Zhao Song berkerut dan terus mendengar Chu Qiao yang sedang membebel dalam nada yang rendah.
"Apa sebenarnya keadilan dan juga kepemerintahan? Awak rasa keluarga maharaja awak saja yang patut mempunyai kuasa terbesar? Kata-kata awak membawa makna yang sangat besar ke sampai tiada sesiapa yang dibenarkan untuk menentangnya? Peperangan di ibu negara itu tak sepatutnya dikira sebagai pengkhianatan! Tiada betul salahnya sekarang ini, hanya tinggal pemenang dan yang kalah saja. Dulu ayahanda awak dah menipu kawan-kawannya dan membunuh rakyat Yan Bei dan juga keluarga Yan Xun. Bagaimana lagi kita nak seimbangkan situasi itu? Selama lapan tahun ini, berapa banyak pembunuhan biasa dan juga terancang yang awak dah saksikan? Awak masih berani nak mengaku yang Zhao Zhengde itu betul-betul pedulikan Yan Xun, dan nak menolongnya? Perkahwinan itu semuanya penipuan untuk menutup mata rakyat jelata. Kalau kita tak memberontak pada malam itu, kita pasti dah mati di tangan Ba Lei dan Wei Shuye. Sekarang ini awak hanya mampu nampak dua batu nisan, dua bujur tanah. Zhao Song, awak dah tipu diri awak sendiri, awak betul-betul fikir dengan membutakan mata dan mentulikan telinga awak sendiri akan menghalang awak daripada melihat pemerintahan Empayar Xia ini yang bersifat menindas dan juga mendengar tangisan keperitan rakyat jelata? Kenapa awak tak pernah fikir mengenai semua ini? Bagaimana pemberontakan sekecil ini mampu untuk menghancurkan seluruh Empayar Xia? Saya tak menafikan yang saya dah hancurkan kepercayaan awak, dan mengecewakan awak walaupun awak dah ambil berat tentang saya dalam beberapa tahun ini. Tapi, saya langsung tak menyesal kerana telah mengkhianati empayar maharaja dan mencetuskan konflik ini. Kita dah ditakdirkan untuk bermusuhan sejak dari dulu lagi, tanpa ada sebarang ruang untuk memperbaiki keadaan. Kalau saya boleh jalani semua itu sekali lagi, saya takkan ubah walau satu perkara pun."
Kata-kata tajam itu memenuhi ruang udara, lantas didesis Zhao Song yang menggeleng kepalanya sambil berkata, "Ah Chu, sangkaan saya terhadap awak selama ini salah."
"Sangkaan awak betul, cuma awak saja yang tak pernah melihat diri saya yang sebenar," Chu Qiao membalas dengan jelas. "Zhao Song, tragedi kita ialah kita dah dilahirkan dalam era ini. Kebaikan sepatutnya dibalas dengan kebaikan. Lapan tahun dulu, Yan Xun menolong saya ketika saya dalam kesusahan dan apabila saya memutuskan untuk mengikuti dia ke Istana Sheng Jin, takdir kita dah ditentukan untuk bermusuhan. Awak itu putera mahkota Empayar Xia, tapi saya sedaya upaya cuba untuk menafikan masalah itu dan lambat laun, kita akan bertarung juga. Semua orang di dalam Empayar Xia tahu Majaraja tak akan melepaskan Yan Xun begitu saja, tapi awak masih dalam dunia awak sendiri. Selama lapan tahun ini saya cuba nak memberitahu awak dan menjauhkan diri daripada awak. Awak enggan terima kebenarannya dan mempercayai ayahanda awak sebulat-bulatnya beliau akan melepaskan Yan Xun. Zhao Song, saya tak pernah berniat nak menipu awak sejak dari mula lagi, apatah lagi mengkhianati awak. Tapi, saya dah sakiti hati awak. Saya akan ingat semua kebaikan dan juga kasih yang awak dah tunjukkan kepada saya selama hari ini. Kalau saya ada peluang pada masa depan, saya pasti akan membayarnya kepada awak."
"Nampaknya memang patutlah apa yang terjadi pada saya ini. Saya memang bodoh sangat." Zhao Song tergelak sambil kelihatan muram, lantas berpaling dengan yakin dan berkata, "Saya takkan beri awak peluang untuk membalas kebaikan saya. Ah Chu, tolong pergi, dan saya harap saya takkan berjumpa awak lagi."
"Zhao Song!" Teriak Chu Qiao dan Zhao Song pun menghentikan kudanya namun tidak berpaling.
Chu Qiao berfikir sejenak, dan bertanya setelah menarik nafas yang dalam, "Keadaan Yan Xun bagaimana?"
Belakang Zhao Song terus menjadi tegang setelah mendengar nama itu. Renungan matanya menjadi dingin apabila angin sejuk menghembus.
"Dia hanya akan mencederakan awak kalau dia terpaksa! Kalau dia langsung tidak dicederakan, dia pasti takkan benarkan orang-orang itu mengiring awak balik ke sini! Awak betul-betul dah cederakan dia, kan?" Walaupun Chu Qiao bertanya Zhao Song, namun ayatnya itu lebih kedengaran seperti sebuah fakta. Chu Qiao menguturkan ayat ini dengan penuh keyakinan yang membuatkan ia kedengaran seperti sebuah konklusi dan bukannya sebuah andaian.
"Ya!" Kata Zhao Song yang masih membelakangi Chu Qiao. "Dia takkan boleh hidup lama, tapi saya rasa awak sempat berjumpa dia buat kali terakhir."
Suara yang datang dari belakang pemuda itu kedengaran semakin menghilang dari halwa telinganya. Setelah sekian lama, sebuah suara yang serak kedengaran dari belakang pemuda itu, "Terima kasih sebab beritahu saya." Setelah Chu Qiao menghabiskan ayatnya, bunyi kersikan telapuk kaki kuda kedengaran bergema dari belakang. Chu Qiao telah beredar sebelum sempat mengucapkan selamat tinggal, sesuatu perkara yang dirasakan sudah tidak berguna lagi baginya.
Zhao Song tetap membatu semasa pemergian Chu Qiao, dengan kuda pemuda itu yang sedang mengikis tanah sambil menunggu arahan tuannya. Lengan baju pemuda itu berterbangan ditiup angin, memancarkan lagi kesedihan dan kemurungannya.
'Ah Chu, apa yang awak cakap itu benar. Bagaimana saya boleh jadi sebodoh itu? Selama lapan tahun ini, saya takut sangat tentang perkara yang akan berlaku, tapi saya tak sanggup nak lepaskan awak. Bagaimana saya boleh tak tahu? Saya cuma tak mahu mengakuinya. Saya fikir kalau saya kerja dengan lebih keras, saya boleh minta awak untuk terus berada di samping saya. Saya dah tipu diri sendiri selama hari ini sampai saya termakan tipu itu sendiri. Empayar Xia hampir musnah, dan saya percaya Yan Xun telah mengkhianati Empayar. Tapi perkara yang membuatkan saya paling sedih ialah awak yang dah patah hati terhadap saya! Walaupun saya dah teka perkara ini akan berlaku.'
'Awak sanggup buat apa saja tanpa bertanya apa-apa tapi awak masih dapat mengetahui segala-galanya, dan meneka segala-galanya, hanya disebabkan kepercayaan awak pada diri sendiri yang teguh sangat itu! Ah Chu, saya fikir saya mempunyai taraf yang sama seperti Yan Xun di dalam hati awak, walaupun saya kalah dengannya, tapi jarak markah antara kami berdua hanyalah sedikit namun saya sedar betapa salahnya saya.'
Zhao Song meraih wajahnya dan melepaskan ketawa kelat sambil matanya terpejam. Sia-sia sahaja segala usahanya selama ini yang memakan masa hampir separuh usianya itu.
Bunyi telapuk kaki kuda bergema kuat, dan Zhao Song pun membuka matanya untuk melihat Zhao Chun'er dan Zhao Che yang sedang meluru ke arahnya, bersama iringan pegawai tentera rasmi milik Xia seramai 300 orang.
"Mana Chu Qiao?" Zhao Chun'er bertanya, raut wajahnya serius. Gadis itu berada di barisan hadapan, langsung bukan seperti seorang gadis lemah, perwatakan yang biasa ditampilkannya gadis itu. Dia menengking sambil menghentikan kuda pertempurannya, "Adik Ketiga Belas, mana dia?"
"Dia dah pergi."
"Pergi? Bagaimana adik boleh biarkan dia pergi begitu saja?" Puteri Xia itu berkerut sambil terjerit, "Mana dia pergi?" Zhao Chun'er meradang setelah pertanyaannya itu langsung tidak dijawab Zhao Song. "Adik Ketiga Belas! Adik dah lupa apa yang mereka dah lakukan kepada kita?"
"Adik Ketiga Belas, dia pergi ke arah mana?" Zhao Che sedang memakai baju perisai berwarna hitam, matanya tertumpu ke arah lengan baju Zhao Song yang kosong dibuai angin itu namun pemuda itu langsung tidak mempersoalkannya setelah ia telah diceritakan oleh Zhao Chun'er sebentar tadi.
Pada ketika itu, sebuah babak tiba-tiba terlayar mindanya seperti sebuah puting beliung. Pemuda itu dapat mengingati setiap saat kejadian itu sejelas mungkin. Gadis itu sedang memakai gaun berwarna putih suci dan juga sepasang kasut but putih, rambutnya pula dihiasi dengan dua kuntum bunga indah. Gadis itu berkata kepadanya, "Nama saya Khayalan. Saya daripada Istana Wu You, pembantu rumah di bawah jagaan Cik Puan Dou. Tanggungjawab saya untuk membuat patung tanah liat untuk tuan muda dan juga cik. Ingat itu!"
Zhao Chun'er meraih keningnya dan memarahi, "Zhao Song! Awak itu lelaki keluarga Zhao atau bukan?"
"Ke sana." Zhao Song meraih jarinya dan menghalakannya ke arah laluan yang telah diambil Chu Qiao tadi. Setelah itu, 300 tentera terus meluru untuk menjejaki gadis itu, meninggalkan habuk setelah peninggalan mereka.
'Ah Chu, memang tiada apa-apa antara kita di pengakhirannya. Kita mempunyai pendapat yang berbeza dan memang mustahil untuk kita mempunyai pendapat yang sama pun. Awak mengambil risiko ini untuk menghantar saya pulang, tapi saya tak boleh benarkan awak pergi begitu saja. Tiada apa. Tiada apa. Kata-kata yang diujarkan pada hari itu telah menjadi benar.'
Persekitaran kawasan itu kelihatan amat memilukan apabila angin menghembus. Zhao Song menghalakan kudanya dan meluru ke arah Bandar Zhen Huang dengan bayangannya yang kelihatan condong.
"Tuanku Ketujuh, tiada sesiapa di hadapan." Pegawai Chi melaporkan.
Riak wajah Zhao Che kelihatan gigih, namun sebelum dia mampu berkata apa-apa, Zhao Chun'er telah memotongnya, "Kuda dia pantas. Hantar pasukan kesepuluh untuk mengejar dia. Tak kira betapa lajunya dia, dia mesti harus berhenti untuk makan dan minum, lambat laun kita akan dapat mengejarnya juga. Lagi satu, hantar surat kepada semua daerah berdekatan dari tempat kedudukan Chu Qiao itu dan kata gadis daripada Yan Bei yang telah membunuh pasukan tentera mereka itu sedang mara ke arah mereka secara berseorangan. Saya tahu bukan saya seorang saja dalam dunia ini yang membencikan dia dan ramai orang yang akan membunuh dia untuk kita. Saya nak lihat bagaimana dia mampu untuk pulang ke Yan Bei berseorangan."
Zhao Che meraih keningnya dan berpaling untuk menghadap adiknya itu dan bertanya, "Chun'er, kamu ada terserempak dengan sesiapa ke semasa datang ke sini?"
Zhao Chun'er terpaku dan perlahan-lahan meraih pandangannya. "Abang Ketujuh, kenapa abang tanya?"
"Kamu dah banyak berubah."
Anak mata Zhao Chun'er kelihatan murung dengan babak-babak kotor itu yang masih bermain di dalam mindanya, dan gadis itu pun melepaskan ketawa kelat. "Abang Ketujuh, saya tak berubahlah. Saya dah besar saja."
"Gerak!" Teriak Zhao Chun'er sambil kudanya menderap laju. Zhao Che dan ahli tentera yang lain mengekori gadis itu dari belakang.
Setelah beberapa lama, sebuah kelibat kecil melonjak keluar dari sebalik belukar di jalan yang panjang itu. Hati gadis itu luluh apabila melihat arah yang dituju Zhao Chun'er. Seperti yang disangka, Zhao Song telah mengkhianatinya namun dia dengan sengaja telah memilih jalan untuk pulang ke Yan Bei. Jika Zhao Song tidak melaporkan hal itu, mereka pasti akan mengambil laluan yang lain.
Zhao Chun'er terdiam semasa perjalanan pulang mereka, langsung tidak mempamerkan niat jahat yang telah dirancangnya. Gadis itu telah bercadang untuk mengumpan Chu Qiao untuk mengiringi mereka ke Zhen Huang dengan selamat, dan setelah tiba di sana, puteri maharaja daripada Empayar Xia ini memang berhasrat untuk membunuhnya!
Chu Qiao berdiri di atas dataran kosong yang besar itu. Burung-burung helang berterbangan di udara, mempamerkan sayap putih mereka. Gadis itu meraih jarinya untuk membuat bunyi siulan dan dari kejauhan, dan lantas seekor kuda pertempuran muncul dalam penglihatan dan terus menuju ke arahnya, berpusing sekeliling gadis ini dengan gembira. Chu Qiao melonjak ke atas kuda itu dan tergelak. "Sayang, kita akan ambil jalan yang jauh. Jalan di depan itu dah dihalang."
Zhen Huang dan Yan Bei telah dipisahkan dengan sebuah dataran berumput. Beberapa buah daerah Empayar Xia telah mengarahkan rakyat-rakyat mereka untuk memotong rumput dan juga menjalankan sesi penebangan pokok supaya mereka dapat menghalang Garison Utusan Barat Daya dari melepaskan diri. Setiap sungai, setiap jambatan dan setiap jalan telah dikawal dengan ketat, mereka berpendapat Chu Qiao hanya mampu menyelinap keluar dari Empayar dan langsung tidak menyedari gadis ini mempunyai seluruh Garison Utusan Barat Daya bersamanya dan setelah beberapa pertempuran, mereka mengalami kekalahan yang besar. Segala usaha mereka menjadi sia-sia.
Namun, usaha mereka sebelum ini kini berbuah. Pegawai-pegawai yang telah mengalami kekalahan teruk disebabkan oleh gadis ini menyedari dia sedang berada dalam perjalanan pulang ke Yan Bei berseorangan, dan mereka sedang menunggu dengan penuh keterujaan untuk melihat Chu Qiao terjatuh ke dalam perangkap mereka. Pada masa ini, sesiapa yang mampu menangkapnya secara tidak langsung dapat membuat ancaman kepada raja baru Yan Bei, dan mampu melumpuhkan kekuasaan politik pemuda itu. Lagipun, Chu Qiao mampu menandingi mereka walaupun dengan hanya 4000 orang tentera, dan fakta ini sahaja telah membuatkan keluarga-keluarga berpengaruh berasa ngeri terhadap gadis kecil molek ini. Jika dia pulang ke Yan Bei dengan menggunakan jalan yang telah dirancang, dia pasti akan mati tanpa ada sekelumit pun peluang untuknya diselamatkan.
Satu-satunya cara lain baginya untuk pulang ke Yan Bei dengan menggunakan jalan di tenggara, melalui Empayar Tang dan juga laluan kecil di Pergunungan Qing Tong. Kemudian, dia akan melepasi Sungai Wu Xun di sempadan selatan sebelum tiba di Yan Bei!
Kuda tersebut menyendeng kepalanya ke kaki Chu Qiao yang sedang mengekang tali kuda dan meluru ke arah timur.