? Cedera di mana? Teruk tak?"
Soalan yang bertalu-talu itu kedengaran sangat risau. Walau bagaimanapun, ia tertumpu kepada 'Li Sicheng ditikam' berbanding 'Rong Rui dipukul.' Rong Rui jelas dapat mendengar perbezaan itu dan berasa amat kecewa. Dia mahu memberi amaran kepada Tang Mengying supaya tidak terperangkap, tetapi pengawal-pengawal itu mengawalnya dengan ketat dan menghalangnya daripada berbuat apa-apa.
Li Sicheng menukar posisinya dan menjawab, "Teruk juga. Saya masih rasa sakit." Kenyataannya itu memang benar, tetapi kebiasaannya Li Sicheng tidak akan menyebut perkara seperti itu dengan kuat.
Pemburu yang sedia maklum tentang perkara itu berasa simpati terhadap Tang Mengying dan Rong Rui. Walaupun dia tidak tahu perancangan bosnya, dia pasti ia bukan sesuatu yang baik.
Tanpa ragu-ragu, Tang Mengying terus bertanya, "Apa kita patut buat? Kamu ada di mana?"
"Jiang Zhou, rumah nombor 2097."
"Okey, saya telefon ambulans sekarang."
"Tak perlu. Saya dah balut luka saya. Kamu datang saja ke sini seorang diri."
Tang Mengying kebingungan. "Saya?"
"Ya, saya nak jumpa kamu."
Hati Tang Mengying melonjak gembira ketika dia berkata dengan nada tidak percaya, "Abang Sicheng…"
"Kalau kamu tak selesa…"
"Tak adalah!" Tang Mengying cepat-cepat menafikannya sebelum menyedari dia terlalu bersemangat. Dia berasa sedikit malu dan berkata perlahan, "Saya akan datang segera. Tunggu saya, Abang Sicheng!"
Li Sicheng memutuskan talian dan memandang Rong Rui yang telah berhenti bergelut. "Dia akan sampai sekejap lagi. Kau rasa apa keputusan dia?"
Sebaik sahaja pengawal peribadi mengalihkan tangannya dari mulut Rong Rui, lelaki itu terus berteriak dengan marah, "Kau nak apa sebenarnya?"
Kenapa Li Sicheng memerangkap Tang Mengying untuk datang ke sini? Bagi menunjuk-nunjuk kenyataan bahawa Tang Mengying setia mencintainya? Atau dia cuba berlagak dan memberitahu Rong Rui bahawa wanita yang dicintai Rong Rui tergila-gilakan dirinya?
Rong Rui teringat nada terkejut dan gembira Tang Mengying tadi dan hatinya terasa pedih. Wanita itu tidak pernah bersikap seperti itu dengannya…
Li Sicheng senyum dan matanya kelihatan dalam. "Sekejap lagi kau akan tahu."
Melihat riak wajah Li Sicheng, Rong Rui dapat merasakan dirinya berada dalam bahaya. Lelaki ini lebih menakutkan daripada sangkaannya. Dia mempunyai firasat buruk, tetapi tidak kira bagaimana dia cuba memikirkannya, dia tidak dapat mengagak rancangan Li Sicheng.
Apa yang lelaki ini mahu lakukan?