Sebaik melihat Su Qianci dipanggil keluar, pelajar-pelajar di dalam kelas itu mula berbisik-bisik.
"Universiti Kingstown tak akan berdiam diri dengan berita negatif sebegini. Semua orang mula pandang buruk kepada universiti, jadi tak mungkin pihak atasan akan biarkan dia terus jadi pelajar di sini."
Su Qianci mendengar bisikan-bisikan yang tidak henti itu. Dia meletakkan buku yang dipegangnya ke bawah, dan presiden itu berkata, "Ambil barang kamu dan ikut saya ke pejabat."
Sebaik sahaja presiden itu mengatakannya, kelas itu menjadi riuh-rendah. Su Qianci dapat merasakan pandangan kebencian dilemparkan ke arahnya, dan hatinya terasa sakit. Dia mengikut presiden itu, tetapi kemudian menyedari mereka tidak berjalan ke arah pejabat, sebaliknya turun ke bawah.
"Presiden Wang, bukankah pejabat kamu di tingkat atas?"
Tanpa menjawab pertanyaan itu, Presiden Wang membawanya ke padang bola. Sebaik tiba di situ, Su Qianci terus dikerumuni oleh ramai orang. Pelbagai jenis kamera dan bahan temubual diarahkan kepadanya. Su Qianci berhenti berjalan, tetapi mereka kelihatan tidak mahu melepaskannya dan terus mengerumuni Su Qianci.
"Cik Su, sini!"
"Jangan pergi. Kami hanya perlukan satu minit."
Mendengar kata-kata itu, Su Qianci mahu berpatah balik dan pergi dari situ. Wartawan-wartawan seperti ini tentu tidak akan menerima alasannya. Mereka akan membuat berita seperti mana yang mereka mahukan. Su Qianci tahu dia tidak boleh memberikan mereka sebarang peluang untuk memburukkannya lagi. Walau bagaimanapun, Presiden Wang tidak membazirkan tenaganya membawa Su Qianci ke situ hanya untuk membiarkannya pergi.
Presiden itu menghalang laluan Su Qianci lalu berkata dengan wajah bengis, "Cik Su, walau apapun yang berlaku, saya perlu menjawab kepada wartawan demi nama baik universiti. Saya tak boleh membahayakan reputasi universiti hanya disebabkan kamu."
Mendengar kata-kata itu, Su Qianci berasa amat marah sehingga tertawa. "Disebabkan saya? Presiden Wang, kamu dah cuba selidik perkara sebenar? Ada kamu tanya saya apa yang berlaku? Kamu seorang pendidik, tetapi kamu langsung tidak peduli tentang perkara sebenar."
Presiden Wang semakin marah, dan dia menolak Su Qianci untuk menghadap wartawan yang ramai itu. Wartawan-wartawan tersebut kelihatan teruja dan masing-masing cuba menyuakan mikrofon mereka ke mulut Su Qianci. Su Qianci cuba menutup wajahnya dengan tangan, tidak mahu mereka mengambil gambarnya. Tetapi mereka terus-terusan menolak tangannya daripada melindungi wajahnya.
"Kami sedang bersiaran secara langsung, dan saya ialah presiden Universiti Kingstown, Kathy. Pelajar ini telah membawa malu kepada universiti ini dan pelajar-pelajarnya. Disebabkan itu, dia dibuang dari Universiti Kingstown, berkuat kuasa serta-merta.
Ucapan Presiden Wang itu membuatkan para wartawan semakin teruja.
"Cik Su, ada apa-apa yang kamu mahu cakap?"
"Cik Su, betulkah kamu ada hubungan cinta dengan Kapten Li?"
"Cik Su, berapa ramai teman lelaki yang kamu ada sekarang?"
Su Qiani berasa matanya hampir buta dengan cahaya kamera yang tidak henti-henti mengambil gambarnya. Dia berasa pening dan hanya dapat mendengar "Cik Su."
"Saya…"
Pinnn!
Semua orang berpaling ke arah bunyi hon kereta yang tiba-tiba kedengaran. Su Qianci merasakan bunyi itu seperti biasa didengarinya. Tanpa berfikir panjang, ketika semua orang tidak menumpukan perhatian kepadanya, dia mengambil peluang itu dan terus melarikan diri.
"Dia lari! Halang dia!" Seseorang menjerit. Serta-merta semua perhatian kembali tertumpu kepada Su Qianci.