Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 212 - Mahu Tidur Bersama Kamu Sejak Pandang Pertama

Chapter 212 - Mahu Tidur Bersama Kamu Sejak Pandang Pertama

Su Qianci bingung. Mata Li Sicheng begitu dalam dan gelap, kelihatan sangat jujur sehinggakan Su Qianci mahu menjerit, 'Saya percaya.' Namun dia tahu. Dia tahu perkara ini mustahil. Lelaki ini berusia dua puluh enam tahun, usia kemuncak bagi seorang lelaki. Adakah waktu bersama dengan Su Qianci dulu itulah satu-satunya hubungan intim yang dia lakukan? Li Sicheng tidak pernah bertindak balas terhadap godaan Tang Mengying? Su Qianci mengelipkan matanya, ekspresi wajahnya kelihatan rumit.

Saat Li Sicheng terpandang mata Su Qianci, hatinya lemah. Tanpa sebarang jawapan daripada gadis itu, dia tidak tahu sama ada Su Qianci percaya padanya atau tidak.

Melihatkan keadaan itu, Nenek Rong cepat-cepat mencelah, "Sudah tiba waktu makan malam. Kamu perlukan tenaga untuk bergaduh."

Gaduh? Mereka sedang bergaduh?

Su Qianci memalingkan kepala, menarik kembali tangannya, berpusing dan naik ke tingkat atas.

Mata Li Sicheng membara memerhatikan Su Qianci berlalu pergi. Dia bergegas mengekori gadis itu.

Menyedari lelaki itu telah mengekorinya, Su Qianci berjalan lebih pantas. Sebaik dia masuk ke bilik tidur utama itu, dia mengunci pintu dan bersandar sambil menangis. Kenapa dia tidak ada keberanian untuk menyoal Li Sicheng? Bukankah lebih mudah kalau dia tanyakan saja tentang kehamilan Tang Mengying? Tapi dia tidak berani...

Bagaimana kalau Li Sicheng mengaku yang dia cintakan Tang Mengying? Su Qianci takut lelaki itu akan meninggalkannya. Sangat takut sehingga dia tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu lelaki itu. Seketika kemudian, Su Qianci mengambil telefon bimbit dan komputer ribanya, membuka pintu dan bersedia untuk keluar. Walau bagaimanapun, sebaik dia membuka pintu, dia melihat Li Sicheng berdiri di situ dengan wajah yang dingin. Su Qianci terkejut dan mahu menutup pintu. Namun Li Sicheng sudahpun menyelit masuk.

Su Qianci berundur dan Li Sicheng menghampirinya. Akhirnya Su Qianci dipaksa berundur sehingga ke satu sudut. Dia menjadi resah. Li Sicheng menjeling sekilas pada komputer riba yang Su Qianci pegang lalu mencampakkan barang itu ke katil. Kemudian tangannya ditahan pada dinding dan dia tunduk memandang Su Qianci. Mata gadis itu bengkak, jelas menunjukkan yang dia baru saja menangis.

Li Sicheng merasakan semua ini tidak masuk akal. Su Qianci menyalahkannya atas sesuatu yang bukan-bukan, dan sekarang ini dia pula menangis sebelum Li Sicheng buat begitu?

Li Sicheng merendahkan suaranya, cuba untuk tidak kelihatan marah, lalu bertanya, "Kenapa kamu tak percaya cakap saya?"

Hati Su Qianci kembali sakit. "Kenapa saya perlu percayakan kamu?"

"Saya suami kamu."

"Tapi saya bukan satu-satunya wanita untuk kamu." Su Qianci berusaha untuk senyum. Senyumannya terjejas dengan kesedihan dan kekecewaan.

Li Sicheng tunduk dan cuba mencium bibir gadis itu.

Su Qianci memalingkan kepalanya untuk mengelak bibir lelaki itu, membuatkan lelaki itu tercium pipinya pula.

Merasakan air mata Su Qianci, Li Sicheng menggunakan hujung lidahnya untuk merasai lebih banyak lagi. Dia mencium pipi Su Qianci, kemudian bergerak mencium mata, kening, hidung dan akhirnya memegang muka gadis itu dengan kedua belah tangannya dan mencium bibirnya perlahan-lahan.

Walau bagaimanapun, Su Qianci memuncungkan bibirnya, tidak membenarkan Li Sicheng berbuat sesuka hati. Air matanya mengalir semakin deras.

"Saya akan beritahu kamu satu rahsia." Kedengaran suara lelaki itu yang dalam.

Su Qianci mengerling padanya.

"Selain kamu, tidak ada wanita yang membuatkan saya ingin tidur dengannya sejak pandang pertama. Kamulah yang pertama, dan juga satu-satunya."