Su Qianci yang berasa malu dengan bisikan-bisikan tersebut menundukkan kepalanya ke bawah sambil berharap dia mempunyai tempat untuk bersembunyi. Dia menolak Li Sicheng dan berbisik, "Lepaskan saya."
Li Sicheng menunduk dan melihat telinga Su Qianci yang kemerahan… Sangat comel! Li Sicheng menutup telinga dia dengan tangannya dan berkata kepada Song Yifan, "Saya selalu dengar tentang kamu. Tapi sekarang sudah tiba masa untuk kami pergi."
Melihat perasaan tidak gembira yang jelas terpampang di wajah Li Sicheng, Song Yifan tersenyum, mengangguk, dan menghulurkan satu kad kepada Su Qianci, "Ini kad saya, Cik Su. Hubungilah saya bila-bila masa."
"Kad Song Yifan! Oh Tuhan!"
"Dia sungguh bertuah. Mengapa mereka tidak pilih saya?"
Hubungi dia bila-bila masa? Su Qianci berasa amat teruja. Idolanya memberi kadnya dan meminta dia untuk berhubung dengannya. Sejak dia dihidupkan kembali, ini saat yang paling gembira untuk Su Qianci.
Su Qianci menolak tangan Li Sicheng dalam keterujaannya dan dengan pantas mengambil kad tersebut. Kad itu amat ringkas, ia hanya mempunyai nama, nombor telefon, dan email. Tiada pangkat ditulis, dan ia sangat menggambarkan peribadi Song Yifan. Su Qianci teringat satu pepatah : merendah diri ialah cara terbaik untuk berbangga.
"Boleh kita pulang ke rumah sekarang?" Su Qianci terkejut mendengar suara dingin Li Sicheng. Dia mengangguk dan berkata kepada Song Yifan, "Saya rasa saya perlu pergi sekarang."
"Ini teman lelaki kamu?" Song Yifan bertanya.
Su Qianci mengebilkan matanya. Teman lelaki? Perkataan tersebut terasa janggal kepadanya. DIa tidak pernah mempunyai teman lelaki. Su Qianci hanya senyum dan menggelengkan kepalanya, dan tiba-tiba berasa seram sejuk di tulang belakangnya. Dia menoleh ke belakang dan melihat mata Li Sicheng yang kelihatan gelap. Su Qianci dengan pantas berkata, "Rumah, sekarang." Sambil menuruni pentas tersebut dan berjalan keluar dari restoran dengan diperhati oleh orang ramai, Su Qianci tidak dapat menahan diri daripada berasa teruja ketika memegang kad tersebut di tangannya.
Dia bukan sahaja berjaya menewaskan Tang Mengqing, tetapi turut bertemu Song Yifan hari ini dan mendapat kadnya. Su Qianci merasakan dirinya begitu bertuah. Dia mengikut Li Sicheng dengan rapat sambil terus menatap kad tersebut. Walau bagaimanapun, lelaki itu berhenti berjalan secara tiba-tiba. Su Qianci yang masih memandang kadnya terus terlanggar belakang badan Li Sicheng yang tegap dan membuatkan hidungnya sakit. Dia menutup hidungnya dengan tangan dalam kesakitan dan melihat ke arah Li Sicheng dengan mata yang bergenangan. "Sakit…"
Li Sicheng menoleh ke belakang dan melihat kad di tangan Su Qianci. Kemudian dia terus menoleh ke arah lain dan bertanya, "Apa yang istimewa di situ untuk dilihat?"
Su Qianci mengedipkan matanya dan tersenyum. "Semuanya." Melihat kad itu terasa sama seperti melihat Song Yifan sendiri.
Li Sicheng merampas kad itu dari tangannya. "Biar saya lihat."
Su Qianci terkejut, lalu cuba untuk mendapatkannya kembali. Walau bagaimanapun, entah secara sengaja atau tidak, kad itu terlepas dari tangan Li Sicheng. Tiada angin di Kingstown pada hari itu, jadi kad itu terus jatuh ke dalam celah penutup lubang jalan.
"Tidak!"