Tiada sesiapa menyangka Rong Rui memiliki senjata. Ketika melintasi Rong Rui, Qin Shuhua tidak cuba menjarakkan dirinya daripada lelaki itu, tetapi perbuatannya itu telah menyebabkan anaknya tercedera. Qin Shuhua menangis sambil memegang Li Sicheng. "Sicheng!"
Cheng You dengan wajah yang pucat melihat pengawal-pengawal peribadi itu terus menundukkan Rong Rui. Salah seorang daripada mereka mengambil satu benda kecil dari mulut Rong Rui. Cheng You melutut untuk melihatnya dan menyedari ia sejenis pisau lipat. Ia sangat kecil iaitu hanya sepanjang dua inci tetapi matanya sangat tajam. Pisau itu kini berlumuran darah.
Lengan baju Li Sicheng turut berlumuran darah. Wajahnya berubah pucat. Menyedari Qin Shuhua terlalu panik, Li Sicheng berkata dengan tenang, "Ibu, saya tak apa-apa."
Qin Shuhua melihat luka Li Sicheng dan menangis, "Tak apa-apa? Kamu berdarah teruk. Cepatlah sesiapa telefon ambulans!"
Wajah Li Sicheng semakin pucat. Darah masih mengalir turun dari lengannya. "Tak ada apa-apalah. Jangan menangis. Cheng You, tolong hantar ibu saya balik."
"Baik," jawab Cheng You.
"Pemburu, bawa saya… ke hospital." Li Sicheng kelihatan seperti hampir pengsan. Tangannya yang menahan lukanya telah berlumuran darah.
Qin Shuhua meraung sambil meletakkan tangan di mulutnya. Dia berpaling ke arah Rong Rui yang dikawal pengawal peribadi, lalu menghampirinya dan menampar lelaki itu dengan kuat berkali-kali. "Kau si celaka tak guna!" Qin Shuhua hampir mendengar kata-kata Tang Mengying untuk membebaskan Rong Rui. Dia langsung tidak menyangka lelaki itu akan menyerang mereka. Jika pisau itu terkena pada bahagian lain, Li Sicheng mungkin akan mati. Semakin dia memikirkannya, Qin Shuhua berasa semakin gerun. Dia kemudiannya menendang perut Rong Rui sambil menjerit, "Sampah!"
Rong Rui menjerit kesakitan tetapi kemudian ketawa terbahak-bahak.
Cheng You merenungnya tajam dan menyumpah, "Penjahat!"
Li Sicheng merenung Rong Rui dengan wajah yang tenang. Sikap tidak memikirkan akibat, melakukan kerja dengan cara jahat dan penggodam yang hebat adalah pandangan Li Sicheng terhadap Rong Rui.
Tidak kira betapa kasar keluarga Li, mereka merupakan tentera dan tulang belakang negara. Li Sicheng sentiasa mengikut pesanan Kapten Li: Jangan menyerang kecuali diserang. Ketika Li Sicheng baru sahaja menangkap Rong Rui, dia sedang bergegas untuk mencari Su Qianci dan tiada masa untuk menguruskan lelaki itu. Dia tidak menyangka perangai Rong Rui seteruk itu. Membawa senjata adalah perkara normal, tetapi menyembunyikan pisau lipat di dalam mulut? Gaya itu tidak kelihatan seperti gaya seorang keturunan jeneral.
Walau bagaimanapun, Li Sicheng tiada masa untuk berfikir banyak. Darah semakin banyak keluar dari lukanya dan dia kini hanya separuh sedar. Dia menoleh ke arah Cheng You dan berkata, "Jangan beritahu isteri saya apa yang berlaku. Ibu juga, jangan beritahu sesiapa dalam keluarga kita…" Suaranya menjadi semakin lemah. Pemburu itu menyedarinya lalu terus mengangkat Li Sicheng dan berlari keluar.
Awal pagi keesokan harinya barulah luka Li Sicheng selesai diuruskan. Dia telah pengsan kerana kehilangan darah yang banyak. Nasibnya baik kerana tiada saraf yang tercedera. Selepas menerima jahitan dan dimasukkan darah, Li Sicheng dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Su Qianci bermimpi Li Sicheng sedang berlawan dengan Rong Rui. Dia menjerit tetapi gagal menghentikan mereka. Tiba-tiba, satu letupan kuat membuatkan mereka hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan. Su Qianci terus membuka matanya dalam ketakutan dan dibasahi peluh dingin. Jantungya terasa bagai hampir tercabut.