"Chun'er," Putera itu berbisik, kini dia bukan lagi seorang putera yang kacak dan megah daripada dahulu, malah kelihatan seperti seorang tua pula. Dia menggenggam tangan kakaknya dan menyambung, "Adik dah hampakan kakak."
Zhao Chun'er tetap berdiam sambil menggeleng kepalanya tegas, air mata yang ditahan buat selama ini akhirnya menitik ke pipi dengan deras, memercik ke tanah semasa dia menggeleng kepalanya.
Chu Qiao berdiri dengan perlahan tanpa disedari sesiapa. Dalam suasana sebegini, badannya yang kecil itu kelihatan seperti dia langsung tidak diperlukan, tambahan pula dia yang telah bertanggungjawab ke atas segala pergolakan yang mereka sedang hadapi kini. Wanita muda itu berpusing dan mengambil pedangnya dan juga sebuah tikar yang sudah tercarik yang berada di lantai dan bergerak ke luar pintu.
Pintu hadapan itu berkeriang-keriut apabila ditutup, dengan hujan lebat yang membasahi bumi dan juga angin yang membeku, cuaca pada malam itu amatlah ganas.
Chu Qiao dengan pantas meluru ke kandang kuda dengan menggunakan tikar tersebut sebagai payungnya. Kuda pertempuran berwarna hitam di dalam kandang tersebut menjadi teruja setelah melihat kelibat Chu Qiao yang sedang menyapu tempiasan air hujan dari pakaiannya, lantas tergelak dan bergerak ke arah kuda tersebut, membelai-belai lehernya sambil berkata, "Kamu masih suka pada aku kan?"
Sudah semestinya kuda tersebut tidak memahami Chu Qiao, namun apabila melihat tuannya yang kelihatan mesra itu, ia pun menggelengkan kepalanya dengan gembira.
"Aku hanya boleh bergantung kepada kau saja malam ini." Chu Qiao tersenyum dan lantas bersandar pada kuda itu dan melabuhkan punggungnya, kuda itu pun menghulurkan lehernya dan membelai lengan gadis itu.
Pada ketika itu, sebuah objek tiba-tiba jatuh berdentum dari beg galas yang terdapat di atas kuda itu, dan Chu Qiao pun mengambil objek tersebut untuk memeriksa dan mendapati ia sebuah botol kecil yang berisi wain. Sudah lama wanita muda ini tidak menghirup wain, namun apabila wanita itu berpecah dari kumpulan tentera Utusan Barat Daya beberapa hari sebelum ini, Chu Qiao telah mengambil sebuah botol berisi wain daripada He Xiao tanpa berfikir panjang.
Ribut yang kencang masih lagi mengganas, langit sudah pun bertukar menjadi kelabu, menyekat segala sinaran matahari daripada menerangi bumi. Bahagian dalaman rumah tersebut ternyata hangat dengan pendiang api yang dinyalakan membentuk bayang-bayang dua adik-beradik diraja ini ke tingkap.
Chu Qiao masih lagi berehat di dalam kandang kuda, mendepangkan kakinya sambil bersandar pada kuda dengan sebelah tangan yang sedang memegang sebilah pedang dan sebelah lagi memegang botol wain itu, lantas mendongakkan wajahnya dan meneguk wain tersebut ke dalam mulut yang membuatkan dia serta-merta terasa panas di tekak. Gadis itu terbatuk teruk, seolah-olah dia boleh mengeluarkan paru-parunya. Kuda pertempuran tersebut terkejut dan lantas memandang ke arahnya, dan dia berkata berselang-seli dengan batukan, "Aku baik-baik saja… Aku baik-baik saja,,," Semasa dia tergelak, air mata mula menitik dari jujung matanya dan membuat satu aliran menuruni pipinya, namun dengan pantas aliran air mata itu berganjak dek Chu Qiao yang tidak henti-henti terbatuk. Hujan yang tidak henti mencurah-curah membuatkan bayangan wanita muda di dalam kandang kuda itu kelihatan kecil dan kurus, dan amat sepi.
Hujan akhirnya berhenti apabila subuh menjelma, matahari bersinar di antara kabus sebelum tenggelam dari pandangan sekali lagi. Chu Qiao memberi makanan kepada kuda tersebut sebelum bergerak ke pintu rumah, mengetuk pintu tersebut dengan lembut dan bertanya dengan suara yang serak, "Awak berdua dah bangun ke? Kita patut menyambung perjalanan kita."
Bunyi kersikan kedengaran datang dari dalam rumah, dan Chu Qiao yang kebingungan itu hanya menunggu di luar dengan senyap. Setelah seketika, pintu kayu itu terbuka dengan keriang-keriutnya dan Zhao Chun'er sedang berdiri di hadapan pintu dengan wajah yang dingin. Namun, suaranya tenang apabila berkata, "Adik Ketiga Belas nak awak masuk ke dalam."
Chu Qiao mengangguk dan mengikuti belakang Zhao Chun'er ke dalam rumah, lantas melihat Zhao Song yang sedang beristirahat di atas himpunan rumput jerami, rambutnya telah disikat kemas oleh Zhao Chun'er dan mukanya telah dicukur menampakkan raut wajahnya yang dulu kembali. Jika bukan kerana sebelah lengan bajunya yang tergantung kosong dari bahu, Chu Qiao pasti tidak dapat mengecam sama ada ini realiti ataupun mimpi buruknya.
"Tolong pergi." Zhao Song merenung dingin ke arahnya, suaranya memancarkan ketenangan, namun berbaur dengan kekejaman. "Saya tak nak berjumpa awak lagi."
Chu Qiao, yang sememangnya telah meneka situasi ini akan berlaku, langsung tidak berasa terkejut, dan lantas membalas dengan nada yang tenang juga, "Saya akan bawa awak berdua pulang. Perjalanan ke Zhen Huang itu jauh, dan saya risau nak tinggalkan awak berdua saja untuk pergi ke sana."
Zhao Song meraih keningnya dan merenung Chu Qiao. "Awak peduli apa kalau kita mati atau hidup?"
Chu Qiao tiba-tiba terasa seperti sebuah perasaan hiba telah mencubitnya dan lantas meneroka di setiap sudut hatinya, namun gadis itu mengambil sehela nafas panjang sebelum menyambung, "Tempat ini dah jadi kucar-kacir. Penyangak ada di mana-mana. Raja feudal yang lain semuanya sedang mengawasi situasi, cuba untuk meluaskan kuasa ketenteraan mereka. Pada saat ini, kuasa maharaja tak dapat nak menghalang mereka daripada mengapa-apakan awak berdua jadi awak berdua tak boleh mendedahkan identiti awak sebelum sampai ke Zhen Huang. Penyangak dah berkumpul berdekatan dengan tebing sungai di sebelah barat. Awak…"
"Cukup," Zhao Song memotongnya dengan segera, "Saya tanya, awak peduli apa kalau kita mati atau hidup?"
Hati Chu Qiao menjadi luntur, mengambil sebuah lagi nafas yang panjang, namun hanya mampu berbisik setelah sekian lama, "Zhao Song, saya tahu awak benci saya. Saya tahu saya punca semua ini terjadi, jadi saya memang tak boleh nak meminta maaf lagi. Tapi, saya tak boleh tengok awak berdua mati begitu saja."
Zhao Song tersenyum dingin, meraih keningnya dan merenung Chu Qiao. "Ah Chu, awak tahu tak kenapa saya suka sangat pada awak dulu?"
Chu Qiao terpana, meraih wajahnya setelah mendengar Zhao Song berkata dengan perlahan dan tenang. "Saya suka awak kerana diri awak yang sebenarnya. Awak selalu sangat berkeyakinan tinggi, tak kira walau apa pun status awak, identiti awak, ataupun masalah awak. Awak takkan memandang rendah terhadap diri awak sendiri, ataupun murung. Awak tak pernah berhenti berharap, selamanya mengekalkan kepercayaan itu, selamanya mempercayai kebolehan awak sendiri. Tapi," Wajah Zhao Song terus berubah kelat, menambah, "Saya benci sangat keadaan diri awak sekarang, yang bongkak dan pentingkan diri sendiri, selalu anggap yang diri awak itu sedang menyelamatkan orang lain. Awak fikir awak itu siapa? Apa yang awak fikir awak sedang lakukan sekarang ini? Nak bersikap pemurah? Nak menebus kesilapan awak? Ataupun awak nak berbuat kebaikan supaya awak boleh balik ke binatang itu dengan tenang, supaya awak boleh teruskan kehidupan?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya dan mengetap bibir bawah, cuba untuk menerangkan, "Zhao Song, saya…"
"Berambuslah! Jangan sampai saya jumpa awak sekali lagi!" Amuk Zhao Song. "Saya dah cakap pada awak sebelum ini, kita dah terputus segala hubungan. Jika kalau kita berjumpa sekali lagi selepas ini, salah seorang daripada kita akan mati. Mengkhianati maharaja empayar, membunuh orang-orang yang tidak bersalah, awak tak boleh nak tebus kesalahan awak walaupun awak mati seratus kali pun!"
"Zhao Song…"
"Berambus!" Tempik Zhao Song.
Chu Qiao masih tercegat di tempatnya, sendi-sendinya menjadi semakin lemah, dan dia pun menegakkan badannya dan berkata, "Zhao Song, saya akan pergi sebaik saja awak berdua memasuki Zhen Huang. Walaupun awak tak perlukan saya, tapi kita masih ada seorang puteri maharaja. Perjalanan di hadapan kita itu memang sukar. Saya pasti awak tak nak apa yang terjadi kepada tuan puteri untuk berlaku lagi."
Setelah mendengar kata-kata Chu Qiao, badan Zhao Chun'er menjadi tegang. Zhao Song memaling ke arah kakaknya dan berkata dengan penuh degil, "Saya akan lindungi kakak saya. Itu bukan masalah awak."
"Adik Ketiga Belas…"
"Jangan cakap yang kakak itu penakut sangat sampai kakak perlukan pihak musuh untuk lindungi kakak!" Zhao Song menempik sebaik sahaja Zhao Chun'er cuba untuk membuka mulutnya. Zhao Chun'er memandang Chu Qiao dengan penuh kerisauan, mengetap bibir bawah, namun tetap berdiam.
Sejam setelah itu, Chu Qiao melihat gerabak kuda Zhao Song dan Zhao Chun'er menghilang ke kejauhan, dan gadis itu tiba-tiba terasa lemah di seluruh badannya. Ribut malam itu telah menyebabkan dia diserang demam sehingga gadis itu tidak mampu untuk berdiri pun namun dia masih menunggang kudanya dengan gagah apabila matahari menyinar, cuba untuk mengejar gerabak kuda itu.
Semenjak hari itu, Chu Qiao mengekori gerabak kuda milik Zhao Song dengan penuh hati-hati dan oleh kerana gadis itu tidak dapat menjadi pemandu arah buat mereka dengan rasminya, dia hanya mampu mengosongkan jalan-jalan daripada semak-samun untuk mereka pada malam hari. Chu Qiao pasti akan menghalau penyangak-penyangak jika dia bertemu mereka dan bagi penyangak-penyangak yang lebih pintar dan berani, Chu Qiao telah memerangkap mereka dengan mendedahkan samarannya. Gadis itu akan mengekori gerabak kuda itu pada pagi hari dengan senyap dan oleh kerana kudanya yang lincah, dia tidak dikesan oleh sesiapa pun. Namun setelah empat hari mengekori mereka, Chu Qiao telah diserang penyakit akibat kepenatan yang tidak terhingga dan juga kekurangan makanan.
Hari masih lagi hujan apabila dia terbangun, tersedar dia sedang berada di dalam sebuah pondok yang usang dan ternampak Zhao Chun'er yang sedang memakai pakaian seharian rakyat biasa sambil memegang sebuah mangkuk yang mempunyai dua buah rangsum kering.
"Makanlah. Kalau awak mati, siapa yang akan mengiring kita balik?" Puteri Maharaja Zhao berkata tenang, memandang gadis itu dari atas dan meletakkan mangkuk itu di atas tanah sebelum beredar.
Lopak lumpur itu terpercik ke muka Chu Qiao akibat hujan yang menhentak ke bumi, yang membuatkan dia kelihatan seperti wajahnya berparut. Gadis itu melihat kelibat Zhao Chun'er yang semakin menghilang di sebalik hujan dan Chu Qiao tiba-tiba berasa kehangatan di dalam anak matanya.
Tujuh hari kemudian, bandar megah Zhen Huang muncul di pemandangan di sebalik kabus pagi. Bandar tersebut terletak di bahagian utara benua Meng barat dan telah menempuh peperangan dan juga konflik selama tiga ratus tahun, berdiri megah di atas dataran Hong Chuan yang kelihatan serupa seperti singa yang sedang tidur. Melihat bandar yang telah dididaminya selama lapan tahun itu, Chu Qiao tidak dapat bertahan dari berasa penat dan juga beremosi.
Apabila dia memusingkan kudanya untuk menuju ke barat laut, bunyi derapan kuda tiba-tiba kedengaran datang dari belakangnya, Chu Qiao pun merenung pemuda yang berada di hadapannya ini dengan tenang, masih berdiam.
"Awak nak pulang sekarang?" Zhao Song bertanya.
"Ya."
"Awak akan ke sana untuk mencari dia?"
"Ya."
"Awak akan pulang kembali ke sini?"
"Saya tak tahu. Mungkin ya, mungkin tidak."
"Haha," Zhao Song tiba-tiba tergelak kuat. Lengan bajunya yang kosong itu berkibar-kibar dihembus angin, kelihatan seperti sebuah layang-layang yang telah kehilangan sebelah lagi sayapnya. "Tengok, saya masih lagi seorang penakut!"
"Zhao Song," Chu Qiao berkata dengan nada rendah, "Terima kasih sebab jumpa saya buat kali terakhir."
Zhao Song tergelak kelat. "Awak boleh mengiring saya untuk perjalanan yang sebegitu jauh, takkan lah saya masih nak bermasam muka dan masih tak nak tegur awak?" Angin meniup pasir-pasir kuning itu sekeliling. Zhao Song sedang memakai pakaian serba cokelat yang kelihatan seperti dia seorang rakyat jelata, namun masih memancarkan aura seorang putera maharaja. Rambut pemuda itu berterbangan dek angin dan dengan nada dingin, dia mengujar perlahan, "Tapi, ini memang betul kali terakhir. Kalau kita bertemu sekali lagi, takkan ada apa-apa perasaan di antara kita. Saya takkan beri awak sebarang belas kasihan."
Chu Qiao menggeleng kepalanya perlahan, dan membalas, "Saya takkan bunuh awak."
"Itu masalah awaklah," Zhao Song berkata dingin. "Sesiapa sahaja yang mengkhianati empayar maharaja akan dijatuhkan hukuman bunuh."
Setelah mendengar kata-kata putera itu, Chu Qiao meraih keningnya tinggi, berkerut dan lantas bertanya sepatah demi sepatah, "Zhao Song, apa sebenarnya maksud empayar maharaja itu?"