Chapter 88 - Bab 88

Chu Qiao tidak mampu menahan air matanya lagi. Dia menutup mulutnya, tidak mampu mendiamkan tangisannya.

Zhao Song, Zhao Song, Zhao Song…

Hujan mula membasahi bumi kira-kira pada pukul satu pagi. Setelah Zhao Chun'er dan Zhao Song memasuki gerabak kuda mereka, Chu Qiao mengembara ke dataran yang luas bersama Garison Utusan Barat Daya yang gah. Song Qian dan yang lain-lain berasa terkejut.

"Siapa yang potong lengan Zhao Song?"

"Tuanku yang potong."

Chu Qiao berkerut dan memekik, "Tipulah!"

"Saya tak tipu, Cik!" Song Qian yang berasa amat ngeri itu menyambung, "Betul, Tuanku yang potong lengan dia. Zhao Song datang untuk membunuh Tuanku, jadi lengannya dipotong. Cik Puan Yu nak bunuh mereka, tapi dihalang oleh Tuanku dan Tuanku memerintah kami untuk iring mereka balik ke ibu negara."

Chu Qiao mengeluh panjang dan bertanya, "Kenapa Tuanku biarkan mereka terus hidup?"

"Komander Jing cakap yang Tuanku risau Cik akan memarahinya." Setelah Song Qian menghabiskan ayatnya, dia terus menjadi bimbang jika Chu Qiao akan melaporkan dia telah melebihi batasan, dan lantas menambah dengan tergesa-gesa, "Tapi, kalau kita ambil tindakan masa dalam perjalanan, Cik takkan tahu apa-apa, dan Cik takkan marah."

Air hujan yang merintik jatuh ke atas rambut Chu Qiao yang kehitaman, dan lantas wanita muda itu berkata, "Komander Jing cakap perkara itu juga ke?"

"Ya… ya!" Song Qian membalas.

He Xia yang menyedari riak wajah Chu Qiao yang dikerutkan itu terus menempik, "Kalau kau berani cakap benda-benda merepek lagi, aku akan bunuh kau!"

"Tak perlu cakap lagi." Chu Qiao meraih wajahnya dan berkata dengan suara perlahan, "Bawa mereka pergi dan bunuh mereka semua!"

"Saya tak cakap apa-apa yang salah pun!" Tangis Song Qian, dan menambah, "Cik, tolong pandang kami. Siapa di antara kami yang tak diseksa oleh tentera Xia? Keluarga kami, ibu bapa kami, teman sehidup kami, abang kami dan kakak kami, siapa saja yang tak dibunuh oleh orang-orang atasan Xia? Kalau niatnya supaya kami tak mengambil apa-apa langkah, kenapa kami yang daripada pasukan berlainan telah ditugaskan di sini bersama-sama?"

"Betul itu!" Seorang lagi askar berlaung. "Apa salahnya kami pukul dia? Apa salahnya kalau kami rogol Puteri Xia? Adik saya dirogol oleh keluarga diraja dari Xia! Ibu bapa saya pergi melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa, dan mereka terus dibelasah sampai mati di situ juga! Apa salah saya?"

"Betul itu, Cik! Apa salah kami? Kenapa Cik hukum kami?"

"Biar saya beritahu apa kesalahan kamu semua!" Sebuah kilat tiba-tiba menyambar di langit menerangi ufuk. Wanita muda itu memusingkan kudanya dan menuding jari ke arah gerabak tersebut dan berkata perlahan, "Orang yang bunuh ibu bapa kamu, rogol adik kamu dan mencederakan kamu itu bukannya mereka berdua ini!"

Teriakan keperitan tiba-tiba kedengaran, namun Chu Qiao langsung tidak menoleh ke arah punca suara tersebut dan hanya merenung gerabak itu dengan senyap, kakinya terasa berat untuk mendekatinya.

"Cik!" He Xiao mengambil langkah besar ke arah wanita itu, mengelap air dari wajahnya dan berkata dengan canggung, "Kami dah hapuskan binatang-binatang itu."

"He Xiao, awak pergilah ke Xi Ma Liang sendirii," Chu Qiao berkata, wajahnya memucat. "Saya tak boleh nak ikut awak ke sana lagi."

"Cik!" Wajah He Xiao terus terpampar kegamamannya dan bertanya, "Kenapa?"

Kilbat mula menyabung, dan hujan mencurah-curah membasahi wajah Chu Qiao dan lantas melindungi air matanya di pipi. "Sebab saya ada hal yang lagi penting untuk dilakukan."

Apabila cuaca bertambah baik dengan hujan yang sudah berhenti membasahi bumi dan matahari mula meninggi, ia terasa bagaikan segala dosa telah terhapus bersama.

Seorang pemuda berjubah putih sedang berdiri di sebuah tebing yang tinggi, mukanya pucat dan anak matanya hitam berkilau, merenung pemandangan bergunung-ganang di hadapannya ini.

"Tuan, kita patut pergi sekarang." Wu Daoya berbisik dari belakang Yan Xun.

Yan Xun tetap berdiam dan terus termenung di kejauhan. Pemuda itu terbatuk teruk apabila angin bertiup lembut. Suaranya menjadi serak, dan bau darah memenuhi ruang udara.

"Tuan?"

"Hm." Yan Xun melambai tangannya dan berpaling, enggan menerima sokongan tangan Wu Daoya untuk menuruni bukit tersebut, dan dia pun terus melangkah sambil tetap terbatuk-batuk.

Rabung gunung-gunung yang berada di kawasan itu semuanya berbeza ketinggian, ada yang rendah dan ada juga yang tinggi. Terlepas dari pandangan Yan Xun dan kumpulannya, sebuah gerabak kuda berwarna hijau sedang bergerak di atas jambatan di belakang mereka, mengembara perlahan. Seekor helang putih berterbangan di udara di sekitar kawasan gerabak kuda Chu Qiao seolah-olah sedang mengekori gadis itu.

Tanah dataran itu kelihatan tandus tanpa sebarang jejak manusia dalam lingkungan seratus batu pun. Disebabkan oleh konflik dan pembunuhan yang berlaku selama bertahun-tahun, kawasan ini telah bertukar menjadi tanah tandus. Setiap kali para tentera bergerak menuju ke luar sempadan, setiap rakyat yang berada di kawasan itu pasti akan meninggalkan rumah mereka untuk mencari kawasan yang lebih selamat. Namun di dalam dunia yang kucar-kacir ini, kawasan manakah yang boleh dikira sebagai sebuah utopia?

Angin dan hujan tetap mengganas selama tiga hari berturut-turut dan gerabak kuda itu telah melintasi sebuah kampung usang yang mempunyai puing-puing reruntuhan hitam di sekitarnya. Chu Qiao menjumpai sebuah rumah yang masih lagi berdiri teguh dan membawa Zhao Song yang masih pengsan ke dalam rumah. Gadis itu membersihkan setiap ruang rumah, dan lantas menyalakan api setelah menjumpai beberapa ikat jerami. Setelah sejam, rumah itu telah pun dipanaskan dan dibersihkan.

Kampung ini merupakan sebuah kampung tidak berpenghuni yang dipanggil Wilayah Chuanzhong. Chu Qiao pada mulanya berniat untuk membawa Garison Utusan Barat Daya untuk melintasi kawasan ini, namun mereka telah diserang oleh pasukan tentera Zhao Yang tidak jauh dari sini, dan jelas sekali rakyat kampung ini sudah melarikan diri kerana berasa takut dek bunyi pertempuran itu. Mereka telah meninggalkan segala harta mereka kecuali makanan dan juga pakaian akibat kesuntukan masa, dan secara tidak langsung meninggalkan perkakasan dapur yang masih lagi berada dalam keadaan yang baik, dengan air jernih yang masih lagi berada dalam simpanan dan juga kayu api di dalam stor kayu api.

Chu Qiao membawa semangkuk air suam dan menuju ke arah Zhao Chun'er yang masih duduk berseorangan di penjuru rumah, gadis itu mencangkung dan menghulurkan mangkuk air itu kepadanya, namun puteri yang dahulunya disanjung ramai itu langsung tidak meraih wajahnya mahupun menyatakan kebenciannya terhadap keadaan rumah usang itu dan hanya mengambil air tersebut dan mula menghirup.

Zhao Chun'er telah bersikap begini semenjak perjalanan mereka ke sini dan yang lebih memeranjatkan puteri itu langsung tidak bersikap kasar terhadap Chu Qiao walau sekalipun, malah mengikuti segala arahan Chu Qiao dengan patuh dan diam, memakan segala apa yang diberi kepadanya. Apabila jalan di hadapan agak sukar, dia akan keluar dari gerabak dan menolong Chu Qiao menolak gerabak itu bersama dan apabila mereka kehabisan kayu api, dia akan memakan rangsum kering itu bersama Chu Qiao, tidak lupa juga apabila mereka merentangi sungai yang cetek, Chun'er akan menginjak air bersama Chu Qiao. Gadis itu akan meniru gerak-geri ganas Chu Qiao untuk mengusir penyangak-penyangak dengan menggunakan pisau yang disembunyikan di pinggang, namun hanya mengujar beberapa patah perkataan sahaja. Selain dari Zhao Song, dia langsung tidak berminat dalam hal lain.

Chu Qiao mengerti Zhao Chun'er tidak menganggap wanita itu sebagai seseorang yang telah membantunya, dan dia bukanlah berkelakuan seperti ini disebabkan oleh perasaan takut kepada Chu Qiao. Ternyata gadis itu telah menjadi lebih matang setelah mengharungi pengalaman yang sungguh pahit buat dirinya, dan telah bertukar kepada seseorang yang sungguh berlainan dalam masa yang sangat singkat. Chu Qiao berasa bimbang jika dia menyimpan sebarang hasrat untuk membunuh diri.

Chu Qiao menghancur-hancurkan rangsum dan meletakkannya ke dalam air panas lantas membawanya ke sisi Zhao Song. Gadis itu meletakkan dua jarinya ke dalam mulut pemuda itu untuk membuka mulutnya dan lantas memaksanya untuk menelan makanan itu. Perbuatan itu lantas mendapat kerutan daripada Zhao Song yang sudah mula ditumbuhi janggut. Tidak seperti Yan Xun mahupun Zhuge Yue, Zhao Song mempunyai anak mata sejernih air, kening yang tebal dan kelihatan seperti anak singa yang sedang marah. Dalam beberapa hari sahaja wajahnya yang sering bersinar gembira itu sudah kelihatan muram dan sugul, badannya kurus dan lemah, dengan wajah yang sepucat sehelai kertas putih. Melihat lengan bajunya yang meleper kosong namun dilumuri darah itu, Chu Qiao dengan segera mengalih pandangannya, tidak mampu untuk terus merenung keperitan tersebut.

"Hmm…" Sebuah seringai kedengaran secara tiba-tiba. Zhao Chun'er yang masih terdiam sejak tadi tiba-tiba melonjak dan merangkak ke arah adiknya bagaikan seekor binatang buas.

Zhao Song berkerut, raut wajahnya terpampar keperitan yang sedang dilalui. Chu Qiao separa melurut di sisi pemuda itu dan memegang tangannya dengan erat. "Zhao Song? Zhao Song?"

"Bodoh, jangan pergi!" Pemuda itu berbisik, matanya masih dipejam dengan urat-urat di dahi yang tersembut. Raut wajah pemuda itu kelihatan pilu, bagaikan seekor binatang yang telah dikurung.

"Adik Ketiga Belas!" Zhao Chun'er menerpa ke arah Zhao Song sambil berkata, "Adik Ketiga Belas! Chun'er di sini! Saya takkan ke mana-mana!"

Chu Qiao ditolak ke tepi oleh Zhao Chun'er, namun dia tidak mampu menahan dirinya dan lantas menasihati gadis itu, "Tuan Puteri, jangan bagi tekanan pada luka dia."

"Berambuslah!" Gadis muda itu merenung Chu Qiao dengan penuh keji.

"Jangan… Jangan ikut dia, awak… Awak akan mati…"

"Adik Ketiga Belas," Zhao Chun'er mempunyai raut wajah yang dingin, "Chun'er tahu, jangan risau,"

Wajah Zhao Song lebih merah daripada biasa, bagaikan dia bakal dihinggap demam. Chu Qiao berdiri di penjuru rumah, bingung dengan memikirkan cara untuk mendekati kedua-dua beradik itu, dan lantas berpaling untuk menyediakan secawan air, namun terhenti dalam langkahnya apabila terdengar sebuah suara yang serak.

"Saya… Saya boleh… Lindungi awak… Juga… Ah Chu…"

Zhao Chun'er tergamam, raut wajahnya memucat seolah-olah dia telah dirasuk dan lantas berpaling untuk melihat Chu Qiao, dan kembali ke arah Zhao Song. Gadis itu mengukir sebuah senyuman yang kelat dan terus bergerak ke arah penjuru rumah yang didudukinya tadi, lantas memeluk lututnya dan membenam mukanya di dalam.

Zhao Song bercakap merapu seluruh malam, memaki Yan Xun kerana telah mengkhianati kepercayaannya, kadangkala menjerit kepada Chun'er supaya melarikan diri dan yang paling kerap ialah rayuan pemuda itu kepada Chu Qiao supaya dia tinggal bersamanya. Pemuda ini yang sungguh yakin untuk memutuskan segala hubungan dengannya di tengah laluan yang panjang itu telah menunjukkan kelemahan dan kelembutan hatinya pada malam yang hujan ini. Setiap kata yang diujarkannya bagaikan sebilah pisau yang menikam-nikam hati Chu Qiao.

Zhao Song terjaga apabila subuh menjelma. Chu Qiao berada di samping pemuda itu semalaman untuk cuba mengurangkan suhu badannya, memastikan yang pemuda itu cukup terhidrat. Chu Qiao berkata dengan ceria, "Awak dah bangun?"

Bunyi-bunyian itu telah membangunkan Zhao Chun'er juga namun puteri yang sudah terjaga itu langsung tidak berganjak ke arah Zhao Song.

Renungan mata Zhao Song terpampar jelas kebingungannya. Dia tidak mengetahui lokasinya buat seketika, dan wajahnya berubah ceria setelah terlihat Chu Qiao namun perlahan-lahan raut wajahnya bertukar menjadi sangsi, kemudian kesayuan, kebencian, kemarahan, dan banyak lagi emosi negatif yang lain. Akhirnya, wajahnya mendingin, lebih dingin daripada puncak gunung yang beku bersalji, sememangnya cukup untuk membuatkan seseorang berasa seram sejuk di tulang belakangnya. Daripada renungan mata pemuda itu, Chu Qiao dibawa kembali ke saat-saat persahabatan mereka selama beberapa tahun ini, sewaktu mereka mula berkenalan sehingga mereka menjadi sahabat yang karib, dan akhirnya, sewaktu mereka meleburkan persahabatan itu di dalam bandar megah itu.

Pada saat ini, Chu Qiao mula tersedar akan realiti sebenarnya namun dia masih belum berhenti berharap. Dia sedar dirinya dan Zhao Song tidak mungkin akan dapat memulihkan persahabatan ini, segalanya telah musnah. Seperti lengannya, tiada apa yang dapat dilakukan untuk memutarkan balik masa.

"Chun'er?" Zhao Song berpusing dan melihat gadis muda itu yang sedang terduduk di penjuru bilik. Suara pemuda itu kedengaran serak, menggunakan satu-satunya lengannya untuk memanggil gadis itu kepadanya.

Zhao Chun'er mencebik dan merangkak ke arah adiknya itu, matanya kemerahan dan bibirnya menggeletar namun dia masih gagah dan mengukir sebuah senyuman yang kelihatan lebih menghibakan daripada wajah yang sedih, lantas gadis itu menggenggam tangan Zhao Song.

Air hujan mencurah-curah membasahi tanah di luar, namun di dalam rumah itu terasa hangat dek pendiang api. Adik-beradik tersebut yang telah mengharungi situasi hidup mati itu terdiam bagaikan sepasang arca. Ribuan kata yang tidak mampu diungkapkan dapat dilihat jelas dari sepasang wajah sayu yang bercantum ini di dalam bilik yang kecil dan usang.