Su Qianci cuba memasang telinganya. Dia dapat mendengar bunyi bising dari arah dapur. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah meja dan menggapai telefon bimbitnya. Sambil mendial talian kecemasan, Su Qianci berjalan ke arah dapur. Walau bagaimanapun, sebelum sempat dia tiba, satu susuk tubuh yang tegap tiba-tiba muncul di hadapannya.
Su Qianci terkejut lalu berundur. Disebabkan dia berundur terlalu pantas, kakinya tersadung lalu menarik badannya jatuh ke belakang. Tetapi susuk tubuh yang berada di hadapannya lebih pantas; sebelum Su Qianci sempat jatuh ke lantai, dia menarik lengan wanita itu dan membuatkan Su Qianci jatuh ke dadanya.
Jantung Su Qianci terus berdegup kencang sebaik menghidu bau badan lelaki itu yang tidak asing lagi baginya. Dia mendongak, lalu mata mereka bertembung. Su Qianci merasakan dirinya hampir lemas dalam renungan mata lelaki itu. Walau bagaimanapun, dia segera tersedar lalu menolak Li Sicheng. Dia cuba menyembunyikan perasaannya, memandang ke tempat lain dan bertanya pantas, "Bila kamu balik?"
Melihat wajah Su Qianci yang ketakutan, Li Sicheng tiba-tiba terasa ingin menerkam wanita itu dan melepaskan nafsunya sehingga dia merayu. Li Sicheng melonggarkan tali lehernya apabila fikiran itu menerpa ke mindanya. Dia dapat menghidu wangian daripada tubuh Su Qianci, yang kini mengganggu hatinya yang telah tenang seketika sebelum ini. Dia baru sahaja minum, tetapi terasa dahaga kembali… Li Sicheng tidak mengendahkan soalan Su Qianci. Dia mengambil segelas air sejuk dan meneguknya pantas.
Su Qianci berasa sedikit kecewa walaupun dia sebenarnya sudah mengagak perlakuan lelaki itu. Dia kembali ke meja komputernya sebelum teringat komputer ribanya ada bersama Li Sicheng.
Ketika dia baru sahaja mahu bertanya tentang komputer riba itu, Li Sicheng lalu di sebelah meja komputernya. Lelaki itu menjeling ke arah skrin komputer Su Qianci, sebelum segera memandang ke arah lain dan berkata dengan nada tenang, "Bukankah kamu sepatutnya jalankan tugas seorang isteri?"
Su Qianci tergamam. Dia terus memandang lelaki itu dengan wajah terkejut bercampur tidak percaya. Wajah Li Sicheng masih tenang dan misteri seperti biasa. Menyedari lelaki itu tidak bergurau, Su Qianci menjadi gementar. "Li Sicheng, kontrak kita ada menyatakan yang kamu tak boleh paksa saya… lakukan perkara itu tanpa kerelaan saya."
"Paksa kamu lakukan apa?" Li Sicheng mengerutkan keningnya dan membuat wajah seolah-olah bingung.
Su Qianci semakin keliru dengan kata-katanya.
Li Sicheng menjeling wajah keliru isterinya itu dan berkata, "Saya cuma mahu kamu masakkan saya sesuatu. Apa yang kamu fikir?"
"Masak?"
Li Sicheng bertanya, "Kamu ingat saya mahu kamu lakukan…"
Lakukan apa? Seks? Li Sicheng tidak menyambung kata-katanya dan membuatkan Su Qianci terasa nafasnya bagai tersekat.
"Kamu ingat masak bukan tugas isteri?"
Su Qianci bingung seketika, dan kemudian wajahnya terus merah padam seperti terbakar.