Tang Mengying tiba di rumah itu pada jam empat pagi. Jeritan Rong Rui terus kedengaran sebaik sahaja dia melangkah masuk. Tang Mengying yang terkejut segera masuk ke dalam dan melihat Rong Rui dikelilingi berbelas-belas orang pengawal peribadi. Lelaki itu sedang melutut di atas lantai tanpa memakai apa-apa dari bahagian pinggang hingga kakinya. Tang Mengying segera memalingkan mukanya dan memandang Li Sicheng.
Sebaik melihat darah pada tangan Li Sicheng, dia bertanya dengan gementar, "Abang Sicheng, kamu tak apa-apa?"
Li Sicheng tidak menjawab soalan itu sebaliknya berkata, "Beri air kepada Cik Tang."
Pemburu itu mengambil sebotol air dan meletakkannya di hadapan Tang Mengying. "Kami hanya ada ini."
Tang Mengying agak kecewa dengan sikap sambil lewa itu dan merungut kepada Li Sicheng dengan matanya dengan harapan untuk mendapat keadilan daripada lelaki itu.
Walau bagaimanapun, Li Sicheng tidak mengendahkannya dan berkata, "Rong Rui dah ceritakan kesemuanya."
Mendengar kata-kata itu, Tang Mengying dan Rong Rui kebingungan. Rong Rui memikirkan apa yang telah diceritakannya. Tang Mengying yang gementar cuba mengelak bertentang mata dengan Li Sicheng. "Apa… apa maksud kamu?"
"Tuan Muda Rong cakap kandungan kamu bukan anak saya. Dia yang ubah keputusan ujian DNA itu dan godam rekod dalaman jabatan genetik. Sebab itulah keputusan ujian itu menunjukkan 72.31%."
Wajah Tang Mengying berubah dan dia menoleh ke arah Rong Rui. Wajah Rong Rui turut berubah. Dia langsung tidak menyangka Li Sicheng memanggil Tang Mengying ke situ untuk berkata begitu.
Dia hanya mereka-reka cerita!
"Kau… hmmm…" Pengawal-pengawal itu menutup mulutnya sebelum sempat dia berkata apa-apa. Rong Rui tidak dapat melepaskan diri tidak kira betapa kuat dia bergelut.
"Dia juga beritahu yang sebenarnya ayah kepada bayi kamu adalah seorang warga asing. Ia jelas boleh dilihat dalam video yang dia godam. Selepas ini kamu rancang untuk cari peluang berlanggar dengan isteri saya kemudian salahkan dia atas keguguran kamu."
"Mengarut!" Wajah Tang Mengying berubah pucat dan dia berdiri secara tiba-tiba. "Kenapa pula saya nak lakukan sesuatu seperti itu? Abang Sicheng, saya betul-betul cintakan kamu. Kandungan ini memang anak kamu. Lagipun, saya kawan baik Su Qianci. Walaupun mungkin sekarang hubungan kami tak sebaik dulu, saya tak akan pernah lakukan sesuatu seperti itu…" Tang Mengying berkata dengan wajah sedih. "Abang Sicheng, kita membesar bersama-sama. Takkan kamu tak kenal saya? Tak mungkin saya akan lakukan perkara itu, bukan?"
Dia tidak tahu sebanyak mana Li Sicheng mendengar perbualannya bersama Rong Rui di hospital tempoh hari. Walau bagaimanapun, jika dilihat daripada sikap Li Sicheng sekarang, Tang Mengying tahu lelaki itu tidak sempat mendengar banyak. Oleh sebab itu dia memutuskan untuk menafikan kesemuanya. "Kalau kamu tak percayakan saya, kamu patut percayakan ibu kamu sendiri. Dia ada sewaktu saya buat ujian DNA itu. Walau apapun berlaku, kamu patut percayakan dia, bukan?"
"Rong Rui godam CCTV dan maklumat ujian itu, jadi kamu tak perlu nafikan."
Tang Mengying mengetap giginya dan menoleh ke arah Rong Rui, "Kenapa kau perangkap aku? Aku tahu kau ada perasaan terhadap aku, tapi kau tak boleh sakiti aku begini. Kau tahukah betapa besarnya makna semua ini kepada seorang wanita?"
Rong Rui tidak lagi bergelut dengan kuat dan dia merenung Tang Mengying.
"Rong Rui, cukuplah."
"Jadi… perkara-perkara yang dia lakukan tak ada kaitan dengan kamu?" tanya Li Sicheng perlahan.
"Tidak!"
"Tapi dia cakap dia bekerjasama dengan kamu."
"Merepek!" Tang Mengying menafikannya dan cepat-cepat berkata, "Abang Sicheng, saya bukan orang seperti itu!"
"Bagus." Li Sicheng memandang Tang Mengying dengan dingin dan berkata dengan suara perlahan, "Saya beritahu dia kalau semua yang diceritakannya benar, saya akan lepaskannya. Tapi jika dia berbohong… saya akan hadiahkan dia kepada orang-orang saya." Kemudian Li Sicheng menyambung, "Semua pengawal peribadi ini sukakan lelaki dan mereka sangat tertarik dengan Rong Rui."
Wajah Tang Mengying berubah ketika dia terkejut melihat pengawal-pengawal peribadi yang bertubuh sasa di belakang Rong Rui.
Wajah Rong Rui kelihatan gelisah ketika dia memandang Tang Mengying dan merayu, "Tang Mengying, aku tak mahu mati. Selamatkan aku…"
"Saya tanya kamu buat kali terakhir. Dia beritahu perkara yang benar atau tidak?"
Dalam kata lain, perkara yang akan terjadi kepada Rong Rui adalah keputusan Tang Mengying. Jika semuanya benar, Rong Rui akan dilepaskan hidup-hidup. Jika tidak…