Sebaik melihat lelaki itu, reaksi pertama Su Qianci adalah untuk menarik tangannya kembali. Dia segera cuba masuk ke dalam rumah dan mahu menutup pintu. Malangnya Li Sicheng lebih pantas. Dia menahan pintu itu untuk menghalang Su Qianci menutupnya.
Su Qianci menarik pintu itu dua kali tetapi ia tidak bergerak. Dia berasa jengkel dan menjerit, "Ayah, ada samseng datang!"
Song Yifan terkejut dan berpaling. Walau bagaimanapun, sebaik melihat Li Sicheng, dia membiarkan sahaja mereka. Dia terus bercakap dalam bahasa Inggeris dan kedengaran seperti sedang menjelaskan sesuatu yang penting melalui telefon.
"Pakai kasut kamu!" Li Sicheng berkata dengan dingin kerana tidak senang melihat jari kaki Su Qianci yang mengerekot di atas lantai sejuk itu. Su Qianci menolak Li Sicheng tetapi tangannya ditangkap oleh lelaki itu.
Li Sicheng memegang tangan Su Qianci sambil cuba masuk ke dalam rumah Song Yifan. Su Qianci panik dan menjerit, "Ayah, tolong!"
Song Yifan mendengarnya dan segera mengucapkan selamat tinggal melalui telefon sebelum memutuskan talian.
Li Sicheng dan Su Qianci masih sedang tarik-menarik. Su Qianci melihat Song Yifan datang dan berkata, "Jangan biarkan dia masuk!"
Walau bagaimanapun, Li Sicheng memeluk pinggang Su Qianci lalu terus mengangkatnya dan menutup pintu tanpa menghiraukan jeritan isterinya itu. Dia akhirnya berjaya masuk.
Su Qianci tidak berdaya untuk melawannya.
Song Yifan teruja melihat situasi itu lalu tersenyum.
Su Qianci berasa malu apabila diangkat dan kelihatan lemah. Melihat Song Yifan tersenyum, dia berkata, "Ayah tak selamatkan saya."
Li Sicheng meletakkan Su Qianci di atas sofa dan memegang kedua-dua kaki isterinya itu. Dia memandang Song Yifan dan berkata, "Ayah Song, saya datang untuk bawa isteri saya balik."
Su Qianci mahu menarik kakinya kembali tetapi lelaki itu menguatkan pegangannya.
"Lepaskan saya!" kata Su Qianci dengan marah.
"Jangan bergerak," arah Li Sicheng.
Tangan Li Sicheng membuatkan kaki Su Qianci terasa hangat. Su Qianci segera berpaling ke arah lain sebelum melihat Song Yifan dan berkata, "Ayah jual saya."
Song Yifan yang sedang duduk di atas sofa tidak jauh dari mereka berkata, "Bukan Ayah. Ayah tak beritahu apa-apa."
Li Sicheng mencebikkan bibirnya manakala tangannya menggosok kaki Su Qianci. "Saya dapat tahu sendiri. Mari balik sekarang."
Su Qianci menyentap kakinya dengan marah lalu bangun dan berjalan ke biliknya.
Li Sicheng mahu mengikut Su Qianci tetapi Song Yifan menghentikannya. "Anak, mari kita berbincang."
Su Qianci menghempas pintu dan menguncinya, lalu berbaring di atas katil sambil cuba mendengar perbualan Li Sicheng dan ayah angkatnya itu. Walau bagaimanapun, bilik itu sangat kalis bunyi sehingga dia tidak dapat mendengar apa-apa. Kemudian dia membuka pintu bilik itu sedikit dan mendengar sesuatu.
"Saya akan perbetulkannya."
…
Su Qianci tidak berjaya mendengar banyak. Dia mengeluarkan sedikit kepalanya dari pintu untuk mendengar lebih jelas. Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki menuju ke arahnya. Dia terus masuk kembali dan mengunci pintu sebelum berbaring di atas katil.
Tok tok.
Su Qianci membenamkan kepalanya ke dalam selimut dan tidak mengeluarkan sebarang suara.
"Su Qianci, dia dah pergi," kedengaran suara Song Yifan.
Su Qianci keluar dari selimutnya dan berasa kecewa. Apa ini? Bukankah lelaki itu datang untuk membawanya balik? Tetapi sekarang dia dah pergi?
Su Qianci berasa teramat kecewa lalu menangis. Adakah suaminya itu langsung tidak kisah tentangnya?