Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 161 - Cuba Tidur Dengan Saya

Chapter 161 - Cuba Tidur Dengan Saya

Tang Mengying sedikit gugup melihat pandangan Li Sicheng. Matanya bergerak ke kiri dan kanan sebelum dia memanggil dengan berhati-hati, "Abang Sicheng…"

"Kamu maksudkan tentang apa yang berlaku di Australia atau apa yang terjadi kepada Su Qianci beberapa hari lalu? Atau…" Suara Li Sicheng yang dingin terhenti seketika sebelum dia menyambung, "Atau tentang kejadian lain yang saya tak tahu?"

"Saya tak ada kena-mengena dengan kejadian tempoh hari. Sepupu saya yang lakukannya tanpa pengetahuan saya…"

"Kamu tak perlu jelaskan kepada saya," kata Li Sicheng lalu membelakangi Tang Mengying.

Mata Tang Mengying terus bergenangan dengan air mata. "Abang Sicheng, kenapa kita jadi begini? Kamu kata kamu akan sentiasa layan saya seperti adik sendiri. Beginikah cara melayan adik kamu?"

Li Sicheng tidak mengendahkannya dan terus berenang ke arah tangga.

Tang Mengying menangis dengan lebih kuat dan menjerit, "Kalau begini, baik saya mati saja."

Tang Mengying berada di belakangnya, jadi Li Sicheng hanya mendengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air dan diikuti bunyi buih.

Li Sicheng berpaling ke belakang dan terkejut apabila melihat Tang Mengying sedang tenggelam. Wajahnya menjadi semakin tegang. Ugutan dan lakonan? Selepas memerhatikannya buat seketika, Li Sicheng mula bergerak. Dia memaut lengan Tang Mengying dan menariknya kembali ke permukaan.

Tang Mengying mengelap air daripada wajahnya sambil terbatuk-batuk. Dia kelihatan gembira. Tetapi apabila memandang Li Sicheng, dia menyedari lelaki itu kelihatan semakin bengis.

"Kelakuan seperti ini hanya akan buatkan saya bertambah benci pada kamu."

Wajah Tang Mengying terus berubah pucat. Air mata kembali mengalir di pipinya. "Saya cuma mahu kembali seperti dulu… Kamu dah lupa? Dulu kamu layan saya dengan sangat baik…"

"Weiya dan Shanya pun saya layan dengan baik, tapi mereka tak akan cuba ambil kesempatan untuk tidur dengan saya."

Walaupun ia kedengaran kasar, tetapi apa yang dikatakan Li Sicheng adalah kebenaran. Satu-satunya perkara yang dimahukan Tang Mengying adalah untuk menjadi isteri Li Sicheng. Walau bagaimanapun, bagi seorang wanita yang sering berbangga dengan dirinya seperti Tang Mengying, mendengar lelaki itu menyebut niat buruknya secara terang-terangan membuatkan dia terasa seolah-olah dibogelkan di khalayak ramai.

Tang Mengying kemudiannya menyedari seseorang berpakaian putih sedang berjalan ke arah mereka.

Perempuan itu! Dia yang telah memusnahkan segala impiannya dan membuatkannya menderita! Tang Mengying tiba-tiba mendapat idea. Dia terus menerkam Li Sicheng ketika lelaki itu terleka. Apabila Li Sicheng tersedar apa yang sedang berlaku, lengan Tang Mengying sudahpun memeluknya. Tang Mengying melekapkan tubuhnya pada tubuh Li Sicheng, dengan buah dadanya yang besar berada di dada lelaki itu. Kemudian Tang Mengying terus menciumnya di bibir…

Su Qianci sedang memegang sebotol air sambil memikirkan tentang rancangan percutiannya. Hubungannya dengan Li Sicheng bertambah baik sejak baru-baru ini. Apabila datuk mencadangkan Li Sicheng turut sama ke percutian itu, Li Sicheng tidak menolaknya. Walaupun ia cadangan datuk, ini adalah kali pertama sepanjang dua kehidupannya mereka akan bercuti bersama-sama. Adakah ini boleh dianggap sebagai bulan madu mereka? Hati Su Qianci berasa riang ketika dia pantas berjalan ke kolam. Dari jauh, dia ternampak dua orang berada di dalam kolam itu. Seorang lelaki dan seorang wanita sedang berpelukan dan bercium…