Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 149 - Rahsia Dia

Chapter 149 - Rahsia Dia

"Kad saya!" Su Qianci menjerit dan segera mencangkung untuk mencari kad itu. Di bawah penutup lubang itu, dia dapat menghidu bau kumbahan yang sangat busuk. Senyuman Su Qianci sebentar tadi terus hilang ketika dia melenting kepada Li Sicheng, "Mengapa kamu ambil daripada saya?" Tambahan pula, jalan tersebut begitu luas, tetapi dia berhenti mengejut betul-betul di atas penutup lubang tersebut. Dia memilih waktu itu untuk mengambil kad tersebut daripadanya dan jatuhkannya "tanpa sengaja." Atau adakah dia sengaja melakukannya?

Walau bagaimanapun, Li Sicheng bukanlah seseorang yang akan melakukan sesuatu yang kebudak-budakan seperti ini, bukan? Li Sicheng menjeling Su Qianci dan matanya menunjukkan satu emosi yang tidak jelas. Adakah perempuan ini sedang menjerit kepadanya?

Li Sicheng berkata dengan tenang, "Ia hanya sekeping kad nama. Saya pun ada kad nama juga." Kemudian dia betul-betul keluarkan sekeping kad dari poketnya dan menghulurnya kepada Su Qianci.

Walau bagaimanapun, nama di atas kad itu adalah Li Sicheng. Kad itu direka dengan baik, latar belakangnya berwarna hitam dengan tulisan berwarna perak. Sebaik sahaja melihat kad nama hitam itu, Su Qianci semakin terkilan lalu menghentakkan kakinya dan berjalan pergi.

Melihat Su Qianci berjalan pergi seorang diri, Li Sicheng berasa tidak senang. "Kamu nak pergi mana?"

"Rumah!"

"Kereta di belakang kita."

"Saya akan balik sendiri."

Li Sicheng mengerutkan keningnya. Adakah isterinya itu sedang menunjukkan sikap tidak matang? Dia fikir Su Qianci tidak akan berkelakuan begini lagi. Pada ketika ini, isterinya itu kelihatan seperti orang yang sama sewaktu majlis perkahwinan mereka.

Ketika Li Sicheng mahu mengejar Su Qianci, telefonnya tiba-tiba berbunyi. Panggilan itu datang daripada Luo Zhan, salah seorang rakannya. Li Sicheng menerima panggilan itu lalu meletakkan telefon di telinganya, tetapi tidak berkata-kata.

"Encik Li, maksud saya… Berapa lama tempoh yang kamu beri pada saya?"

"Kamu dah hilang ingatan?"

"Buat lawak pun tak boleh?"

"Kamu dapat apa-apa?"

"Sudah tentu. Tapi bersiap sedia ya."

Li Sicheng berasa tidak senang hati. Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena dengan latar belakang Su Qianci?

"Su Qianci membesar di rumah anak yatim walaupun nama keluarganya adalah Su…"

"Beritahu sesuatu yang saya belum tahu," Li Sicheng memotong.

Luo Zhan berkata, "Tunggu dulu! Ini baru permulaan…"

"Bagitahu saja cepat!"

"Bertenang. Kau tak boleh tergesa-gesa…" Luo Zhan berasa seronok apabila dapat membuatkan Li Sicheng hilang sabar.

Li Sicheng menahan dirinya untuk memutuskan talian dan berdiam diri.

Luo Zhan yang dapat merasakan dirinya dalam bahaya segera berdehem dan berkata dengan serius, "Bertahun yang lepas, anak perempuan keluarga Su, Su Han telah hilang sewaktu dia berusia 17 tahun. Mengikut siasatan, dia adalah mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan telah diperkosa di sebuah kampung yang terpencil. Selepas itu dia telah melahirkan seorang bayi."

Li Sicheng mengecilkan matanya dan berkata, "Maksud kamu..."

"Besar kemungkinan isteri kamu adalah anak Su Han bersama perogol itu. Tetapi ini hanyalah tekaan, dan ini juga bukan fakta yang paling menakutkan mengenai Su Qianci." Luo Zhan sengaja membiarkan cerita tersebut tergantung dan diam seketika. "Fakta yang lebih menakutkan adalah…"

Related Books

Popular novel hashtag