Emosi berubah-ubah yang dialaminya membuatkan Tang Mengying sukar untuk berasa tenang dan ia memberi kesan kepada kandungannya.
"Hutang kamu pada saya tak akan pernah dapat dibayar."
Tang Mengying berasa gementar apabila teringat kata-kata Li Sicheng sewaktu mereka berdiri di hadapan jabatan genetik.
Lelaki itu sungguh menakutkan!
Tang Mengying terkejut apabila pintu wadnya tiba-tiba dibuka. Dia mendongakkan kepalanya dan melihat seorang lelaki yang memakai kot putih berjalan masuk. Lelaki itu tidak terlalu tinggi dan hanya lebih sedikit daripada 158cm. Dia memakai kaca mata berbingkai serta kelihatan serius dan berhati-hati.
Sebaik melihatnya, Tang Mengying terkejut dan berkata, "Apa kau buat di sini?"
Lelaki muda itu menghampiri Tang Mengying sambil membuka kaca matanya sebelum memandang wajah Tang Mengying dengan penuh rasa sayang. "Kuat betul perempuan itu tampar kau. Tak guna."
Tang Mengying menolak lelaki itu dan berkata, "Apa kau buat di sini? Li Sicheng dah tahu tentang kau. Kalau dia sedar kau ada di sini, kita berdua tak akan selamat."
"Tenang. Aku dah godam semua kamera CCTV. Kalau Li Sicheng hebat sekalipun, dia tak boleh buat apa-apa kepada aku. Tapi ingat, kalau bukan kerana aku, kau tentu dah dipaksa untuk buat ujian DNA sekali lagi sekarang. Jika itu berlaku, bukan kau seorang yang akan musnah."
Tang Mengying menyedari kata-kata Rong Rui benar dan bertanya, "Bukankah kau kata kau dah balik rumah? Kenapa kau ada di sini? Macam mana kau datang?"
"Aku keluar senyap-senyap." Rong Rui menarik kerusi dan duduk. "Li Sicheng cuba dapatkan maklumat daripada Pak Cik aku. Pak Cik aku baru saja telefon suruh aku balik dan bersembunyi. Tapi aku tak takut."
Walaupun Rong Rui tidak takut, tetapi Tang Mengying berasa sangat risau. "Kau fikir kau dah hebat? Kalau bukan disebabkan kau buat semua perkara ini secara rahsia dan Li Sicheng tak tahu kau siapa, kau ingat kau masih boleh hidup macam sekarang? Saat-saat seperti ini kau sepatutnya dengar cakap Pak Cik kau dan bersembunyi buat sementara waktu. Kalau Li Sicheng dapat tangkap kau…"
"Jadi kenapa? Apa dia boleh buat?" kata Rong Rui dengan nada angkuh. "Ayah Li Sicheng sama pangkat dengan Pak Cik aku. Atuk aku juga jeneral sama seperti Kapten Li. Aku tak akan kalah kepada dia. Mengying, aku tak faham apa yang terlalu menarik tentang Li Sicheng yang buatkan kau terlalu fanatik dan sanggup lahirkan anak untuk dia." Walaupun kandungan Tang Mengying bukan anak Li Sicheng, Rong Rui masih berasa cemburu.
"Apa rancangan kau sekarang? Kau tak boleh simpan anak ini selama-lamanya," sambung Rong Rui sambil menjeling ke arah perut Tang Mengying. "Jika berita tersebar yang anak ini bukan anak Li Sicheng, bukan hidup kau saja tapi hidup seluruh keluarga kau akan hancur."
Tang Mengying mengetap giginya dan berkata perlahan, "Dah tentulah tidak. Aku akan gunakan Su Qianci untuk gugurkan bayi ini. Nanti aku akan salahkan dia apabila aku keguguran dan dia pasti akan merana."
"Asalkan kau tahu apa kau buat."
Kata-kata orang ramai ialah perkara yang paling menakutkan.
"Aku tahu. Kau patut pergi sekarang dan jangan datang lagi." Tang Mengying mendesaknya dengan perasaan takut.
Rong Rui berasa agak kecewa dan mencebikkan bibirnya. Dia memakai kembali kaca matanya sebelum melangkah ke arah pintu.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja dia membuka pintu itu, kelihatan dua orang lelaki yang tinggi dan tegap berdiri di hadapannya. Salah seorang daripada lelaki itu iaitu Li Sicheng merenung Rong Rui dengan dingin dan berkata, "Encik Rong Rui, apa khabar?"