Satu jam kemudian, akhirnya mereka keluar dari bilik air itu. Yu Lili berbaring di atas katil tanpa bergerak. Dia membiarkan Ou Ming memakaikan baju tidur untuknya dan terus terlelap.
Ou Ming yang hanya memakai seluar menyalakan sebatang rokok dan duduk di atas sofa di tepi katil itu. Dia memandang Yu Lili yang sedang tidur dan berasa jengkel. Apa yang kurang dengan dirinya? Kenapa perempuan ini tidak sukakannya? Dia sudah cuba untuk memastikan perempuan itu ada di sampingnya dengan umpan yang besar. Adakah ia tidak cukup? Walaupun tidak terkenal, keluarganya sangat kaya. Bukankah Yu Lili sukakan wang? Kenapa perempuan ini tidak mahu mengahwininya?
Ou Ming tidak menemui jawapan kepada segala persoalannya itu. Asap rokok yang dihisapnya membuatkan pandangannya kabur dan matanya pedih. Dia menghembuskan sedikit asap sebelum memadam rokok itu. Tiba-tiba telefonnya di atas meja berdering. Yu Lili menarik selimut dan menyelubungkan kepalanya dengan marah kerana kebisingan itu. Panggilan itu datang daripada Li Sicheng. Ou Ming melihat jam dan mendapati sudah pukul 11 malam. Kenapa Li Sicheng menelefonnya pada waktu sebegini?
Ou Ming menjawab panggilan itu sambil menyilangkan kakinya. "Helo Li Sicheng. Ada apa?"
"Kau ada dengan teman wanita kau?"
"Kau teringatkan teman wanita aku pada tengah malam begini?"
"Isteri aku hilang. Kemungkinan besar dia pergi jumpa teman wanita kau."
Kingstown sangat besar tetapi tidak mungkin Su Qianci boleh lenyap begitu sahaja. Li Sicheng telah mencari di semua hotel, memeriksa rekod semua stesen kereta api malah pergi ke rumah keluarga Su. Malangnya dia tetap gagal menemui Su Qianci.
"Hm, teman wanita aku ada bersama aku sepanjang hari ini."
"Okey."
Mendengar kekecewaan dalam suara Li Sicheng, Ou Ming bersiul perlahan. "Dia dah tinggalkan kau sebab kau menjengkelkan?"
Wajah Li Sicheng berubah. Dia memutuskan talian tanpa menjawab. Kurang satu saat selepas itu, dia mendapat panggilan daripada Cheng You.
"Saya dah dapat akses kamera CCTV jalan daripada polis trafik yang kamu minta. Puan Li pergi dengan Encik Song."
"Song Yifan?"
"Ya…"
Li Sicheng tiba-tiba merasakan dirinya seperti orang bodoh. Dia menyangka sekurang-kurangnya Song Yifan tidak akan berbohong kepadanya tentang hal sebegini. Dia menyangka Song Yifan akan pandai berfikir seperti seorang lelaki dewasa. Tetapi…
"Celaka!" marah Li Sicheng.
Cheng You terkejut mendengarnya. Ini kali pertama dia dengar Li Sicheng menyumpah. Walaupun ia tidak beradab, tetapi ia juga membuatkan Li Sicheng lebih menarik pada masa yang sama. Kasar dan seksi.
"Kamu boleh balik dulu. Saya akan beritahu jika ada apa-apa lagi."
"Okey!"
Su Qianci menangis sepanjang hari itu. Disebabkan keletihan, dia menyangka dia akan terus tertidur, tetapi sesuatu mengganggu fikirannya dan menghalangnya daripada terlena. Semakin lama dia berbaring di atas katil, dia berasa semakin tidak mengantuk. Akhirnya dia memutuskan untuk bangun dan keluar dari bilik.
Song Yifan sedang berbual di telefon. Dia kelihatan terkejut melihat Su Qianci keluar dari biliknya. Su Qianci mengisyaratkan dengan tangannya supaya Song Yifan meneruskan perbualan telefonnya. Kemudian dia berjalan ke sofa di ruang tamu. Belum sempat dia duduk, loceng pintu berbunyi. Kakinya yang putih melepak menyentuh lantai dan mengerekot kesejukan. Dia berjalan ke pintu dan menjinjingkan kakinya lalu mengintai di celah lubang pintu. Tiada sesiapa di situ.
Walau bagaimanapun, loceng berbunyi lagi. Su Qianci membuka pintu tetapi tidak melihat sesiapa. Belum sempat dia menoleh ke kiri dan kanan, tangannya direntap oleh satu tangan yang kasar. Su Qianci mendongak dan melihat sepasang mata yang dingin…