Su Qianci mengangkat gagang telefon dan mendengar suara Qin Shuhua. "Ibu," panggil Su Qianci.
Sebaik mendengar suara Su Qianci, Qin Shuhua diam seketika sebelum bertanya, "Sicheng ada?"
"Dia sedang mandi."
"Oh, patutlah dia tak angkat telefon. Boleh kamu suruh dia telefon ibu lepas siap mandi?"
"Boleh. Ada sesuatu berlakukah? Dah lewat malam."
"Tak ada apa. Ibu letak dulu." Qin Shuhua langsung tidak mahu berbual dengannya. Su Qianci sedikit terkilan dengan nada yang kedengaran sibuk itu.
Dia nak ke tingkat atas dan mendengar nada dering telefon Li Sicheng dari bilik kerja. Dia masuk dan melihat skrin telefon itu berkelip-kelip.
Panggilan daripada Tang Mengying.
Su Qianci menjawab telefon itu tanpa bersuara.
Tangisan Tang Mengying terus kedengaran. "Abang Sicheng, kamu sibukkah?" Kemudian dia batuk dan menyambung, "Saya rasa sakit sangat. Doktor cakap saya sedang alami alahan mengandung yang teruk. Anak kamu sedang lalui saat sukar. Boleh kamu datang dan tengok saya?"
Sebaik mendengar suara Tang Mengying, Su Qianci menggenggam telefon itu dengan kuat. Alahan? Anak kamu? Dia berasa meluat tetapi cuba bersikap tenang. Dia keluar dari bilik kerja itu dan menjawab, "Suami saya sedang mandi."
Mendengar suara Su Qianci, esakan Tang Mengying terus terhenti.
Su Qianci menyambung, "Dah lewat malam. Kami dah nak tidur. Kamu ada apa-apa lagi nak cakap?"
Tang Mengying terdiam dan terus memutuskan talian.
Su Qianci mencebikkan bibirnya. Dia membuka pintu bilik tidur utama dan melihat Li Sicheng keluar dari bilik air dengan hanya memakai sehelai tuala putih. Rambutnya yang kerinting masih basah dan air menitik ke atas kulit perangnya. Wajah Su Qianci bertukar merah dan dia memalingkan wajahnya. Walaupun dia telah melihat tubuh itu beberapa kali, dia masih tidak dapat mengelak daripada berasa malu.
Ketika Li Sicheng baru sahaja mahu berkata sesuatu, dia ternampak telefonnya di tangan Su Qianci. Dia menaikkan sebelah keningnya lalu pergi mengunci pintu sebelum terus memeluk Su Qianci dari belakang.
Merasakan tubuh yang basah dan hangat di belakangnya, wajah Su Qianci bertambah merah. Dia menggoyangkan badannya dan berkata dengan nada manja, "Keringkan rambut dulu. Basah."
Li Sicheng tidak berganjak malah meletakkan kepalanya pada leher Su Qianci. Dia menjeling telefon pada tangannya dan bertanya, "Kamu nak siasat saya?"
"Mana ada." Su Qianci menolak kepala Li Sicheng yang basah dan berkata, "Saya jawab panggilan."
"Kemudian?"
"Dia cakap…" Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, telefon itu berdering lagi. Kali ini ia datang dari rumah lama. "Ibu cari kamu."
Li Sicheng mengambil telefon itu daripada Su Qianci dan meletakkannya pada mod pembesar suara. Suara Qin Shuhua terus kedengaran, "Helo, Sicheng?"
"Ya Ibu."
"Ibu nak cakap dengan kamu tentang sesuatu. Su Qianci ada di situ?"
Li Sicheng memandang Su Qianci. "Ada apa-apa yang dia tak boleh dengar?"
"Tak ada apa, cuma ibu takut dia kecil hati…"
"Tentang apa?"
"Hari ini ibu pergi membeli-belah dengan Tang Mengying dan kami terserempak dengan budak-budak samseng. Sekarang dia alami alahan teruk kerana terkejut. Boleh kamu datang dan tengok dia?"
Su Qianci berasa semakin meluat dan memandang Li Sicheng.
Mata Li Sicheng berubah dingin dan dia bertanya sinis, "Apa kaitannya dengan saya?"
"Kamu tak boleh cakap macam itu. Lagipun…" Lagipun, besar kemungkinan bayi ini adalah anaknya. Ujian poligraf sudah membuktikannya, bukan?