Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 116 - Panggilan dari Luar Negara

Chapter 116 - Panggilan dari Luar Negara

Di dalam kereta, Su Qianci masih berasa sangat malu dan terasa seakan mahu menyembunyikan diri. Malunya! Reputasinya seakan sudah hancur.

Li Sicheng masih tenang seperti biasa. Dia melonggarkan tali lehernya sambil menjeling wajah Su Qianci yang masih merah padam. Dia tersenyum kecil sebelum berkata, "Esok saya akan pergi ke luar negara untuk urusan bisnes."

Su Qianci sedikit terkejut tetapi tetap mengangguk. Pada kehidupan yang lepas, Li Sicheng juga telah pergi ke luar negara untuk urusan bisnes selama beberapa minggu, sebaik sahaja majlis pertemuan semula itu selesai. Tetapi ketika itu dia langsung tidak memberitahu Su Qianci. Akhirnya Su Qianci hanya mendapat tahu daripada Tang Mengying yang Li Sicheng telah pergi ke Australia. Pada waktu itu, Tang Mengying yang merupakan setiausahanya akan sentiasa melaporkan kepada Su Qianci tentang keberadaan Li Sicheng. Su Qianci tahu Tang Mengying melakukannya dengan niat untuk berlagak kerana dapat meluangkan masa bersama lelaki itu setiap hari, sambil mengingatkan Su Qianci dia hanyalah seorang suri rumah yang menyedihkan.

"Saya akan pergi hampir sebulan. Kalau bosan di rumah, pergilah ke rumah lama dan temankan atuk."

Su Qianci hanya mengangguk. Walaupun tahu Li Sicheng pergi untuk urusan bisnes, dia tetap berasa tidak senang apabila memikirkan suaminya itu akan menghabiskan masa selama sebulan bersama Tang Mengying. Dia memandang Li Sicheng dan bertanya lembut, "Tang Mengying akan pergi bersama kamu?"

Li Sicheng mengangguk sebelum menyedari Su Qianci kelihatan tidak gembira. Dia menjelaskan, "Tang Mengying pernah belajar di Australia, jadi lebih mudah jika dia ada bersama."

Tapi perempuan itu licik!

Masih segar dalam ingatan Su Qianci, selepas tiga minggu mereka berangkat ke Australia, Tang Mengying "tanpa sengaja" menelefonnya untuk membuatkan dia mendengar suara Tang Mengying dan Li Sicheng sedang berasmara. Walaupun dia tidak pasti sama ada lelaki dalam talian itu Li Sicheng atau tidak, tapi bunyi mereka mengerang dan suara erotik mereka masih kedengaran jelas di telinga Su Qianci sehingga ke hari ini.

"Kamu tak suka dia ikut?" Li Sicheng bukannya tidak menyedari perasaan Tang Mengying terhadapnya, tetapi dia selalu percaya ia tidak berbahaya selagi dia tidak melayan Tang Mengying. Dia telah menganggap Tang Mengying seperti adiknya sendiri sejak mereka kecil lagi. Dia selalu tidak mengendahkan langsung usaha kedua-dua keluarga untuk menyatukan mereka. Apabila ibunya mencadangkan Tang Mengying sebagai setiausahanya, dia tidak membantah. Tetapi dia tidak pernah terfikir perkara itu akan membuatkan Su Qianci tidak gembira.

Su Qianci terkebil-kebil mendengar soalan itu. Bolehkah dia menjawab dengan jujur? Sudah tentulah dia tidak suka! Tetapi, apa alasan untuk dia tidak suka? Dia akan bercerai dengan lelaki itu. Mereka hanya ada kurang dari sepuluh bulan sebelum perkahwinan itu berakhir. Lagipun, Li Sicheng sememangnya lebih menyukai Tang Mengying berbanding dirinya, bukan? Tetapi, walaupun dia tahu itu semua, Su Qianci masih berasa tidak senang hati.

Kemudian dia menggelengkan kepalanya dan menjawab, "Saya tak akan masuk campur urusan kerja kamu."

Li Sicheng hanya diam. Selepas itu mereka berdua tidak berkata apa-apa lagi.

Hari-hari berikutnya, Su Qianci menghabiskan sebahagian masanya di rumah lama keluarga Li. Dia juga turut menghadiri beberapa kelas seni untuk mengisi masa lapang. Tidak lama selepas itu, semester baru bermula. Cuti musim panas telah berakhir, dan sekarang Su Qianci merupakan pelajar junior di kolej. Kehidupannya kembali sibuk.

Hari ke-28 selepas Li Sicheng pergi ke Australia, Su Qianci mendapat panggilan daripada Tang Mengying. Panggilan itu diterima pada masa yang betul-betul sama seperti pada kehidupan lepas…

Related Books

Popular novel hashtag