Nenek Rong menjerit dan Qin Shuhua turut terkejut. Li Sicheng bertindak pantas dan menangkap tubuh Su Qianci. Bunyi lututnya melanggar lantai sangat kuat kedengaran.
Li Sicheng tidak menghiraukan kesakitan yang dirasakan pada lututnya. Dia berjaya menangkap Su Qianci dan melihat dahi isterinya dibasahi peluh dingin. Hatinya terasa pedih. Dia panik dan terus menjerit, "Doktor, doktor!"
*****
Kandungannya sebenarnya berusia kurang dari empat bulan. Melihat ia semakin membesar dari sehari ke sehari, Tang Mengying menjadi semakin panik.
"Kamu betul-betul ingat ia anak Li Sicheng?" Suara Rong Rui seperti mimpi ngeri yang menghantuinya siang dan malam.
Dia tenang sahaja pada mulanya. Tetapi sekarang, dia sering terjaga pada tengah malam disebabkan mengalami mimpi buruk. Diari mengandungnya sudah lebih separuh terisi dengan catatannya. Setiap hari dia akan mencatat perasaannya di dalam diari itu. Walau bagaimanapun, jika kandungannya bukan anak Li Sicheng, apa gunanya semua catatan itu? Selepas berfikir panjang, Tang Mengying memutuskan untuk meminta bantuan Qin Shuhua. Tidak kira betapa sukar menghadapi Kapten Li, Qin Shuhua tidak akan mengabaikannya, bukan? Lagipun wanita itu berhutang sesuatu dengannya…
Ketika dia datang mencari Qin Shuhua, Li Xiao tiada di rumah manakala Qin Shuhua sedang mengubah bunga bersama orang gajinya Liu Sao. Selepas menyuruh Liu Sao pergi, Tang Mengying terus bertanya, "Mak Cik belum dapat kepastiannya?"
Senyuman Qin Shuhua hilang ketika dia berkata dengan nada risau, "Mengying, kamu tahu kan Kapten Li sangat sukakan Su Qianci. Kamu pula dah buat kecoh di majlis sidang media lepas. Bukannya Mak Cik tak mahu tolong kamu. Tapi Kapten Li dan ayah Sicheng menyalahkan Mak Cik. Sekarang Kapten Li malah pergi tinggal di rumah Sicheng disebabkan Mak Cik. Jika ada apa-apa lagi yang terjadi, bagaimana Mak Cik nak terus hidup dalam keluarga ini?"
"Tapi saya mengandungkan cucu Mak Cik!" kata Tang Mengying dengan berat hati.
"Mengying, dengar sini. Kamu sepatutnya gugurkan anak ini. Kalau kamu berdegil dan lahirkan dia, dia akan jadi anak yang tiada ayah. Kamu tahu betapa degilnya Sicheng. Apabila dia dah buat keputusan, dia tak akan ubahnya lagi."
"Mana boleh!" Tang Mengying mengetap giginya. "Mak Cik pun dah tak sebelahi saya sekarang. Mak Cik tahu kan macam mana saya layan Mak Cik selama ini. Dulu, adik lelaki saya…"
Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, tangan Qin Shuhua yang sedang menggunting bunga terketar dan wajahnya berubah pucat. Qin Shuhua terus membentak, "Cukup!"
Tang Mengying tahu dia telah menyebut kelemahan Qin Shuhua lalu mengetap giginya dan menyambung, "Mak Cik, saya nampak dengan jelas apa yang berlaku…"
"Cukup!" Wajah Qin Shuhua bertukar biru. "Kamu sedang ugut Mak Cik!"
"Tak, saya cuma ingatkan Mak Cik. Lagipun saya sedang mengandungkan anak Abang Sicheng. Mak Cik cuma perlu bagi anak ini berada dalam keluarga Li. Itu perkara yang baik, bukan?" Qin Shuhua kelihatan mula goyah. Tang Mengying gembira dan terus menyambung, "Ibu Su Qianci mesti ada lakukan sesuatu kepada Kapten Li, kalau tidak, bagaimana perempuan seperti itu boleh berkahwin dengan Abang Sicheng?"
Qin Shuhua sememangnya tidak begitu menyukai Su Qianci sebagai menantunya. Dia menjeling Tang Mengying dan bertanya, "Betulkah kandungan kamu anak Sicheng?"
"Mak Cik, poligraf itu dikeluarkan oleh hospital tentera. Mana mungkin ada kesilapan?" kata Tang Mengying sambil menyembunyikan perasaan gementarnya. Dia tahu ujian poligraf itu berjaya kerana dia percaya kandungannya adalah anak Li Sicheng. Walau bagaimanapun, jika Rong Rui tidak berbohong kepadanya…