Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 162 - Dia Sepatutnya Sudah Lama Bangun dari Mimpi Itu

Chapter 162 - Dia Sepatutnya Sudah Lama Bangun dari Mimpi Itu

Su Qianci merasakan hatinya seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam. Botol air yang dipegang terlepas dari tangannya. Dia dapat melihat dengan jelas wajah Tang Mengying yang tersenyum mengejek ke arahnya dan membuatkan hatinya bergetar menahan marah. Segala perasaan sayang yang kembali mekar sejak beberapa hari lepas terus lenyap di bawah senyuman kemenangan Tang Mengying. Langkah Su Qianci terhenti dan matanya mula basah. Bagaimana dia boleh lupa Li Sicheng dan Tang Mengying sepatutnya bersama, dan dia hanya orang ketiga antara mereka? Tanpanya, mereka pasti gembira bersama. Dia betul-betul bodoh kerana percaya Li Sicheng melayannya dengan baik sejak akhir-akhir ini kerana lelaki itu sudah mula sukakannya. Atau mungkin, lelaki itu memang sukakannya, tetapi tidak lebih daripada itu.

Guruh berdentuman ketika cuaca tiba-tiba berubah. Langit terus bertukar gelap dan membuatkan suasana terasa melemaskan. Su Qianci terus berpaling dan berlari dari situ. Sekali lagi, dia merasakan dirinya amat tidak berguna kerana tidak mampu berhadapan dengan Li Sicheng dan Tang Mengying pada ketika itu.

Jangan menangis. Kau tak dibenarkan menangis.

Namun hatinya tidak dapat membuang rasa sakit itu. Sudah berkali-kali dia memberi amaran kepada dirinya sendiri supaya tidak jatuh cinta kepada lelaki itu. Tetapi dia terus diperbodohkan oleh fantasi yang diciptakan lelaki itu kepadanya. Sudah masanya untuk bangun, bukan? Dia sepatutnya sudah lama bangun daripada mimpi itu…

Li Sicheng berasa marah dan menolak Tang Mengying ke dalam air. Tang Mengying yang tidak menjangkakannya terus terjatuh ke belakang. Dia cuba menyeimbangkan badannya sambil terbatuk-batuk sebelum berkata perlahan, "Abang Sicheng…"

Li Sicheng membasuh bibirnya dengan air. Dia segera naik dari kolam itu, mengambil tuala untuk membaluti tubuhnya dan terus beredar.

Hujan turun dengan lebatnya dan menimpa kepala, wajah, tubuh, dan hati Tang Mengying. Hatinya terasa terbakar. Dengan wajah dan tubuh sepertinya, dia tidak pernah bertemu sesiapa selain Li Sicheng yang akan menolaknya berkali-kali. "Kau akan menyesal nanti. Kau dan perempuan itu."

Tang Mengying keluar dari kolam itu, tetapi tidak terus pulang ke rumahnya. Dia mengambil telefon bimbitnya dan membuat panggilan. "15 Oktober nanti, Kapten Li akan buat satu sidang media untuk Su Qianci. Sebelum ia berlaku, aku nak kau cipta satu kontroversi. Kau boleh buat?"

"Kontroversi macam mana?"

"Kontroversi yang akan buatkan mustahil untuk Su Qianci terus berada dalam keluarga Li. Lagi besar, lagi bagus."

Guruh terus berdentum dan angin menjadi semakin sejuk. Tang Mengying memeluk lengannya sambil menggeletar kesejukan. "Aku tukar fikiran. Jangan dedahkan apa-apa sebelum sidang media itu. Aku nak musnahkan dia betul-betul pada hari itu."

Kilat memancar seakan membelah langit. Awan terus menumpahkan hujan seolah-olah hantu sedang menangis.

Selepas selesai mandi di bilik air, Su Qianci melepaskan nafas lega sebelum dia berjalan keluar.

Kebetulan Li Sicheng baru sahaja masuk ke bilik mereka. Dia hanya memakai seluar pendek dan kelihatan air menitik dari tubuhnya yang tidak berpakaian.

Su Qianci menjelingnya sekilas sebelum terus berpaling ke arah lain. Ketika dia berjalan melepasi lelaki itu, lengannya tiba-tiba direntap. Mata mereka bertentangan.

"Kenapa dengan mata kamu?"

Matanya merah seolah-olah baru selesai menangis.

Su Qianci menolak tangan Li Sicheng dan menggelengkan kepalanya. "Bukan hal kamu." Su Qianci kedengaran agak marah, lalu dia membuka pintu dan keluar dari bilik itu.

Li Sicheng mengecilkan matanya dan berasa bingung.

Kenapa dengan perempuan ini?