Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 234 - Sidang Media

Chapter 234 - Sidang Media

Namun begitu, kalaupun ada yang mahu mengapa-apakan dia, mengapa mereka pilih cara seperti itu? Adakah mereka mahu mengelakkan dia menghadiri sidang media ini? Atau mereka cuba membuatkan dia dirogol oleh lelaki mabuk? Atau mereka bukan saja mensasarkan dia tetapi Yu Lihan juga? Kemunculan Lu Yihan di situ amat pelik. Setelah majlis ini selesai, dia akan bertanya pada Lu Yihan tentang perkara ini.

"Qianqian, sudah tiba masanya." Kapten Li memanggil Su Qianci.

"Baiklah." Su Qianci meninggalkan Yu Lili dan berjalan menuju Kapten Li.

Yu Lili berasa agak bimbang. Dia mengambil telefonnya dan cuba menghubungi Lu Yihan. Seseorang menghampirinya dari belakang. Yu Lili berpaling dan tiba-tiba terlihat satu wajah yang amat dikenalinya.

Yu Lili yang terkejut, berundur dan menjerit. Melihatkan orang itu ialah Ou Ming, dia menjadi marah, "Tak guna! Kenapa dengan kamu ni?"

Ou Ming tidak mempedulikan reaksinya dan berjalan mendekati Yu Lili sambil mengecilkan matanya. "Kamu nak telefon siapa tu?"

Yu Lili berasa sedikit bersalah. Dia menegakkan badan dan berkata, "Apa kena mengena dengan kamu? Sidang media dah nak mula." Kemudian dia cepat-cepat berjalan pergi dari situ. Ou Ming memandangnya dengan perasaan tidak senang.

Perbualan semakin rancak. Kumpulan muzik Song Yifan hanya memainkan lagu pembukaan sebelum menyerahkan persembahan seterusnya kepada kumpulan lain. Para tetamu saling bertegur sapa dan berbual kecil di seluruh dewan.

Tiba-tiba, lampu menjadi malap. Cheng You senyum dan berkata, "Kami berbesar hati dengan kedatangan tuan puan. Sekarang ini, dipersilakan Puan Li, Su Qianci, untuk naik ke pentas." Sebaik Cheng You mengatakannya, semua orang memandang ke belakangnya.

Seorang gadis muda dan cantik, berjalan masuk sambil memegang tangan seorang lelaki tua. Semua orang terkejut melihat gadis muda itu. Su Qianci memakai gaun labuh berwarna keemasan, dihiasi taburan batu permata hiasan. Di bawah sinaran lampu candelier, gaun itu berkilauan. Rambutnya disanggul, beberapa helaian terjuntai secara semulajadi. Solekan tipis membuatkan wajahnya kelihatan muda dan berseri. Menakjubkan! Mereka semua tahu Li Sicheng sudah berkahwin dan ramai yang tahu isterinya cantik. Tetapi mereka tak tahu yang Su Qianci ini begitu menawan. Kalau dia berada dalam industri hiburan, dia pastinya antara yang paling cantik.

Kapten Li yang sangat puas hati melihat orang ramai terkejut dengan penampilan Su Qianci, mengangkat kepalanya dengan bangga. Walaupun sudah bongkok atas faktor usia, Kapten Li masih kelihatan agak tinggi di sebelah Su Qianci. Sambil memegang tangan gadis itu, Kapten Li pergi ke pentas dan mengambil mikrofon dari tangan Cheng You. "Terima kasih kerana sudi hadir. Saya Li Xun, datuk Li Sicheng."

Kedengaran tepukan bergemuruh. Li Xun ialah seorang wira perang yang menimbulkan ketakutan pada musuhnya dan kemegahan pada negaranya. Semua orang mengenali Li Xun. Walau bagaimanapun, mereka tak tahu yang Li Xun ada sisi yang lembut.

"Malangnya, profesor lama Li Sicheng meninggal dunia di Amerika. Pada mulanya, kami ingin menukar tarikh majlis ini. Tetapi memikirkan jadual para tetamu kehormat kami…" Walaupun sudah berumur, suara Li Xun masih jelas dan kuat. Ramai selebriti generasi lama memandang Li Xun dengan hormat. Dia merupakan wira yang telah mempertahankan negaranya. Kapten Li bukan sahaja menjadi lambang kemegahan Keluarga Li, dia juga merupakan idola kepada generasinya.