Chapter 87 - Bab 87

"Cik memang berbakat, berani dan penuh belas kasihan. Cik dah selamatkan kami semua tanpa pedulikan keselamatan Cik pun. Kami akan taat sepenuhnya pada Cik dan hanya Cik sajalah yang boleh pisahkan kami. Tolonglah jadi ketua kami!"

"Tolonglah jadi ketua kami!" Teriak seluruh pasukan tentera itu dengan serentak. Pahlawan-pahlawan yang megah pun turut berlutut di tanah. Bunyi lutut mereka yang bergeser dengan tanah kedengaran seperti dentuman guruh!

Gadis kecil yang berdiri di batu tongkol itu memandang wajah mereka yang penuh harapan dan semangat itu. Setelah itu dia menggelengkan kepalanya dan membalas, "Maaflah tapi saya tak boleh!"

"Cik!"

"Kenapa pula?"

Bunyi sumbang mula berkumandang di udara lantas membuatkan Chu Qiao mengangkat tangannya untuk menyuruh mereka diam. Setelah itu dia berkata lagi, "Tapi saya boleh pertaruhkan nyawa saya yang tentera dari Garison Utusan Barat Daya pasti akan dapat layanan yang sewajarnya atas apa yang kamu semua dah lakukan. Menjadi seorang tentera maksudnya kamu kena sentiasa patuh. Walaupun jika suatu hari nanti Yan Bei menyuruh kamu untuk membunuh saya, kamu tetap harus lakukannya. Barulah kamu layak untuk digelar sebagai seorang tentera."

Keadaan berubah sunyi dengan serta-merta. Cahaya bulan menyinari mereka dari atas lalu menerangi pakaian gadis itu. Chu Qiao kemudiannya menegaskan kembali kata-katanya sebentar tadi, "Saya tak bersetuju untuk jadi ketua kamu tapi saya nak ingatkan kamu tentang seperkara. Yan Bei hanya ada seorang ketua saja yang kamu patut patuhi dan orang itu tak lain dan tak bukan adalah Yan Xun."

Di bawah sinaran bulan yang bergemerlapan bersama bajunya yang melayang-layang ditiup angin itu, Chu Qiao kelihatan seperti seorang dewi yang datang dari kayangan. Mereka yang sudah kehilangan kata-kata hanya mampu memandang gadis itu dengan rasa hormat. Kata-kata yang diungkapkan olehnya itu seperti magik.

"Cik pula bagaimana?"

"Saya? Saya akan berjuang bersama kamu. Lagipun saya ada impian dan cita-cita saya sendiri."

"Apa cita-cita Cik?"

Bibirnya kini terukir dengan senyuman dan wajah seriusnya digantikan dengan kegembiraan dan harapan. "Selagi saya masih hidup, saya nak lihat dia memerintah dengan penuh berkuasa di dunia ini."

Walaupun semuanya hanya secara kebetulan, namun sewaktu dia mengujarkan kata-kata tersebut, angin kencang bertiup lalu membawa kata-kata tersebut jauh ke Utara.

"Cik!" Satu suara bergema dari jauh dan seorang peninjau kembali dengan bahunya yang cedera. "Kita telah diserang hendap di depan!"

"Diserang hendap?" He Xiao bangun dengan serta-merta dan bertanya dengan lantang, "Siapa mereka? Kuat tak mereka?"

"Hanya tujuh orang tapi masih tak dapat dikenal pasti siapa mereka. Sebelum sempat kami bertanya, mereka dah hunuskan pedang mereka untuk berlawan."

Chu Qiao berdiri lalu berkata dengan suara yang menggerunkan, "Jom, bawa kami ke sana."

Tentera Garison Utusan Barat Daya pun turut berdiri dan mengikuti gadis di hadapan mereka itu untuk mara.

30 orang menentang tujuh orang. Belum apa-apa lagi, keputusan itu sudah jelas memihak kepada siapa. Sebaik sahaja Chu Qiao tiba di situ, peninjau itu sudah pun menahan ketujuh-tujuh orang penyangak itu. Tiada seorang pun yang tahu siapa yang telah menghantar mereka ini, akan tetapi mereka tidak dibunuh dan hanya dicederakan sahaja.

Sekilas pandang Chu Qiao berasa seperti dia dapat mengecam mereka tetapi sebelum sempat dia membuka mulutnya, salah seorang daripada mereka berteriak kegembiraan. "Itu Cik Chu lah!"

Chu Qiao berkerut lalu bertanya, "Kamu kenal saya ke?"

"Saya Song Qian, orang suruhan Ah Jing!"

"Kamu dihantar oleh Ah Jing ke?" Chu Qiao akhirnya faham lalu dia memberitahu mereka yang lain. "Mereka sekutu kitalah. Dah berlaku salah faham ini."

He Xiao juga berasa terperanjat. Baru sahaja sampai di Yan Bei, dia sudah menggelabah. Yalah, perkara pertama yang berlaku ialah konflik dengan tentera tempatan jadi mestilah dia takut! Setelah itu, dia pun segera membuka ikatan mereka dan cuba berbaik.

"Apa kamu semua buat dengan memakai baju biasa ini? Kamu semua dalam misi ke?" Soal Chu Qiao.

Setelah mendengar soalan itu, wajah mereka berubah pucat. Song Qian berfikir sejenak sebelum membalas dengan agak kekok, "Cik, kami sedang dalam misi ini. Cik cepatlah kembali ke Xi Ma Liang. Tuanku masih menunggu Cik di sana."

Tentera Garison Utusan Barat Daya menghembus nafas lega sebaik sahaja mendengar kata-kata itu. Putera Yan sudah mengambil risiko untuk menunggu mereka semua, maka betullah kata Cik Chu yang Yan Xun tidak mengabaikan mereka di ibu negara.

Namun, Chu Qiao tidak menunjukkan sebarang reaksi gembira pun, malah gadis itu berkerut dan bertanya, "Apa misi kamu?"

"Cik, ini misi rahsia." Song Qian cuba menutupinya. "Kami tak berani nak pakai uniform tentera pun. Ah, susahlah nak terang dengan orang ramai macam ini."

"Apa yang susah sangat?" Gadis itu berkerut lagi dan memarahi mereka. "Kalau Putera lakukan sesuatu, dia tak pernah tipu saya. Sekarang ini kita dah mula berperang dengan ibu negara tapi kamu di sini senyap-senyap nak menyelinap ke tempat musuh. Apa misi kamu sebenarnya?"

Kemarahannya sememangnya memegunkan mereka, Song Qian sudah menggeletar untuk mengemukakan alasan dan mulutnya masih terkunci.

"Cepat cakap! Kamu perisik Empayar ke?"

"Kami bukan perisik!"

Whoosh! Chu Qiao menghunuskan pedangnya dan pandangannya berubah dingin serta-merta. "Beritahu cepat! Kamu perisik atau bukan?"

Song Qian yang sudah ketakutan terduduk dan akhirnya mengaku. "Cik, kami bukannya perisik. Kami hanya ditugaskan untuk melindungi Putera Ketiga Belas balik ke ibu negara!"

"Putera Ketiga Belas?" Raut wajah Chu Qiao terus berubah. "Mana dia?"

"Dia…dia…"

"Dia di mana?" Besi pedangnya menyentuh permukaan leher Song Qian, tanpa sebarang simpati yang terpancar pada wajah gadis itu dan hanya semangat membunuhnya yang menyelubungi setiap ruang matanya.

"Dia…dia di sana!"

Raut wajah Chu Qiao kekal dingin sewaktu dia berjalan ke arah yang ditunjukkan oleh Song Qian itu. Setelah menebang rumput yang meninggi, sebuah gua muncul dalam penglihatan dan dalaman gua itu kelihatan seperti siang hari apabila disuluh cahaya namun apa yang telah menarik perhatian semua orang itu telah memucatkan wajah mereka.

Chu Qiao berdiri di hadapan gua tersebut sambil menggenggam pedangnya dengan erat. Keningnya dikait sungguh rapat bersama dadanya yang kelihatan naik turun dengan pantas, cuba untuk menahan perasaan ingin membunuhnya.

Tiga orang askar Yan Bei yang berbogel terus memandang ke arah Chu Qiao dengan panik dan menggeletar. Di belakang mereka terdapat seorang wanita yang pakaiannya sudah dikoyak rabak bersama tubuhnya yang diikat dan wajahnya yang sudah membengkak. Darah kering dapat dilihat di hujung mulutnya manakala rambutnya pula sudah menjadi kusut masai, tubuh gadis ini kelihatan seperti telah didera dan bahagian bawah anggota badannya sudah oun basah lencun. Gadis itu terkulai tanpa sebarang pergerakan dan jika bukan kerana suara pilu yang terkeluar dari mulutnya itu, seseorang pasti menyangka dia sudah mati. Air mata yang mengalir sudah kering di kedua-dua belah pipinya.

Seorang lelaki yang hanya mempunyai sebelah tangan sudah tidak sedarkan diri lagi di penjuru gua. Dia sudah bermandian darah manakala tali yang digunakan untuk mengikatnya pula telah memberikan kesan lebam pada kulitnya. Sekilas pandang sahaja seseorang boleh mengetahui sekuat mana dia meronta-ronta. Wajahnya pula masih kelihatan marah walaupun dia sudah pengsan. 

"Kamu bertiga, keluar sekarang." Suara Chu Qiao serak seperti satu perakam yang rosak. Askar-askar sekelilingnya terkaku mendengar suara gadis itu lalu mereka pun mengalihkan pandangan mereka kepadanya.

Gadis itu dengan perlahan mengulangi setiap bait kata yang diujarkannya tadi sambil menuding jari ke arah tiga orang lelaki di dalam gua itu. "Ya, kamu bertiga."

Tiga pemuda itu pun berlari sambil memegang pakaian mereka. Tentera dari Garison Utusan Barat Daya mengelak daripada bersentuhan dengan mereka.

Whoosh! Dengan sekali ayunan sahaja, satu kepala melayang di udara lantas memancutkan darah dari lehernya bak air pancut. Setelah melihat hal itu, kedua-dua tentera itu berada dalam ketakutan dan cuba untuk berlawan dengan menggunakan senjata mereka. Xiao He yang melihatnya cepat-cepat menghunuskan pedangnya dan mara ke hadapan.

"Xiao He," Chu Qiao memijak mayat lelaki tadi dan berjalan memasuki gua selepas menghabiskan ayatnya, "Pastikan mereka terseksa sebelum mereka mati."

"Baiklah!"

Setelah itu, bunyi pertempuran pun kedengaran namun Chu Qiao langsung tidak mengendahkannya, dan cuba untuk menyembunyikan gua itu daripada pandangan mata orang lain dengan menggunakan rumput-rumput tinggi itu sebelum berjalan masuk ke dalam gua yang dipenuhi dengan bau hanyir hawa nafsu itu. Chu Qiao berdiri di samping Zhao Chun'er dan cuba untuk membetulkan pakaiannya yang sudah compang-camping itu.

"Cik! Maafkan kami! AHHH!!!" Bunyi teriakan keperitan bergema kuat sebelum dua orang tentera itu merayu-rayu lagi. Ancaman bunuh telah menyebabkan mereka hilang pertimbangan lalu mereka menjerit dalam keadaan yang terdesak itu, "Ini semua perintah Tuanku! Kami cuma mengikut arahan saja!"

"Cik! Maafkan kami!"

"Cik…"

Air mata yang mengalir dari mata Zhao Chun'er kini membasahi pipi putihnya dan terus mengalir ke kesan-kesan peritnya itu, gadis itu kelihatan seperti sebuah boneka yang sudah rosak di saat air matanya kembali mengalir. Kini, fikirannya buntu, hari-harinya sebagai seorang yang masih suci itu kini hilang begitu saja seperti dibawa angin kencang pada musim sejuk. Memori hari-hari terindahnya tidak pernah kelihatan sebegitu sinis, seolah-olah menunjukkan betapa bodohnya dia selama ini. Dia mengetap bibirnya dan membiarkan air mata membasahi pipi walaupun dia cuba untuk menahan tangisannya itu.

Tangan Chu Qiao menjadi kaku sebaik sahaja mendengar kekecohan di luar. Dia menundukkan kepalanya tetapi sekeras mana pun percubaannya, dia tidak mampu mencantumkan kembali pakaian gadis itu. Mata Chu Qiao memerah dan wajahnya tidak pernah kelihatan sepucat ini, lalu gadis ini membuka jubah luarnya dan memakaikannya kepada Zhao Chun'er sebelum mengusap dan membelai rambut gadis itu.

"Awak boleh berdiri tak?" Chu Qiao berdiri di hadapan Zhao Chun'er dan bertanya dengan perlahan.

Zhao Chun'er akhirnya memberi reaksi yang sekelumit, mendongakkan kepalanya dan memandang Chu Qiao. Chu Qiao hanya menghulurkan tangannya dan berkata lagi, "Saya akan bawa awak keluar dan pulang ke rumah."

Tiba-tiba kebencian yang meluap-luap terpancar di mata Zhao Chun'er lalu dia merenggut tangan Chu Qiao lalu menggigitnya seperti seekor binatang buas!

Darah pun mengalir keluar dari pergelangan tangan Chu Qiao sehingga membasahi pakaian Zhao Chun'er. Gadis yang sudah hilang akal ini terus menggigit dengan seluruh kekuatannya dan enggan melepaskan pergelangan tangan Chu Qiao. Gadis yang masih berdiri itu hanya mampu mengetap giginya sambil mengerang kesakitan dan dengan perlahan-lahan dia memeluk Zhao Chun'er dengan menggunakan tangannya yang lagi satu. Pada waktu itu, air matanya pun turut mengalir. Dengan nada yang serak dia pun berkata, "Saya minta maaf… Saya betul-betul minta maaf."

"Uu…Wahh!" Zhao Chun'er akhirnya melepaskan segala kesedihannya itu dan menangis teresak-esak. Puteri yang bermaruah kini kelihatan tidak berdaya lagi setelah tubuhnya sudah diperkosa oleh iblis-iblis durjana itu, lantas membalas pelukan gadis yang telah dibencinya selama lapan tahun ini lalu meraung kesepian. "Kenapa? Kenapa saya diperlakukan sebegini? Mati! Mati!"

Chu Qiao hanya membiarkan dirinya dipukul oleh Zhao Chun'er sambil pandangannya tertumpu pada lelaki yang sudah dipenuhi dengan darah di penjuru gua itu. Setelah melihat wajahnya yang penuh kedukaan itu, dia seperti sudah tidak mengenalinya lagi. Memori lampau kini bermain dalam fikirannya seperti dentuman guruh. Dalam memorinya itu, seorang lelaki kacak akan berdiri di hadapannya sambil tersengih-sengih. "Ah Chu, saya dah boleh kahwin dan bina mahligai sendiri!"