Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 123 - Pencuri dalam Rumah

Chapter 123 - Pencuri dalam Rumah

Su Qianci langsung tidak percaya Kapten Li tidak pernah ke Maldives. Walau bagaimanapun, dia tetap perlu memberikan jawapan. Ketika Su Qianci masih ragu-ragu untuk menjawab, Kapten Li mengeluh dan berkata, "Tak apalah… tiada seorang pun yang mahu bercuti bersama orang tua seperti atuk. Ahli keluarga sendiri pun abaikan atuk."

"Atuk… Saya tidak bermaksud…." Su Qianci dengan pantas berkata.

"Jadi kamu ikut."

Su Qianci tidak mampu berkata apa-apa lagi. Sebaik sahaja panggilan tersebut selesai, seseorang mengetuk pintu. Nenek Rong memanggil, "Puan, makanan sudah siap."

"Kejap lagi saya datang." Walau bagaimanapun, ketika Su Qianci membuka pintu beberapa minit kemudian, Nenek Rong masih menunggu di situ.

"Puan, ini untuk kamu." Nenek Rong menghulurkan satu sampul kecil. Su Qianci mengambilnya dan membuka sampul itu yang berisi sekeping gambar. Dalam gambar itu, sebuah piano besar berwarna putih berada di bawah rimbunan daun yang cantik. Sinaran mentari kelihatan menembusi dedaunan itu. Seorang wanita berpakaian serba putih sedang duduk bermain piano, dengan air mata jernih mengalir di pipinya. Di belakang wanita itu, satu susuk tubuh yang tinggi berdiri tegak dengan raut wajah yang lembut. Wajah dingin yang biasa dilihat oleh Su Qianci tidak kelihatan pada gambar itu.

Adakah ini ilusi?

"Nenek Rong yang tangkap gambar ini?"

Nenek Rong mengangguk dan berkata, "Puan, sebenarnya Tuan tidak sedingin yang Puan lihat. Saya sudah jaga Tuan sejak dia kecil dan sangat kenal perangainya. Walaupun dia tidak menyebutnya, saya tahu dia telah jatuh cinta dengan Puan."

Su Qianci kelihatan bingung sebaik mendengar kata-kata itu.

Melihat reaksi Su Qianci, Nenek Rong menyambung, "Segala perkara yang berlaku antara pasangan berkahwin boleh dimaafkan. Puan hanya perlu bercakap dengan Tuan dan minta dia pulang ke rumah. Tidak elok dia tinggal di hotel sepanjang masa tanpa sesiapa menjaganya. Harap Puan tidak marahkan saya kerana masuk campur urusan kamu berdua. Dia sebenarnya seorang yang baik. Walaupun dia tidak banyak bercakap, dia tidak akan membuat sesuatu tanpa sebab. Jangan bergaduh lagi. Saya rasa amat sedih lihat kamu bergaduh. Saya akan bersara dalam beberapa tahun saja lagi. Saya harap dapat bantu jaga anak kamu berdua sebelum saya bersara."

Su Qianci menundukkan wajahnya dan tersenyum pahit. Apa yang dikatakan Nenek Rong semuanya benar, dan dia jelas mahukan kebahagiaan mereka. Tetapi Nenek Rong tidak tahu apa yang telah berlaku. Ia bukan kesilapan Su Qianci apabila dia menerima satu panggilan telefon yang telah membuatkan hatinya terasa amat pedih. Su Qianci mahu mengabaikan perkara itu, tetapi gagal. Dadanya terasa sesak setiap kali teringat perbuatan Li Sicheng itu.

"Saya tahu, Nenek Rong."

"Saya baru telefon Encik Li dan dia tak akan pulang ke rumah hari ini. Jadi saya telefon Kapten Li. Puan, saya minta maaf tetapi saya benar-benar mahu menjaga Puan dan Tuan dengan baik."

"Tak apa. Terima kasih, Nenek Rong."

Nenek Rong kelihatan bimbang dan mengeluh lagi apabila gagal mendapat jawapan yang tepat daripada Su Qianci. Pada jam hampir sembilan malam, Su Qianci yang telah selesai mandi turun ke tingkat bawah dan menuju ke ruang tamu. Sebelum mandi, Su Qianci berbincang tentang projek barunya bersama Lu Yihan dan meninggalkan kotak perbualan mereka pada komputernya terbuka. Walau bagaimanapun, apabila dia keluar dari bilik airnya, dia menyedari kotak perbualan tersebut telah ditutup. Seseorang telah menyentuh komputernya! Nenek Rong sudah pulang pada jam sebegini. Sepatutnya tiada sesiapa kecuali dia di dalam rumah. Nafas Su Qianci terasa seperti tersekat.

Adakah rumah ini dimasuki pencuri?

Related Books

Popular novel hashtag