Chapter 9 - Bab 9

Suatu suara telah menarik perhatian Chu Qiao. Dia memalingkan badannya ke arah orang ramai itu dan terlihat seorang budak lelaki yang berkhidmat di dalam kajian cendekiawan sedang berceloteh dengan angkuh. Tidak jauh darinya, seorang remaja yang tinggi dan kurus berjubah hijau gelap berdiri di hadapan dewan sambil memalingkan mukanya menghadap dinding. Di sisinya berdiri empat orang pengikut.

Zhu Shun terperanjat. Memalingkan mukanya dengan pantas, dia menundukkan badannya, lebih rendah dari paras kelangkangnya. Dia menundukkan kepalanya sambil membungkuk dia berkata, "Tuanku Yan, orang suruhan saya tak berdisiplin, yang menyebabkan mereka untuk memperbodohkan diri mereka di hadapan Tuanku."

"Tahap kedisiplinan orang suruhan kau yang lebih penting, atau keluarga diraja yang lebih penting? Zhu Shun, aku rasa kau ni pasti tak betul."

Zhu Shun terpana. Dia jatuh melutut dan mula bersujud hormat, lantas berkata dengan pantas, "Saya takkan berani, saya takkan berani, saya tau saya salah."

Pengiring muda itu mengejek, "Kalau awak tau awak bersalah, apa yang awak sedang buat di sini lagi?"

Setelah mendengar itu, Zhu Shun berdiri dengan sekelip mata, dan terus meluru ke bilik bacaan Zhuge Huai. Hamba-hamba yang berada di ruang itu berundur ke suatu sudut. Salah seorang daripada mereka berkata dengan berhati-hati, "Bolehkah saya menjemput Tuanku Maharaja Yan untuk menunggu di dalam dewan?"

Remaja yang berjubah hijau gelap itu mengangguk dan memalingkan wajahnya perlahan, anak matanya yang hitam gelap itu mengimbas sekelilingnya. Apabila dia melihat Chu Qiao, matanya mengecil, seperti dia mengingati sesuatu. Dia berjalan terus ke arahnya.

Chu Qiao tetap tenang dan dengan waspada mengambil dua langkah ke belakang. Apabila Yan Xun melihat dia berundur, dia berhenti bergerak dan berfikir sejenak. Dia mengeluarkan sebuah botol tembikar putih dari poket lengan bajunya. Beberapa kuntum orkid halus telah diukir pada permukaan botol itu. Remaja tersebut menghulurkan botol tembikar di genggamannya itu dan mengangguk, mengisyaratkan kepada Chu Qiao untuk mengambil botol itu.

Chu Qiao merenung Yan Xun ke atas dan ke bawah, dan kejadian di dalam arena buruan itu bermain-main di fikirannya. Dia berdiri tegak berwaspada.

Yan Xun menjadi keliru. Serta-merta, dia melepaskan satu senyuman lebar dan membongkok untuk meletakkan botol itu perlahan-lahan di atas lantai. Setelah itu, dia berpaling dan berangkat ke dalam dewan, diikuti pengikut-pengikutnya.

"Urgh." satu erangan kedengaran di belakang. Xiao Qi hampir tidak mengenali bentuk muka Chu Qiao. Suaranya halus bak nyamuk, dan dengan ketakutan, dia berteriak, "Kakak Yue Er, Xiao Qi… Xiao Qi akan mati ke?"

Chu Qiao menunduk ke bawah dan meletakkan botol tembikar itu di dalam genggamannya. Setiap otot di tubuh badannya menjadi tegang, dan lalu dia memandang sayu seluruh kediaman utama keluarga Zhuge di seberang itu. Dia berkata perlahan dan tegas, "Xiao Qi, kakak akan pastikan kamu yang kamu akan baik-baik saja."

Mengangkat Xiao Qi, dia kembali berlari menuju ke laman hamba, bergegas ke dalam pondok dan membersihkan kecederaan Xiao Qi sebelum membalutinya. Ubat yang telah diberikan oleh Yan Xun didapati sangat berkesan. Ia bukan sahaja telah memberhentikan pendarahan, malah ia juga telah memberikan sedikit kesan bius. Xiao Qi mengeluarkan beberapa deruan sebelum tidur lena.

Xiao Ba, yang telah jatuh sakit selama ini, bangun dan hampir tidak berupaya untuk bergerak dari katilnya. Anak-anak ini semuanya telah mengalami trauma akibat kejadian baru-baru ini. Tiada sesiapa yang bercakap walau sepatah pun apabila mereka bangun pada pagi itu, mereka hanya merenung Chu Qiao yang sibuk menjaga Xiao Qi dengan muka lopong seperti orang dungu.

Hari semakin lewat. Chu Qiao mengelap peluh pada dahinya, luka di bahunya membara dengan kesakitan. Dia bersandar pada dinding, mendengar tekun erangan Xiao Qi di dalam tidurnya. Dia merasakan seperti seseorang telah mencengkam lalu merentap hatinya dengan kuat, kemudian membuangnya ke atas tanah bersalji yang sejuk. Lin Xi muncul di fikiran Chu Qiao setelah dia memejamkan matanya. Budak lelaki itu kacak dan berhati murni, lelaki yang telah berjanji dengannya bahawa dia akan melindungi Chu Qiao, lelaki yang telah dibelasah dengan kejam sehingga mukanya tidak dapat dikenali.

Setitis air mata mengalir daripada matanya yang tertutup. Ia mengalir ke dagu, dan lalu menitis ke kasut kainnya.

Secara tiba-tiba, suatu suara kelam-kabut didengari datang daripada luar pintu. Dalam kejutan, Chu Qiao membuka pintu dan bergerak keluar. Seorang gadis berusia dua belas ke tiga belas tahun berdiri di laman. Apabila dia melihat Chu Qiao, dia kelihatan seperti telah menemui penyelamatnya. Dia menangis dan meluru ke arahnya. "Yue Er, Zhi Xiang dan anak-anak yang lain daripada keluarga Jing telah dibawa pergi oleh orang-orang suruhan yang Pembantu Zhu hantar."

Chu Qiao memasamkan mukanya, dan suaranya tenggelam. "Dibawa pergi? Bila mereka dibawa pergi?"

"Mereka dibawa awal pagi tadi. Saya hanya berjaya menjumpai Lin Xi, menyuruhnya untuk memohon kemaafan daripada tuan muda keempat. Sehari telah berlalu tetapi masih tiada berita daripadanya. Apa yang patut kita buat?"

"Mereka ada cakap apa yang budak-budak tu lakukan?"

Mengelap air matanya, anak gadis itu berteriak dan berkata, "Mereka kata… Mereka kata kanak-kanak itu akan dihantar ke kediaman tuan besar di luar bandar."

"Apa?" Chu Qiao menjerit. Loceng amaran mula berdering di mindanya. Khabar angin yang diberitahu Lin Xi beberapa hari yang lalu mengenai hobi kejam tuan besar menari-nari di pemikirannya. Riak wajahnya bertukar pucat.

Xiao Ba berdiri di pintu. Setelah mendengar perbualan mereka sebentar tadi, seolah-olah dipukau, dia menuju ke arah mereka dan lantas menarik lengan baju Chu Qiao. Suaranya halus, seolah-olah seekor haiwan yang tercedera. Tanpa henti dia bertanya, "Kakak Yue Er, mana kakak Zhi Xiang dan budak-budak yang lain? Mereka pergi mana?"

Chu Qiao bertindak balas dengan berpaling dan memecut keluar dari pintu.

"Yue Er!" Gadis kecil itu memanggil dari belakang. Chu Qiao tidak menoleh, suatu perasaan buruk menyelubungi dirinya. Dia tidak pasti sama ada dia akan terselamat, dan dia tidak pasti sama ada dia mempunyai sebarang peluang untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut. Dia hanya mampu melakukan apa yang terdaya, terus memecut ke hadapan, tidak berani untuk berhenti.

Dia telah melepasi Istana Qing Shan, kandang kuda, dan laman-laman belakang. Berlari laju, dia tiba ke lima koridor melengkung di istana hadapan. Secara tiba-tiba, bunyi tapak kaki yang tergesa-gesa kedengaran. Chu Qiao berhenti dalam langkahnya dengan hati-hati.

"Kakak Yue Er?" Suatu suara kecil kedengaran dari belakangnya. Chu Qiao terperanjat. Dia berpaling, dan melihat Xiao Ba berblaus longgar, berdiri sedih di belakangnya. Dia tidak sempat untuk memakai kasut pun. Dalam kebingungan, dia bertanya, "Mana Kakak Zhi Xiang dan yang lain-lain pergi?

Memegang Xiao Ba, Chu Qiao berpaling dan bercangkung di dalam semak-samun. Ianya pertengahan musim sejuk dan kesemua bunga di dalam belukar itu telah layu. Mujur ianya juga pada tengah malam, di mana cahaya berkurangan. Ia akan menjadi sukar untuk melihat dua anak kecil ini.

Bunyi tapak kaki itu menghampiri mereka dengan lebih dekat. Terdapat empat orang lelaki yang sedang menolak gerobok ke arah mereka. Salah seorang daripada mereka sedang menolak, di mana empat orang lagi sedang menampung berat dari sisi gerobok tersebut. Laluan yang telah digunakan Chu Qiao itu sudah sangat terpencil daripada jalan lain, hanya pembersih sahaja yang menggunakan laluan ini. Dia menarik Xiao Ba rapat dan bercangkuk kecil di dalam semak samun itu, senyap menunggu lelaki-lelaki itu untuk melintasi mereka.

Lelaki-lelaki itu berhenti tepatl di tempat Xiao Ba dan Chu Qiao sedang bersembunyi. Xiao Ba kelihatan seperti dia berada dalam ketakutan yang teramat, badannya menggigil, menggenggam erat baju Chu Qiao di dalam tapak tangannya, langsung tidak berani untuk bergerak walau seinci.

Salah seorang daripada lelaki-lelaki tersebut berkata tajam, "Kalian, mari kita rehat dulu. Kita dah berjalan jauh tanpa rehat. Sekurang-kurangnya bagilah aku menghisap rokok."

Mereka yang lain ketawa, "Si tua Liu punya ketagihan untuk merokok dah datang dah." Di mana selepas itu, mereka menyalakan rokok mereka dengan senang hati, dan mula menghisap.

Chu Qiao mula berasa risau dan keningnya dikait rapat. Semasa angin sejuk bertiup lalu, Xiao Ba, yang sedang berpakaian nipis, mula menggigil teruk akibat kesejukan melampau. Dengan angin utara yang mula meniup laju, tikar jerami yang berada di atas gerobok tersebut telah diterbangkan pantas, berputar-putar di atas udara untuk seketika sebelum mendarat ke atas tanah dengan bunyi derap. Tikar jerami berwarna kuning itu lencun dengan darah berwarna merah gelap.

Chu Qiao dan Xiao Ba merenung ke dalam gerobok dan dengan sepantas kilat Chu Qiao menghulurkan tangannya ke mulut Xiao Ba, menutupinya ketat.

Cahaya bulan menyinari malam menembusi awan, membenarkan cahaya yang samar-samar untuk menerangi persekitaran. Mereka telah melihat sebuah timbunan mayat bertubuh kecil yang telah dilonggokkan di atas gerobok bersaiz sederhana, seperti setimbunan lobak putih tidak bermaya. Tubuh Zhi Xiang yang kurus terbaring bogel, dipenuhi lebam. Matanya masih terbuka luas kelihatan terkejut, darah beku mula berkumpul di hujung matanya. Bahagian bawah tubuhnya tercedera teruk dan anggota badannya yang lain diikat bersama. Postur badannya pelik dan dia telah diletakkan dalam cara yang paling tidak berperikemanusian di atas timbunanan mayat-mayat yang lain. Chu Qiao menutupi mulut Xiao Ba ketat, dan tangannya sebelah lagi memeluk Xiao Ba dengan cengkaman erat. Anak kecil itu kelihatan seperti telah hilang akal, nekad untuk melepaskan diri dari pelukan Chu Qiao. Beberapa titisan air mata hangat jatuh ke lengannya, gigi Xiao Ba menggigit kuat tapak tangan Chu Qiao. Darah segar mengalir keluar, jatuh ke pergelangan tangannya, dan akhirnya menitis ke tanah menghitam. Cahaya bulan menerangi belukar yang tidak berdaun itu, menutupi mereka dalam bayang-bayang sesuram ais beku.

Tiada siapa yang mengetahui berapa banyak masa telah berlalu. Kereta sorong itu kini berada semakin jauh dari mereka, dan mereka diselubungi sunyi sepi. Chu Qiao melepaskan tangannya perlahan-lahan. Daging di tapak tangannya boleh dilihat dan dilumuri darah. Xiao Ba kelihatan seolah-olah telah menjadi bisu, berdiri bersahaja dengan senyap, masih terpana. Chu Qiao mencapai pipi Xiao Ba lalu menepuk lembut, berhati-hati memanggil namanya dengan suara yang kasar. Angin menjadi dingin beku. Ranting-ranting reput menari-nari di udara. Pada malam yang sunyi sepi ini, muzik yang kedengaran daripada dewan utama kawasan kediaman Zhuge itu terasa seperti ianya datang dari dunia asing.

"Bunuh mereka…" gadis kecil berusia enam tahun itu membisik. Matanya meluas secara tiba-tiba, dan menyambung, "Saya nak bunuh… bunuh mereka!"

Mata anak gadis itu kemerah-merahan, menyelongkar persekitarannya seperti sedang mencari sesuatu. Lantas, dia mengangkat sebuah batu daripada belukar, lalu berdiri, dan mahu berlari ke arah kereta sorong tersebut. Mujur Chu Qiao mempunyai tindak balas yang pantas. Dia menahan anak gadis itu kembali, memegangnya erat di dalam pelukannya.

"Bunuh mereka! Bunuh mereka!" Anak kecil itu tidak mampu menahan kemarahannya lagi, mukanya dipenuhi dengan kebencian dan kepiluan, air mata berlinangan ke pipinya. Dia boleh jatuh tidak sedarkan diri pada bila-bila masa.

Chu Qiao merasakan seperti ada pisau yang menghiris-hiris hatinya. Dia menggenggam anak kecil ini di dalam pelukannya dan akhirnya air mata Chu Qiao bercucuran laju.

Binatang-binatang ini, manusia-manusia kejam ini, seribu kematian pun belum tentu dapat mencuci dosa-dosa bangsat seperti mereka. Chu Qiao tidak pernah merasai kebencian tahap ini, dan dia sudah semestinya tidak pernah mempunyai keinginan untuk membunuh seseorang sedalam ini. Dia telah diselubungi kebencian yang melampau. Dia membenci mereka, dia membenci kezaliman mereka ini, membenci dunia kejam ini. Tetapi dia lebih membenci kelemahannya dan ketidakupayaannya sendiri. Dia membenci bahawa dia hanya mampu melihat kejadian ini terjadi, tetapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk menolong mereka.

Anak kecil di dalam pelukannya akan jatuh pengsan tidak lama lagi. Teriakannya terasa seperti pisau, menghiris perit hati Chu Qiao. Kalau dia boleh mendapatkan sepasang senapang patah, dia tidak akan teragak-agak untuk bergegas ke dalam kediaman Zhuge, dan membunuh setiap bangsat yang tinggal di sana.

Malangnya dia tidak mempunyai apa-apa senjata. Dia tidak mempunyai apa-apa. Dia tidak mempunyai wang, tiada kuasa, tiada latar belakang, tiada skil, dan tiada senjata. Dia hanyalah sebentuk roh dari dunia pada zaman lain yang telah terperangkap di dalam tubuh badan kecil milik Jing Yue Er. Walaupun dia mempunyai minda dan pengetahuan beribu-ribu tahun lebih maju daripada zaman yang dia kini berada, pada masa itu, dia hanya mampu bersembunyi dengan berhati-hati di dalam belukar itu. Dia tidak dapat mengumpul keberanian untuk berjumpa mayat-mayat mereka untuk kali terakhir pun.

Chu Qiao mengangkat wajahnya perlahan-lahan, membiarkan cahaya bulan menerangi mukanya. Dengan senyap dia berjanji dengan dirinya sendiri bahawa inilah kali pertama dan terakhir kejadian seperti ini akan berulang lagi. Dia tidak mahu perkara sebegini untuk berlaku lagi. Dia tidak mahu hidup sebatang kara, dan tidak mahu hidup tanpa keupayaan untuk melindungi dirinya sendiri. Tidak akan lagi!

Bulan yang dingin itu kelihatan seperti ianya adalah cecair. Di dalam kediaman yang sangat besar ini, dua hamba kecil yang lemah sedang duduk bercangkuk di dalam belukar di laman belakang seperti dua ekor anak anjing comel, jarak antara kedua mereka rapat. Namun, di dalam hati mereka terdapat sebuah tahap kebencian yang dapat menghancurkan seisi dunia.

Mereka tiba di laman hamba pada tengah malam. Sebelum memasuki pintu gerbang, dia terlihat yang pintu pondok telah dibuka luas. Hati Chu Qiao menjadi lemah. Dia melepaskan tangan Xiao Ba sebelum meluru masuk ke dalam pondok itu.

Keadaan dalam pondok itu kucar-kacir. Atas pemanas tilam itu dipenuhi dengan kesan darah, tapak kaki bersaiz dewasa meliputi lantai. Tiada tanda Xiao Qi di mana-mana.

"Yue Er, kamu dah balik!" Gadis yang bertemu dengan Chu Qiao tadi merangkak keluar dari longgokan kayu api di sudut bilik itu.

Chu Qiao bergegas ke hadapan dan menarik gadis it. Lantas dia bertanya dengan suara yang dalam, "Mana Xiao Qi? Xiao Qi pergi mana?"

Gadis itu menangis dan menjawab, "Pembantu Zhu membawa orang-orang suruhannya ke mari dan membawa Xiao Qi bersama mereka. Dia berkata yang dia kini tidak boleh bekerja lagi dengan hanya satu tangan. Mereka membawanya keluar dan ingin mencampakkan Xiao Qi ke dalam Tasik Ting dan memberi makanan kepada buaya."