Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 155 - Pelanggan CEO

Chapter 155 - Pelanggan CEO

"Cik Su, kenapa kamu cuba larikan diri? Adakah kamu mengakui berita-berita itu?"

"Cik Su, ada apa-apa kamu mahu cakap?"

"Cik Su…"

Su Qianci berasa jengkel dan melenting, "Apa yang kamu semua mahu tahu? Kamu tidak akan dengar jika saya beritahu perkara sebenar. Kamu mahu saya mengaku yang saya pelacur?"

Wartawan-wartawan tersebut diam seketika sebelum kembali bertanya bertalu-talu.

"Jadi kamu mengaku kamu pelacur?"

"Cik Su, keluarga kamu tahu tentang perbuatan tak bermoral kamu?"

"Saya dengar ramai CEO yang jadi pelanggan kamu. Betulkah?"

Su Qianci tidak dapat bertahan lagi dan ketawa sinis, "Kamu semua mahu tahu perkara sebenar?"

Wartawan-wartawan itu terus diam. Mereka menahan nafas menantikan kata-kata Su Qianci yang akan menjadi tajuk utama berita.

"Perkara sebenarnya, kereta yang saya masuk ialah kereta suami saya. Pelanggan CEO yang kamu katakan adalah Li Sicheng. Kamu boleh tanya dia sendiri." Kemudian, Su Qianci terus berpaling dan melangkah untuk pergi. Walau bagaimanapun, wartawan-wartawan itu sudah mahir dengan kerja mereka. Mereka terus mengepung Su Qianci bagi menghalangnya pergi.

"Encik Li dah berkahwin. Kamu tidak malu berkata begitu?"

"Walaupun Encik Li tak suka kehidupan peribadinya diketahui umum, dia cukup dikenali dengan reputasinya yang baik. Apa yang kamu katakan itu mustahil."

"Encik Li tak akan lakukan perkara sebegitu. Pasti kamu terfikirkan Encik Li sewaktu berasmara bersama pelanggan kamu."

Pada masa yang sama, artikel baru di internet mula dimuatnaik: "Su Qianci Mengaku Dirinya Pelacur dan Membayangkan Dirinya Isteri Li Sicheng."

Su Qianci mula faham apa yang berjaya dicapai oleh wartawan. Dia tidak sepatutnya mengatakan apa-apa. Dia menutup mulutnya dan cuba memboloskan diri dari kepungan itu, tetapi usahanya sia-sia.

Pin pinnnn!

Hon itu berbunyi semakin kuat apabila kereta itu mula mendekati Su Qianci yang sedang dikerumuni wartawan. Kebanyakan wartawan terkejut dengan bunyi itu, lalu menoleh ke belakang dan melihat sebuah Maybach hitam telah diletakkan di belakang mereka. Sebaik melihat kereta itu, Su Qianci terasa seakan tidak percaya.

"Wah, itu salah seorang teman lelaki dia!" jerit seseorang.

Wartawan-wartawan itu terus mengalihkan tumpuan mereka dan bergegas mendekati Maybach hitam itu. Seseorang keluar daripada tempat duduk belakang. Kamera-kamera terus memancarkan cahaya yang hampir membutakan. Lelaki itu keluar dari kereta dengan kakinya yang panjang, dan dia memakai kemeja bertali leher beserta kot. Penampilannya sahaja sudah cukup menunjukkan dia seseorang yang mempunyai nama.

Satu lagi artikel baru dimuatnaik: "Pelanggan CEO Muncul Dengan Kereta dan Pakaian Mewah. Pandangan Pertama: Seorang Jutawan!"

Walau bagaimanapun, sebaik mereka melihat wajahnya, semua orang terus terdiam. Lelaki itu tinggi dan kacak, serta mempunyai wajah yang tegas. Matanya kelihatan amat dingin dan seolah-olah dapat membekukan semua di situ. Tetapi kemudiannya wartawan-wartawan tersebut mula kembali teruja, walaupun tiada sesiapa yang berani untuk mula bercakap. Li Sicheng terkenal dengan sikap panas barannya. Suasana diam seketika selama satu saat, dua saat…

Akhirnya, seorang wartawan wanita tidak dapat menahan dirinya dan bertanya, "Encik Li, boleh saya tahu apa yang kamu buat di sini?"

Li Sicheng melihat sekeliling dan berkata dengan tenang, "Untuk ambil isteri saya."

Related Books

Popular novel hashtag