Li Sicheng berkata dengan tenang, "Jom balik ke rumah."
Su Qianci mengangguk, dan menyedari Maybach hitam telah sedia menunggu di hadapan hotel itu. Yang membuka pintu untuk mereka. Semuanya terasa benar.
"Puan Su?" Su Qianci mendengar satu suara yang tidak asing. "Tak sangka jumpa kamu di sini." Suara Sheng Ximing kedengaran gembira.
Tetapi senyumannya terus hilang sebaik sahaja dia melihat Li Sicheng. Dia terus bertanya, "Ini suami kamu?"
Su Qianci mengangguk sambil menjeling ke arah Li Sicheng. Pada kehidupan lalu, Su Qianci tidak pernah dibenarkan untuk memperkenalkan Li Sicheng sebagai suaminya seperti ini. Tetapi sekarang…
Wajah Li Sicheng sedikit berkerut. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Sheng Ximing. "Hai. Saya selalu mendengar cerita tentang kamu."
"Gembira jumpa kamu," Sheng Ximing menyambut tangan Li Sicheng sambil memandang lelaki itu dengan tajam. "Bagaimana dengan perkahwinan kamu?"
Li Sicheng terus teringat tentang kontrak perceraian yang berada dalam laci bilik tidurnya. Kontrak itu telah dicop oleh peguam yang berada di hadapannya sekarang.
Apa yang dia cuba katakan? Bukankah dia terlalu tua untuk menyukai seorang wanita muda berumur 20 tahun?
Li Sicheng memegang tangan Su Qianci dengan lembut dan menjawab, "Terima kasih kerana bertanya. Kami sangat bahagia bersama. Bukankah begitu, sayang?"
Su Qianci terkesima, dan jantungnya terasa terhenti sebaik mendengar panggilan itu. Wajahnya merah sedikit ketika dia mengangguk perlahan.
"Jom balik rumah." Li Sicheng memaut bahu Su Qianci dan berbisik dengan nada menggoda, "Balik rumah dan layan saya."
Darah seakan menderu naik ke wajah Su Qianci. Layan dia? Su Qianci menolak tubuh Li Sicheng. "Mengarut…"
Li Sicheng berpura-pura tidak faham. "Maksud saya layan saya makan. Apa yang kamu fikirkan?"
Yang tidak dapat menahan dirinya daripada tergelak kecil, dan membuatkan wajah Su Qianci semakin merah padam.
Tetapi dia berasa lebih malu apabila melihat renungan Sheng Ximing yang memerhatikan mereka. Su Qianci merenung Li Sicheng dengan tajam, menghentakkan kakinya dan menolak Li Sicheng sebelum masuk ke dalam kereta.
Melihat perlakuan Su Qianci yang jelas menahan malu itu, Li Sicheng tersenyum kecil.
Perasaan Sheng Ximing mula bercampur-baur. Pada mulanya, dia menyangka pasangan itu tidak mempunyai hubungan yang baik, dan kerana itulah Su Qianci datang berjumpanya membawa kontrak perceraian hanya beberapa hari selepas perkahwinan mereka. Tetapi, ia kelihatan tidak benar berdasarkan apa yang sedang dilihatnya.
"Isteri kamu cantik."
"Terima kasih. Saya pun fikir begitu," kata Li Sicheng dengan tenang. "Saya perlu pergi sekarang. Jumpa lagi."
Li Sicheng terus masuk ke dalam kereta dan duduk di sebelah Su Qianci.
Kereta Maybach hitam itu bergerak pantas meninggalkan Sheng Ximing keseorangan. Dia mengeluarkan satu jam poket dan memandang gambar lama di dalamnya. Wajah wanita di dalam gambar itu saling tidak tumpah seperti Su Qianci.
"Dia sangat mirip dengan kamu…"