Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 211 - Bukankah Bayi Kamu Milik Saya

Chapter 211 - Bukankah Bayi Kamu Milik Saya

Tempat sama? Dia hanya pernah berjumpa dengan Lu Yihan di sebuah kafe. Walau bagaimanapun, apa yang begitu penting sehingga lelaki itu perlu bercakap dengannya secara berdepan? Su Qianci mengerutkan wajahnya, berdiri, dan bersedia untuk mengambil telefon bimbitnya dari bilik tidurnya.

Li Sicheng berdiri di hadapannya. "Ke mana kamu mahu pergi?"

"Saya mahu bertanya padanya, apa yang dia mahu cakapkan pada saya."

"Makan malam dulu."

"Bagaimana kalau ada hal penting?" Su Qianci mahu melangkah pergi dari Li Sicheng.

Li Sicheng mengetap bibirnya dan menangkap tangan Su Qianci. Seolah-olah ada ribut sedang bergelora dalam matanya. Li Sicheng berkata, "Dia minta saya hantar seseorang ke gudang di sebelah timur."

Mendengar kata-kata tersebut, mata Su Qianci tiba-tiba menjadi tajam. "Jadi dia tahu di mana Tang Mengying akan bertemu pembantunya?"

Li Sicheng mengecilkan matanya dan mengangguk.

Su Qianci berdiam diri seketika sebelum memanggil lelaki itu, "Li Sicheng."

Apa yang Su Qianci panggil dia? Li Sicheng?

Li Sicheng memandang Su Qianci dan tersenyum sinis, "Perlu saya ingatkan siapa kamu, Puan Li?"

Sewaktu mata mereka bertentang, Su Qianci menjadi gelisah. Dia masih takut dengan lelaki itu. Perasaan takut itu tidak hilang hanya kerana Li Sicheng bersikap baik terhadapnya. Sambil mengetawakan dirinya sendiri, Su Qianci memberanikan dirinya dan memandang tepat ke mata Li Sicheng. "Saya rasa saya tahu siapa yang bunuh bayi saya."

'Bayi saya', bukannya 'bayi kita'.

Li Sicheng memegang erat tangan Su Qianci dan bertanya dengan garang, "Bukankah bayi kamu milik saya?"

Merasai kesakitan, Su Qianci mengerutkan kening dan cuba untuk melepaskan tangannya. Namun, dia gagal.

"Beritahu saya!" Li Sicheng melihat kening Su Qianci yang berkerut dan tiba-tiba terlintas satu idea gila. Mungkin bayi itu bukan anak Li Sicheng.

Su Qianci berasa terhina dengan soalan itu. Lelaki ini meraguinya? Su Qianci menjadi marah dan nafasnya semakin laju. Merenung wajah dingin Li Sicheng, dia mencemuh, "Saya bukannya suka buat hubungan secara rambang seperti kamu, melakukannya dengan apa saja yang kamu lihat. Lepaskan saya!"

"Hubungan rambang?" Li Sicheng menggetap gigi dan melepaskan tangannya ke bawah. "Kamu kata saya apa?"

Kata-kata itu hanyalah sesuatu yang dia hamburkan tanpa berfikir, tetapi tidak mungkin dia boleh menariknya semula. Sambil menggeletar sedikit, Su Qianci berkata, "Salahkah? Kita sudah berkahwin, dan kamu tidur dengan wanita lain. Bukankah yang buat hubungan rambang itu kamu?" Suaranya seperti sedang histeria dan dia hampir menangis teresak-esak.

Li Sicheng terkejut, tetapi dia tidak kelihatan muram seperti sebelumnya.

Su Qianci memikirkan lelaki itu rasa bersalah dan lemas. Dia menggigit bibir bawahnya dan merenung Li Sicheng.

Nenek Rong baru sahaja selesai mengangkat kain jemuran dan masuk ke dalam bilik. Melihat pasangan tersebut bergaduh, dia terkejut. "Apa yang berlaku?"

Li Sicheng melambai tangannya pada Nenek Rong dan menjadi tenang, memandang Su Qianci yang sedang marah di hadapannya. "Atas dasar apa kamu fikir saya telah tidur dengan perempuan lain?"

Su Qianci mendongak memandang lelaki itu dengan matanya yang merah. Jika dia tidak tidur dengan Tang Mengying, dari mana bayi itu datang? Memikirkan perasaan Tang Mengying terhadap Li Sicheng, tidak mungkin Tang Mengying tidur dengan orang lain. Jika Li Sicheng tidak pernah tidur dengan Tang Mengying, bagaimana dia boleh hamil?

Su Qianci diam sahaja. Li Sicheng mendekatinya dan bertanya dengan serius, "Adakah kamu akan percaya jika saya beritahu, kamulah yang pertama dan kamulah juga satu-satunya?"

Related Books

Popular novel hashtag