Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 257 - Sungguh Tidak Tahu Malu!

Chapter 257 - Sungguh Tidak Tahu Malu!

Sebaik perbualan singkat itu selesai, Li Sicheng meletakkan telefon dan memandang Su Qianci.

"Kenapa?" Su Qianci melihat riak wajah Li Sicheng yang muram dan berasa tidak sedap hati. Pada waktu sebegini, ayah Li Sicheng tiba-tiba menelefon… Adakah ia disebabkan Tang Mengying?

"Tak ada apa-apa. Makanlah dulu. Nanti saya hantar kamu ke kampus."

Su Qianci menunduk dan berasa berat hati. Walaupun makanan sedap terhidang di hadapannya, seleranya sudah hilang. Dia mendongak ke arah Li Sicheng dan bertanya, "Apa yang berlaku?"

Li Sicheng menggelengkan kepalanya kerana dia juga tidak tahu. Walau bagaimanapun, ayahnya jarang naik darah. Seingat Li Sicheng, ayahnya itu pernah semarah itu kurang daripada tiga kali sahaja. Nampaknya ia bukan hal yang remeh-temeh. Tetapi dia tidak mahu Su Qianci risau, jadi dia hanya menggeleng.

Selepas makan, Li Sicheng menghantar Su Qianci ke hadapan kampusnya dan mencium dahi isterinya itu. Su Qianci keluar dari kereta. Melihat kereta suaminya berlalu pergi, hatinya terasa amat risau.

Di dalam kampus yang sesak itu, ramai rakan sekelasnya menghampiri Su Qianci sebaik melihatnya.

"Su Qianci, kamu baik-baik saja lepas malam semalam?"

"Mereka memang melampau, terutamanya ibu Tang Mengying. Dia tak patut digelar seorang wanita."

"Kami semua percaya yang Encik Li bukan orang sebegitu…"

Dengan berat hati, Su Qianci hanya mampu membalasnya dengan senyuman terpaksa dan terus masuk ke kelas.

Sebelum masuk lagi, Li Sicheng sudah dapat merasakan ketegangan di dalam rumah itu. Orang gaji mereka, Liu Sao, mundar-mandir di ruang tamu. Sebaik melihat Li Sicheng berjalan masuk, dia terus memberitahu, "Ayah kamu tunggu di bilik kerja."

"Apa yang berlaku?" tanya Li Sicheng.

"Kamu patut pergi sana dulu… Puan Tang…" Liu Sao terhenti. Li Sicheng merasakan hatinya remuk.

Dia lagi!

Li Sicheng sudah dapat meneka kenapa dia dipanggil. Melihat Liu Sao yang teragak-agak, dia mengangguk. "Saya tahu. Jangan risau. Semuanya akan baik-baik saja."

Liu Sao kelihatan lega. "Asalkan kamu tahu apa yang berlaku… Kamu patut berbincang dengan Su Qianci juga. Selama ini saya sangka Puan Tang baik, tapi sekarang…" Sungguh tidak tahu malu! Perempuan itu fikir dia boleh menjadi ahli keluarga Li hanya kerana dia mengandung? Tidak mungkin Li Sicheng akan melakukan sesuatu seperti itu.

Sebelum Liu Sao sempat menyambung kata-katanya, telefon Li Sicheng berbunyi. Ia datang daripada Cheng You.

"Encik Li, saya dah dapatkannya."

"Bawa ia ke rumah lama."

"Baik!"

Li Sicheng memutuskan talian dan mengangguk kepada Liu Sao sebelum berjalan ke bilik kerja. Sebelum dia masuk, dia mendengar bunyi seseorang sedang menangis. Kelihatan Tang Mengying dengan mata sembab dalam pelukan Puan Tang. Sebaik melihat Li Sicheng, dia terus menangis dan memanggil dengan lemah, "Abang Sicheng…"

Separuh sedar, Li Sicheng melihat perut Tang Mengying. Wanita itu memakai baju ketat berwarna hitam pada hari ini. Dengan kandungannya mencecah tiga bulan, wajah Tang Mengying kelihatan lebih bulat daripada biasa, malah tubuhnya juga sudah agak berisi.

Menyedari pandangan Li Sicheng, Tang Mengying memegang perutnya dan menyorok di belakang Puan Tang. Puan Tang ketawa mengejek dan berkata dengan sinis, "Lelaki yang tak berhati perut dah sampai."

Sebaik melihat Li Sicheng, wajah Li Xiao terus berubah tegang ketika dia berkata, "Melutut sekarang."