Chu Qiao bukan sahaja telah memandang rendah terhadap kebencian Zhao Chun'er kepadanya, malah dia juga telah memandang rendah terhadap kebijaksanaan Zhao Che dan juga pendiriannya dalam Empayar Xia. Setelah Zhen Huang menerbitkan poster tersebut, Empayar Xia yang sebelum ini berpecah-belah tiba-tiba mempunyai sebab untuk bersatu semula. Ramai pembesar feudal yang menyahut panggilan ibu negara dan persiapkan diri mereka untuk bertempur dengan mengadakan latihan berlawan, memberitahu tentang sejarah-sejarah perang dengan tekun, mengadakan perhimpunan serta mengadakan perarakan yang menakjubkan. Mereka kelihatan seperti telah bersiap-sedia untuk bertempur dengan tentera-tentera yang berbadan sasa dan bukannya seorang wanita yang berseorangan. Tentera yang sebelum ini sudah patah semangat setelah ditewaskan oleh tentera Yan Bei kini bersemangat semula. Sebaik sahaja mereka mendengar bunyi nafiri dan dentuman gendang, mereka berarak keluar dari pintu masuk bandar diiringi oleh komander mereka sambil menyanyikan lagu yang pernah mereka nyanyikan sewaktu berperang dahulu. Mereka mengembara ke dataran yang luas untuk memulakan usaha memburu yang sukar untuk dikecapi itu. Rakyat yang tidak mengetahui hal sebenar menyangka yang tentera Yan Bei telah menyerang lalu mereka melarikan diri dengan membawa segala barang berharga mereka bersama.
Chu Qiao sedar reaksi sebegini bukanlah disebabkan dirinya yang sangat terkenal tetapi disebabkan oleh ketakutan tentera Xia. Alasannya begitu mudah. Sewaktu ibu negeri meminta bantuan ketika pertempuran tempoh hari, tiada sesiapa pun yang datang membantu. Sekarang ini, tentera Yan Bei tidak berhasrat untuk kembali ke timur jadi keluarga Zhao telah menstabilkan diri mereka di bandar kedua terbesar lantas meraih kedudukan mereka kembali. Tentera-tentera lain yang ditugaskan di kawasan-kawasan sekitar Empayar Xia pun telah kembali untuk berkhidmat di bawah Zhao Che. Kekacauan sebagai akibat dari pemberontakan Yan Xun juga telah berkurang. Golongan bangsawan hanya ingin melepaskan diri mereka sahaja. Beberapa hari lepas, keluarga-keluarga bangsawan seperti keluarga Mu dari Lingnan, keluarga Zhuge dari Huaxi dan keluarga Wei dari Yinchuan telah menghantar utusan untuk mengangkut sejumlah rangsum dari bandar kedua terbesar ke ibu negara. Pada peringkat ini, niat mereka untuk melepaskan diri sudah terang lagi bersuluh.
Oleh itu, semua pembesar feudal yang tidak berani untuk menentang Yan Bei menuding jari ke arah gadis ini yang sudah melarikan diri daripada Putera Maharaja Ketujuh dan Puteri Maharaja Kelapan sewenang-wenangnya. Mereka percaya dengan membunuhnya, tentera Yan Bei pasti akan goyah. Tuan-tuan tanah yang ditugaskan di pelbagai daerah dan tidak diberitahu oleh ibu negara mengenai hal itu pun turut menzahirkan rasa taat mereka dengan menghantarkan bilangan tentera yang ramai untuk mengendalikan pemeriksaan pengawasan untuk menangkap gadis tersebut.
Hal ini merupakan suatu isyarat pembesar feudal kepada Maharaja. Namun, hal ini telah mendatangkan masalah besar kepada Chu Qiao kerana pada saat ini, dia telah berada di sempadan tenggara yang memisahkan Empayar Tang dan Empayar Xia, kudanya pula sudah penat dan mula meragam. Chu Qiao tidak mempunyai pilihan lain selain dari berhenti dan membiarkan kudanya untuk berehat. Gadis itu sudah tidak mempunyai selera lagi tetapi oleh sebab dia perlu memulihkan kembali kekuatannya, maka dia terpaksalah menjamah beberapa makanan kering dan minum minuman sejuk yang menyebabkan perutnya berasa kurang selesa.
Hari ini merupakan hari keenam pengembarannya dan dalam masa dua hari, dia akan memasuki kawasan Empayar Tang namun sebelum itu, dia masih perlu melepasi dua lagi kawasan yang ditadbir oleh negeri dan sebuah kawasan tidak berpenghuni yang kucar-kacir. Setelah itu dia akan sampai di sempadan pertama di bahagian utara Empayar Tang iaitu Sempadan Bai Zhi.
Selama ribuan tahun, Sempadan Bai Zhi telah menjadi satu lonjakan bagi angkatan tentera tanah besar utara untuk menahan pengepungan dari golongan minoriti sebelah utara. Banyak pertumpahan darah yang telah berlaku di situ dan tempat itu dikawal ketat malah lebih ketat dari Sempadan Yan Bei. Chu Qiao belum lagi menetapkan sebuah rancangan yang sempurna.
Apabila fikirannya melayang-layang memikirkan hal itu, bunyi telapuk kaki kuda kedengaran dari jauh. Chu Qiao berasa terperanjat lalu melihat dari jauh dan raut wajahnya kemudian berubah.
Lebih seratus ekor kuda menghampirinya dari jauh. Hal ini bukanlah seperti di barat laut iaitu apabila angkatan tentera menunggunya untuk menyerahkan diri. Hutan tebal tersebut pula dilengkapi dengan rabung yang tinggi-tinggi dan dengan kontur seperti itu, penyembunyiannya pasti akan terbongkar. Chu Qiao yang berada di atas kudanya hanya mengetap gigi lalu menderap jauh dari situ.
Dia menyusuri sungai yang melebihi tiga li bersamaan dengan 1.5 kilometer itu lalu kehilangan jejak musuh. Baru sahaja dia ingin menghembuskan nafas lega, tiba-tiba bunyi telapuk kaki kuda kedengaran lagi. Chu Qiao berkerut lalu bertindak tegas dengan mengambil dua buah batu gergasi dan mengikatnya di belakang kuda. Kemudian, dia menepuk hujung kuda itu untuk membiarkannya pergi.
Sudah bertahun-tahun kuda ini mengikutinya, segala susah dan senang mereka telah mengharunginya bersama jadi Chu Qiao mempunyai satu ikatan yang kuat dengan kudanya itu. Namun, setelah kuda itu bergerak beberapa tapak ke hadapan, ia tiba-tiba berhenti dan menoleh ke arahnya sambil menggoyangkan ekornya tanpa henti.
Chu Qiao mengambil beg galasnya dan berjalan ke arah hutan dan sewaktu dia memulakan perjalanannya, kudanya tadi mengekori belakang gadis itu yang membuatkan Chu Qiao berkerut dan lantas dia menggunakan pisau untuk mengelar leher kudanya. Kuda itu pun terperanjat dan meringkik dengan kuat sebelum menderap jauh meninggalkannya. Setelah telapuk kakinya beransur pergi, gadis tersebut menarik nafas panjang lalu mengambil beg galasnya kembali dan berjalan menuju ke arah hutan yang tebal itu.
"Pemerintah enam lautan, pengaruh kepada Ande Bang. Haluan Suci empayar maharaja merupakan contoh terunggul bagi kemurahan hati, kekayaannya dan kejatuhannya…"
Udara segar menghembus pada pagi musim bunga dan suatu suara berkumandang di sekitar kawasan pergunungan yang menghijau. Dari jauh, seorang cendekiawan sedang terduduk di atas seekor keldai sambil memegang sebuah buku yang berkulapuk, membacanya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Cuaca oada waktu itu kelihatan baik kerana hujan baru sahaja berhenti. Liang Shaoqing menutup bukunya dan mendongak perlahan-lahan lalu mengecilkan mata, wajahnya yang kacak dan muda itu mengeluarkan aura kebaikan. Pemuda itu lalu menghulurkan tangannya dan lantas membuka genggaman tangannya yang berisi beras itu. Seekor burung skylark kuning kemudian datang bertenggek pada tapak tangannya untuk makan beras itu sambil memandang wajah Liang Shaoqing yang langsung tidak memberikan sebarang tanda ancaman itu.
"Dunia ini masih berbelas kasihan. Pergilah dan jangan sampai tertangkap dengan pemburu burung lagi."
Burung tersebut kemudian berterbangan di sekelilingnya namun masih tidak beredar dan tiba-tiba sebuah cahaya terang menyinari wajah pemuda itu lantas menggambarkan sikap lembutnya itu.
Pada waktu itu, bunyi pertarungan mula kedengaran dari jauh. Cendekiawan tersebut terkaku sejenak dan cuba untuk mendengar bunyi itu, lantas dia berkerut dan berkata seorang diri, "Utamakan keselamatan. Jangan masuk campur urusan luar."
Setelah menghabiskan kata-katanya, dia mengangguk dengan yakin seperti meyakinkan dirinya dia benar, kemudian dia menoleh untuk kembali ke laluan asalnya dan mengelak dari terjerat dalam sesuatu hal yang tidak berkaitan. Namun, setelah dua langkah ke hadapan, langkahnya terhenti. Kalau si kuat sedang membuli si lemah bagaimana pula? Dia seorang lelaki yang budiman jadi bukan prinsip hidupnya untuk duduk berpeluk tubuh sahaja. Sewaktu mempertimbangkan tindakannya itu, cendekiawan tersebut duduk di atas seekor keldai dan mula berfikir panjang.
Bunyi pertarungan masih lagi kedengaran dan begitu juga dengan konflik yang melanda hati Liang Shaoqing, dia tidak mahu mencari masalah tetapi mengabaikan hal itu begitu sahaja pun bukanlah kebiasaannya. Setelah sekian lama, cendekiawan muda itu mengetap gigi, dalam fikirannya dia berfikir hanya dua orang peladang yang berbalah sesama sendiri dan jika dia yang menghentikannya, mereka berdua pasti akan berdamai. Jika situasi tidak dapat ditangani lagi, dia masih boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa tanpa mendapat sebarang masalah. Oleh itu, dia ingin melihat situasi yang berlaku terlebih dahulu lalu dia menepuk keldainya dan berkata, "Xiaoqing, jom tengok."
Nampaknya dunia tidak begitu adil kepada orang baik sepertinya. Pada saat itu, burung tadi yang mengelilinginya dan menunggu untuk diberikan beras lagi tiba-tiba berubah tidak sabar. Jadi, secara tidak sengaja, ia terkena kelopak mata keldai tersebut. Xiaoqing terperanjat lalu meringkik dan mara ke hadapan!
"AH! Xiaoqing! Xiaoqing! Kamu buat apa ini? Salah jalanlah!"
Angin bertiup melewati telinganya. Liang Shaoqing menggenggam leher keldai itu dengan erat apabila dia mula berasa loya, dia tidak mengetahui seekor keldai boleh berlari selaju ini. Ketika dia mengeluh, keldai tersebut berteriak dan tiba-tiba menghentikan langkahnya.
Senyap! Suasana sunyi sepi!
Bau seperti besi mula memenuhi udara seperti khinzir yang telah disembelih. Liang Shaoqing perlahan-lahan melepaskan tangannya dan memandang ke hadapan, lantas membuka matanya. Dengan perasaan takut dan peka, dia melihat keadaan sekelilingnya.
Semua orang menghentikan perbuatan mereka. Askar-askar yang dipenuhi dengan darah menoleh ke arah tetamu yang tidak diundang tersebut termasuklah seorang gadis yang dikepungi askar-askar tersebut. Setelah dua hari mengejar dan melalui lebih sepuluh pertarungan, mereka semua kelihatan letih. Pada saat ini, segala pergerakan akan mengaktifkan naluri utama mereka. Habuan besar sudah hampir dikecapi tetapi masalahnya siapa yang akan bertahan hingga ke saat akhir? Jadi, segala bantuan musuh dianggap sangat penting.
"Saya…hanya lalu saja…" Sengih Liang Shaoqing sambil melihat pedang yang dipenuhi darah di tangan mereka. Kemudian dia menerangkan kepada mereka, "Saya…keldai saya terkejut tadi jadi kami tak sengaja sampai di sini. Maaflah kalau kami mengganggu. Saya pergi dulu. Teruskanlah."
Liang Shaoqing duduk dengan tegak dan cepat-cepat bersedia untuk beredar. Namun, setelah menoleh, dia ternampak seorang gadis telah dikepung oleh angkatan tentera tersebut. Tubuh dan kelopak matanya bergetar dan pada waktu itu, dia sudah tiada masa untuk melihat wajah gadis tersebut. Dia hanya ternampak sepasang mata yang secerah kristal. Gadis itu memandang ke arahnya dengan dingin dan menyebabkan bulu romanya meremang.
"Serah diri saja, gadis bodoh! Kalau kau tak mati di tangan kami, kau akan mati sebab hilang banyak darah," Ketua angkatan tentera itu berkata dengan dingin. Chu Qiao mengatur langkahnya dengan berat. Musuhnya pandai menjejak dan dia juga telah menjadi cuai sedikit jadi hal itu sudah mencukupi buat musuh untuk menyerangnya. Walaupun gadis itu telah membunuh lebih daripada 30 orang musuh dalam masa dua hari ini, dia berasa sangat letih kerana tidak makan. Badannya sudah tidak bertenaga lagi dan pada saat ini, keberaniannya sahaja yang membuatkan dia masih lagi bertahan. Tangan gadis itu perlahan-lahan mencapai pisau belati miliknya, menarik nafas yang panjang dan menunggu perlawanannya yang terakhir menentang tentera tersebut.
"Nampaknya kau dah sia-siakan peluang kau!" Ujar lelaki itu dengan dingin. "Saudara! Lekas! Sekejap lagi kita boleh nikmati hidup kita! Mari bunuh dia sekarang!"
Bunyi pedang menandakan perlawanan itu bersambung semula! Pada waktu itulah satu teriakan berkumandang. Lelaki tadi menjerit dengan suaranya yang pecah-pecah itu. "Hentikannya!"
Dalam sekelip mata, semua orang terkaku. Mereka menoleh kepala mereka ke arah teriakan tersebut lalu terdiam seketika.
Cendekiawan muda tadi telah kembali dengan keldainya. Walaupun wajahnya kelihatan pucat dan takut, dia masih memberanikan untuk menyampuk, "Kamu semua membuli seorang gadis… tak tahu malu ke?"