Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 297 - Serangan Jantung

Chapter 297 - Serangan Jantung

Nenek Rong terkejut dan bergegas datang sambil menjerit, "Kapten Li!"

Qin Shuhua ketakutan. Ketika Nenek Rong melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Kapten Li, Qin Shuhua berundur ke belakang. Walaupun Nenek Rong amat risau, tetapi pergerakannya pantas dan tenang. Dia membaringkan Kapten Li dan apabila melihat Qin Shuhua kebingungan, dia terus berkata, "Jangan tercegat saja di situ. Telefon ambulans!"

"Oh ya!" Qin Shuhua segera mendail nombor hospital.

Nenek Rong menyuruh lagi dengan suara yang serak, "Ubat ada di atas. Pergi ambil!" Qin Shuhua yang sedang menelefon hospital terus bergegas menaiki tangga dan bertanya, "Bilik yang mana?"

"Pertama dari kiri!"

Qin Shuhua masuk ke bilik yang diduduki Kapten Li. Dia mencari di serata bilik itu tetapi tidak menemui sebarang ubat.

"Jumpa tak? Ia dalam laci!" Nenek Rong yang sedang melakukan CPR menjerit.

Panggilannya diterima oleh pihak hospital. Qin Shuhua memberikan mereka alamat rumah itu sambil membelek-belek laci. Tetapi ubat yang dikatakan Nenek Rong tiada dalam laci pertama. Laci kedua pula dikunci dengan mangga. Qin Shuhua mengambil perhiasan yang besar di atas almari dan menghempasnya pada laci kedua itu dengan kuat. Perhiasan dan mangga pada laci kedua itu terus pecah. Sebaik membuka laci itu, dia tidak melihat sebarang ubat tetapi menjumpai satu fail yang bertulis: Kontrak Perceraian!

Ketika kelasnya sedang berlangsung, Su Qianci mendapat mesej yang memberitahu Atuk telah dikejarkan ke hospital. Sambil direnung oleh semua orang, Su Qianci bergegas keluar dari kelasnya dan terus ke hospital. Kapten Li masih dalam keadaan koma. Qin Shuhua sedang menangis teresak-esak. Sebaik melihat Su Qianci tiba, Li Sicheng terus pergi kepadanya.

Su Qianci yang tercungap-cungap mencengkam lengan baju Li Sicheng dan bertanya, "Apa yang berlaku? Atuk macam mana?"

"Dia kena serangan jantung."

Su Qianci hampir menangis mendengarnya dan berkata, "Macam mana ia boleh berlaku? Selalunya Atuk sihat saja. Kenapa dia tiba-tiba kena serangan jantung?"

Li Sicheng memegang Su Qianci dan memandangnya sambil berkata, "Bertenang. Atuk akan baik-baik saja. Jangan fikir yang bukan-bukan."

Air mata Su Qianci terus jatuh. "Tak ada apa akan berlaku, tak ada apa…" Tiada apa yang akan berlaku. Pada kehidupan lalu Atuk telah hidup lama, jadi tiada apa yang akan berlaku kepadanya. Walaupun dia cuba menenangkan dirinya sendiri, Su Qianci tidak dapat menahan dirinya daripada menangis dan berasa takut. Dia teramat takut.

Pada kehidupan ini, terlalu banyak perkara yang berubah. Dia sentiasa dilindungi oleh Atuk sewaktu kehidupannya yang lalu ketika Li Sicheng membencinya. Jadi, pada kehidupan sekarang, disebabkan dia sudah berjaya memiliki hati Li Sicheng, Tuhan mahu mengambil Atuk daripadanya, bukan?

Tidak…

"Apa patut kita buat…" Su Qianci tidak dapat menahan dirinya daripada beremosi.

Li Sicheng memeluknya dan cuba menenangkannya sambil berbisik, "Jangan risau, Atuk akan baik-baik saja. Dia akan hidup selamanya. Jangan takutkan diri kamu sendiri."

Qin Shuhua masih memegang fail yang dijumpainya di dalam laci tadi. Apabila melihat pasangan itu berpelukan, dia merasakan seolah-olah ia satu gurauan. Mereka mempunyai perjanjian untuk bercerai setelah setahun berkahwin. Tetapi sekarang mereka berkasih-kasihan… adakah mereka sedang berlakon di hadapannya?