Ketua pasukan tentera tersebut berkerut dan bertanya, "Siapa kamu? Kenapa kamu masuk campur urusan pihak berkuasa?"
"Awak pihak berkuasa ke?" Liang Shaoqing mula menyedari baju uniform yang sedang dipakai mereka, lantas berkerut canggung dan berkata, "Saya Liang Shaoqing. Saya melintas saja di sini dan ternampak yang awak sedang bertarung, sebab itulah saya datang ke mari dan nak dapat tahu. Saya tak sangka kalian semua ini seorang pegawai. Maafkan kebiadapan saya."
"Liang Shaoqing?" Ketua tentera itu cuba untuk memperingati, namun tidak mampu mengecam sesiapa yang bernama keluarga Liang, ataupun sesiapa yang berani masuk campur dalam urusan pegawai, lantas dia pun meradang dan berkata, "Pemalas semua, berambus ke tepi! Jaga-jaga dengan pedang yang tiada mata!"
"Ya, ya," Liang Shaoqing dengan pantas membalas. Apabila dia berpusing untuk beredar, dia tidak dapat menahan lidahnya daripada berkata, "Membunuh itu satu cemuhan kepada kehidupan yang bertamadun. Ada apa-apa masalah di antara kalian yang saya boleh tolong ke?"
"Kau ini nak mati agaknya!" Ketua itu menengking sambil mengangkat pedangnya!
"Ah!" Panik Liang Shaoqing yang sedang bercangkung di atas tanah sambil lengannya sedang menutupi kepala.
"Bodoh!" Chu Qiao menjerit, lantas mengeluarkan pisau belati dan melemparkannya ke arah ketua tentera itu tadi dan terus menikam lehernya. Mata ketua itu terbeliak, dan dia mengambil dua langkah sebelum terkulai layu di atas tanah!
"Ketua!" Ahli pasukannya yang lain menjadi panik dan meluru ke arah ketua mereka. Chu Qiao mengambil peluang keemasan di dalam suasana hiruk-pikuk itu untuk melonjak ke atas keldai cendekiawan tersebut dan mengekang talinya. "Mari kita pergi!"
"Ah! Cik, kenapa cik ada di atas keldai saya? Tak elok kalau lelaki dan wanita duduk dalam jarak yang dekat sebegini! Cik, apa kata cik…?"
Dengan sebuah dentuman, Chu Qiao menumbuk dada pemuda itu dengan kuat, dan menendang keldai tersebut dengan kedua kakinya sambil berkata, "Pergi!" Keldai itu tidak kurang hebatnya juga, dengan kelajuan yang sebanding kuda pertempuran biasa.
Setelah seketika, bunyi telapuk kaki kuda bergema dari belakang mereka dan Chu Qiao dengan yakin mengambil beg galas di belakang keldai sebelum melemparkannya ke atas tanah.
"Ah! Cik! Itu buku saya, beg saya, duit saya, kerja saya! Ah! Cik, itu dokumen saya untuk menyeberangi sempadan!"
Keldai itu ternyata lincah, meluru pantas di kawasan berbukit bukau yang membahayakan dan tidak lama kemudian pihak musuh ditinggalkan jauh.
Cuaca menjadi lebih panas apabila mereka menerokai kawasan selatan. Keldai itu telah berlari selama lebih dari dua jam di dalam kepanasan ini tanpa henti, melalui jalan yang berliku-liku yang diikuti dengan sebuah jambatan dan barulah keldai itu jatuh terjelapuk ke atas tanah, tidak berupaya untuk meneruskan perjalanannya lagi.
Chu Qiao dan Liang Shaoqing dilontarkan dari belakang keldai itu, dan oleh kerana kelincahan Chu Qiao, dia dapat menstabilkan dirinya sebelum mencecah ke tanah, namun Liang Shaoqing berguling-guling di atas tanah dahulu sebelum berhenti. Pemuda itu termuntah merata-rata sebelum dia dapat berdiri, baunya mengerikan, dan pemuda itu kelihatan kusut masai.
"Awak okey ke?" Chu Qiao bertanya penuh risau.
Cendekiawan muda itu berusaha untuk berdiri, tercungap-cungap sambil terhuyung-hayang, dan menggagap, "Awak… Awak perempuan tak berhati perut. Saya selamatkan awak atas kebaikan saya, tapi awak buang segala barang saya. Memang… Memang karut."
"Ini," Chu Qiao menghulurkan sehelai lap tangan putih dan berkata, "Lap mulut awak."
"Anggap… Anggap saja diri saya ini tak bernasib baik." Liang Shaoqing tercungap-cungap sambil berjalan ke arah keldainya dan ingin mengangkat haiwan itu supaya ia berdiri, namun cubaannya itu sia-sia sahaja kerana keldai itu terlalu penat. Cendekiawan muda itu pun mengamuk, "Bagus sangatlah. Sekarang awak pun nak nak menentang saya?"
"Keldai itu dah lari lama sangat. Dia takkan boleh bangun buat masa yang agak lama," Kata Chu Qiao. "Apa yang awak sedang buat itu?"
Liang Shaoqing meradang. "Apa yang saya buat? Saya nak pergi ambil barang-barang sayalah!"
"Kalau awak patah balik sekarang ia dikira macam menggali kubur sendiri."
"Kalau saya tak pergi sekarang, saya memang akan mati pun! Bagaimana saya nak pergi ke Tang Jing kalau saya tiada dokumen?" Amuk Liang Shaoqing. "Lagipun, saya tiada masalah dengan mereka. Saya rakyat yang mengikuti undang-undang. Kenapa mereka nak menyusahkan hidup saya?"
Chu Qiao mengangkat pedangnya dan bercangkung di sisi keldai yang terkulai di atas tanah itu tanpa memandang matanya, gadis itu berkata bersahaja, "Kalau awak dah tak nak hidup, awak pergilah. Mari kita lihat sama ada awak sempat sampai ke Tang Jing dengan selamat."
"Eh, awak dah selamatkan saya dan membawa saya jauh sangat. Terima kasih!" Chu Qiao berkata kepada keldai tersebut. Gadis muda itu tersenyum manis, dengan matanya yang sepet itu. Terdapat sepasang lesung pipit di pipinya yang membuatkan Chu Qiao kelihatan lebih comel dan bukanlah seperti gadis dingin yang selalu dipaparkannya kepada khalayak ramai.
Cendekiawan tersebut ditakutkan oleh Chu Qiao sehingga dia langsung tidak terasa seperti dia mahu berpatah balik. Apabila Chu Qiao hendak membuka mulutnya, Liang Shaoqing menyampuk, "Cik, awak tak rasa yang awak patut berterima kasih kepada saya? Saya dah selamatkan awak, tapi awak boleh berterima kasih kepada seekor binatang pula?"
"Awak selamatkan saya?" Chu Qiao meraih keningnya tinggi, melihat si cendekiawan ulat buku itu dan tergelak. "Bila? Kenapa saya tak tahu pun?"
"Ah? Kenapa awak tak berhati perut sangat? Ini ke cara awak berterima kasih kepada penyelamat awak? Bukannya sepatah kata terima kasih pun, malah awak beri sindiran kepada saya pula?"
"Awak bunuh pegawai-pegawai itu, atau awak selamatkan saya dari bahaya? Awak tak buat apa-apa pun. Siapa awak untuk kata yang awak dah selamatkan saya?"
"Awak… Awak…" Liang Shaoqing tergagap buat seketika, sebelum mengutur perlahan, "Saya cuba nak berbincang dengan mereka kerana keadilan, lepas itu…"
"Lepas itu mereka berjumpa Tuhan? Dan lepaskan kita dengan taat?"
Liang Shaoqing masih lagi terpaku di tempatnya, lidah terkelu. Chu Qiao menggeleng kepalanya dan berdiri, lantas bergerak ke hadapan pemuda itu. Walaupun gadis itu tidak dapat mencapai bahu pemuda itu, namun dia tetap cuba untuk menepuk bahunya. "Rasa tanggungjawab untuk keadilan itu bagus, tapi awak kena ada otak. Kalau awak tiada benda itu, jangan masuk campur hal orang lain. Kalau bukan kerana binatang yang baik ini, kita berdua pasti dah mati hari ini."
Wanita muda itu tergelak kemalu-maluan, dan menyeluk sakunya untuk mencapai dua helai wang kertas yang boleh digunakan di dalam daerah Xia, dan berkata, "Barang awak itu semuanya tak boleh didapatkan kembali. Saya akan bayar balik dengan wang perak yang saya ada. Maafkan saya kerana melambatkan kerja awak, tapi di sini tak selamat. Saya boleh iring awak ke pekan di sana. Boleh tak?"
"Hm!" Liang Shaoqing menepis wang kertas dari tangan Chu Qiao sambil menempik, "Saya seorang lelaki, setinggi tujuh kaki. Saya boleh berdiri dan saya boleh berjalan, jadi kenapa saya nak berasa takut? Tak selamat kalau saya masih berada dengan awak! Awak itu masih muda tapi sudah dikejar oleh pegawai-pegawai. Kalau awak bukan penyangak, mesti awak pesalah berulang kali." Cendekiawan itu bergerak ke sisi keldai dan mengangkat haiwan itu dengan kekuatan yang menakjubkan, membawa keldai itu menuruni bukit, selangkah demi selangkah.
Chu Qiao berdiri di tempat asalnya, tersenyum melihat cendekiawan tersebut yang ingin beredar. Gadis itu mengangkat wang kertas yang telah ditepis Liang Shaoqing tadi di atas tanah dan menjerit ke arah pemuda itu, "Ulat buku! Awak tak nak duit ini ke?"
Liang Shaoqing melambai ke arah Chu Qiao tanpa berpatah balik. "Langkah mayat saya dulu!"
Kata-katanya terus bemain di halwa telinga Chu Qiao. Setelah empat jam berlalu, gadis itu terjumpa Liang Shaoqing yang sedang ketawa terbahak-bahak di pasar hamba dan kuda Pekan Dong Guo.
"Cik, cik nak beli hamba tak? Hamba ini bagus, kuat dan berupaya, mampu melakukan tugas empat orang pemuda. Yang ini pernah menjadi guru seni mempertahankan diri, tapi dah menjadi hamba disebabkan kesilapan lalu. Dia berbakat dan juga pandai membaca. Eh? Penilaian cik ini baguslah. Hamba ini kacak walaupun dia lebih kurus, sesuai untuk dijadikan sebagai budak kundang. Memang sesuai dengan status macam Cik."
Pedagang hamba itu tetap mempromosikan hamba-hambanya yang terbaik kepada Chu Qiao. Gadis itu tersenyum, dan mengesan hamba-hamba yang lain sebelum meletakkan tumpuannya kepada Liang Shaoqing, yang sudah kemerahan. "Bos, berapa banyak untuk dia ini?"
"Itu?" Pedagang hamba itu bukanlah seorang yang bodoh, jadi dia menarik Chu Qiao ke tepi dan berkata, "Pemuda itu baru saja ditangkap oleh pengawal bandar. Dia tiada dokumen, tapi masih berani nak berlawan dengan pengawal bandar. Dia baru saja diheret ke sini untuk dijual, dengan tiada dokumen penghambaan pula itu. Cik, tolong berikan saya harga untuk diletakkan kepada pemuda itu. Kalau saya rasa berbaloi, saya akan jual dia kepada cik."
Setelah bertawar-tawaran, Chu Qiao mengheret Liang Shaoqing di sepanjang jalan. Wanita itu kelihatan bersahaja, manakala si lelaki itu pula walaupun kelihatan agak menyedihkan, namun agak beradap. Mereka telah mendapat perhatian dalam kalangan penduduk-penduduk Pekan Dong Gui, dan melihat parut di belakang badan Liang Shaoqing dan juga keadaannya yang sedang diikat itu, pastinya semua orang berbisik mengenai mereka.
"Oi! Buka ikatan saya sekarang!"
Chu Qiao berpusing malas dan bertanya dengan ceria, "Awak bercakap dengan tuan awak begitu teruk ke?
"Tuan apa? Saya seorang cendekiawan, tapi awak beli saya dengan wang. Memang kurang ajar betul! Kalau bukan sebab awak, saya pasti tidak akan berada dalam situasi sebegini…"
"Salah!" Chu Qiao menyampuk. "Pertama, saya tak suruh awak menyibuk hal orang lain pun. Kedua, awak bukan penyelamat saya. Saya yang dah selamatkan awak, ulat buku. Ketiga, saya tawarkan awak wang, tapi awak terus tolak. Kalau awak boleh membayar tol, awak pasti takkan ditangkap dan dijual sebagai seorang hamba. Jadi, awak sendiri yang dah gali lubang ini untuk diri awak sendiri, dan saya memang tiada kena mengena langsung dalam hal ini."
"Awak, awak ni memang tak kenang budi. Saya-saya…"
Dengan sebuah bunyi libasan, tali ikatan itu pun dipotong. Chu Qiao tersenyum dan lantas menghulurkan dua helai wang kertas kepada pemuda itu. "Mari kita berpisah di sini saja. Jangan ditangkap dengan orang lain pula kali ini."
"Seorang lelaki budiman selalu mengotakan janjinya dan ada prinsip kehidupan yang tersendiri. Saya takkan ambil duit awak, walaupun saya mati!"
Chu Qiao menggelengkan kepalanya dan tersenyum semasa melihat pemergian kelibat Liang Shaoqing yang semakin mengecil dan akhirnya hilang di hujung jalan itu. Jika bukan kerana jadualnya yang ketat, dia pasti akan berpatah balik untuk mengambil barangannya kembali namun keadaan memang tidak mengizinkannya dan kini pemuda itu hanya mampu mengira nasibnya sahaja. Chu Qiao telah melakukan kesilapan yang sangat besar dengan memasuki kawasan bandar untuk membeli kuda kerana dia memang tidak boleh berlengah lagi.
Gadis itu telah mendedahkan samarannya di Permatang Tang Ma, yang telah menyebabkan kenaikan kadar pengintip di seluruh daerah tenggara. Pada mulanya, dia hanya akan memakan masa selama dua hari untuk tiba ke destinasinya namun oleh kerana Chu Qiao yang harus sering bersembunyi, gadis itu telah mengambil masa selama lima hari untuk tiba dan setelah lima hari berlalu, Chu Qiao akhirnya tiba di bandar Xian Yang yang terletak kurang dari lima puluh batu dari Sempadan Bai Zhi.
Hanya terdapat dua laluan untuk memasuki Empayar Tang melalui Sempadan Bai Zhi. Laluan pertama untuk mengambil jalan utama dari pintu gerbang Sempadan Bai Zhi dan memasuki Bandar Bai Zhi namun sempadan tersebut memerlukan sehelai dokumen yang telah mendapat persetujuan oleh kedua-dua empayar. Walaupun jika seseorang itu seorang pengintip, sejumlah wang besar mampu dirasuahkan kepada pengawal untuk memasuki Empayar Tang. Sempadan Bai Zhi merupakan jalan masuk ke Empayar Tang yang paling dikawal ketat sekali. Chu Qiao tidak mempunyai dokumen-dokumen yang diperlukan dan gadis itu tidak berniat untuk menyelinap masuk melalui pintu gerbang di sempadan tersebut.