Rumah Song Yifan tidak terletak di tengah-tengah bandar Kingstown, tetapi di kawasan kejiranan kelas pertengahan di luar pusat bandar. Kawasan itu sunyi, selesa dan bersih. Su Qianci menaiki lif ke tingkat 16 sebelum masuk ke rumah ayah angkatnya itu. Song Yifan segera mengemaskan satu bilik untuk diduduki oleh Su Qianci. Rumah itu mempunyai dua bilik dengan reka bentuk yang ringkas dan moden, jelas menunjukkan gaya Song Yifan.
Ketika Song Yifan sedang mengemaskan bilik untuknya, Su Qianci pergi ke dapur dan melihat sekeliling tetapi tidak menemui apa-apa. Peti ais Song Yifan kosong dan kebanyakan alatan eletrik tidak disambung pada sumber kuasa. Su Qianci teringat bagasi yang dibawa Song Yifan dan terus terfikirkan satu kemungkinan : Adakah Song Yifan… dalam perjalanan ke luar negara? Tetapi lelaki ini kembali untuknya dan menghabiskan masa untuk menolongnya. Su Qianci berasa terharu dan bersalah pada masa yang sama. Dia menutup peti ais dan melihat Song Yifan keluar dari bilik.
"Dah siap. Ayah bawa bagasi kamu ke dalam."
Su Qianci memandangnya dan mengangguk lalu mengikut Song Yifan masuk ke dalam bilik itu. Rumah itu tidak besar dan tidak sampai satu pertiga saiz rumah Li Sicheng, tetapi ia sangat bersih dan selesa. Su Qianci dapat menghidu bau penyegar udara.
Song Yifan berasa agak malu dan berkata, "Sempit sikit. Kamu boleh tinggal di sini buat sementara. Nanti kita pindah ke rumah yang lebih besar."
Su Qianci tersenyum dan bertanya perlahan, "Ayah, kenapa Ayah baik sangat kepada saya?" Dia bukanlah anak kandungnya dan Song Yifan boleh sahaja memilih untuk tidak mengendahkannya. Walau bagaimanapun, lelaki ini melayannya seperti anak kandung, penuh perhatian dan kasih sayang. Su Qianci menjeling bagasi Song Yifan yang mempunyai label pemeriksaan keselamatan lapangan terbang. Tarikhnya ialah hari ini. Lelaki ini datang dari lapangan terbang demi membantunya.
Song Yifan tersenyum lembut seperti biasa. "Budak kecil, sebab kamu anak Ayahlah."
Su Qianci berasa terharu dan matanya mula basah.
"Jangan menangis. Kamu dah tak cantik kalau menangis." Song Yifan tidak mahu melihat air mata Su Qianci jatuh lagi. "Kamu lapar? Ayah bawa kamu keluar makan, ya? Kamu nak makan apa?"
Dia menggelengkan kepalanya. "Saya tak ada selera."
"Kamu tak boleh seksa diri tak kira betapa sedihnya kamu sekarang. Mari pergi. Ayah nak bawa kamu ke tempat kegemaran Ayah."
Song Yifan menarik tangan Su Qianci dan membawanya turun. Selepas keluar dari pangsapuri itu dan berjalan seketika, Su Qianci melihat satu restoran mi. Restoran itu kelihatan sederhana dan hiasannya agak lama, tetapi tempatnya sangat bersih.
Seorang lelaki tua sedang duduk di kaunter sambil menonton televisyen dan memegang seekor kucing putih yang besar. Sebaik melihat Song Yifan dan Su Qianci, kucing itu merenung mereka dengan mata birunya dan mengiau. Lelaki tua itu menoleh dan tersenyum. "Song Yifan, kamu datang. Bukankah kamu kata akan ke London hari ini? Tak jadi?"
"Ada hal sedikit jadi saya patah balik." Song Yifan jelas sangat mengenali lelaki tua itu. "Ini anak saya."
Lelaki tua itu kelihatan terkejut. "Oh, kamu ada anak? Bukankah kamu bujang?"
"Anak angkat."
"Tunggu, saya macam pernah tengok dia. Bukankah dia isteri cucu Kapten itu? Kapten yang mengelilingi dunia sepanjang masa walaupun dah berusia."
"Kapten Li Xun," kata Su Qianci.
"Betul, dia. Bukankah kamu Puan Li?"
Su Qianci kelihatan malu. Nampaknya dia sudah mempunyai label yang tidak dapat dibuang. Sidang media itu telah meninggalkan kesan yang menjengkelkan tetapi hebat.