Setiap orang mempunyai kesedihan dan kezaliman yang tersendiri dalam istana ini. Oleh sebab Chu Qiao yang sudah terlalu kerap menyaksikan kejadian-kejadian pahit sebegitu yang membuatkan dia untuk menjali lali dengan segala penipuan yang terselindung di sebalik topeng kejayaan itu.
Di istana Ying Ge, Yan Xun sedang minum di astaka yang terletak di kawasan pokok plum. Selama ini dia sering berkelakuan dengan penuh waspada dan jarang sekali minum kecuali seperti dalam situasi-situasi tertentu yang memaksanya untuk minum. Chu Qiao duduk di koridor sambil memerhatikan lelaki yang memakai pakaian serba hijau itu dan tiba-tiba suatu perasaan terdetik dalam hati gadis itu apabila dia memperingati peristiwa bertahun-tahun lepas. Pada waktu petang itu, lelaki di hadapannya ini sedang menikmati tidur petangnya dan tiba-tiba terjaga apabila mimpi ngeri menghantuinya. Dia yang masih lagi separuh sedar bertanya, "Chu Qiao, bila agaknya aku boleh minum sampai mabuk tanpa risaukan apa-apa?" Pada waktu itu mereka terlalu lemah dan tidak berani minum minuman keras walaupun setitik kerana risau akan mabuk. Kini, mereka sudah bertambah kuat namun walaupun mereka mempunyai keberanian untuk menghanyutkan diri dengan minuman keras tetapi mereka sedar lebih banyak beban yang dipikul dan tekanan sebegitulah yang membuatkan mereka keberatan untuk minum lagi.
Yan Xun hanya minum beberapa teguk sebelum berhenti. Musim sejuk telah berlalu dan bunga plum mula berguguran tatkala angin meniupkannya bersama pakaian serba hijau Yan Xun. Sambil memejamkan matanya, Yan Xun membiarkan bunga yang berguguran jatuh mengenai mukanya.
Chu Qiao tidak berjalan menuju ke arahnya tetapi sebaliknya dia hanya memerhatikan lelaki yang sudah lama bersamanya itu dari jauh. Sesetengah perasaan begitu sukar untuk difahami oleh orang lain dan begitu juga kebencian yang terpahat dalam hati mereka. Walaupun tiada rahsia yang disembunyikan antara satu sama lain, namun Chu Qiao tahu dia tidak akan dapat berkongsi kebencian Yan Xun yang sangat meluap-luap itu. Chu Qiao hanya mampu melihatnya dari jauh dan hanya mampu menyediakan payung kepadanya ketika hari hujan sahaja.
Seorang wanita yang paling terkenal di dalam empayar ini telah mangkat tetapi apa yang ditinggalkan di dunia ini hanyalah sebuah batu besar yang dicampakkan ke dalam tasik yang kelihatan tenang sahaja.
Namun begitu, Cik Puan Shu yang nampak berkuasa di dalam Harem Maharaja juga tidak mampu mengambil alih tempat Muhe Nayun kerana ramai yang mencurigai suku keluarga Wei, dan Cik Puan Shu juga menjadi salah seorang yang dicurigai. Pegawai dari Pejabat Setiausaha, Mahkamah Hal Ehwal Dalam Negeri dan Tokong Teragung kerap melakukan rondaan di istana Shu Yun iaitu kediaman Cik Puan Shu namun tiada kesimpulan yang dapat disimpulkan selama tujuh hari penyiasatan itu berjalan. Walaupun begitu, ia tetap tidak menyingkirkan syak-wasangka terhadap Cik Puan Shu yang lantas menggugatkan kedudukannya di dalam Harem Maharaja dan begitu juga suku keluarga Wei yang turut dipulaukan.
Pada masa yang sama di istana Lan Xuan, Gundik Xuan tiba-tiba melonjak naik entah dari mana dan telah ditugaskan pada waktu malam bagi tiga hari berturut-turut dan pada hari keempat, dia telah dianugerahkan dengan gelaran Permaisuri Bangsawan yang setaraf dengan pangkat Cik Puan Shu. Pada masa ini, hanya mereka berdua sahaja yang memegang gelaran tersebut. Tambahan pula, cap berlambang burung phoenix telah dikurniakan kepadanya lantas menyerahkan tanggungjawab untuk menyelia majlis pengebumian Maharani. Dengan berbekalkan latihan, kedudukannya yang pertama antara Harem Maharaja telah terjamin.
Dia berbeza dengan Gundik Yuan yang tidak mempunyai latar belakang keluarga yang kukuh dan begitu juga Muhe Nayun yang keluarganya sudah porak-peranda. Wanita yang dikenali sebagai Lanxuan ini mempunyai nama keluarga yang dikenali ratusan tahun dahulu dan nama sebenarnya adalah Zhuge Lanxuan.
Keadaan sudah berubah dan kini keluarga Zhuge semakin berkuasa sehingga boleh dikatakan setaraf dengan suku keluarga Wei. Hari lahir Maharaja kali ini sememangnya akan menjadi tidak terkawal akmibat majlis pengebumian maharani yang berlangsung tiga hari sebelum hari lahirnya dan pada waktu yang sama dia terpaksa mengahwini anaknya dengan Putera dari Yan Bei. Keadaan sudah menjadi sebegitu tegang sehingga menyebabkan permusuhan nampak begitu ketara.
Pada 17 Mei, sekumpulan askar berkuda memecah sunyi di ibu negeri. Konsul dari keluarga Batuha sudah tiba. Adik lelaki bongsu kepada Batu Lama iaitu Ba Lei berteriak dengan sekuat hati sebaik sahaja memasuki istana, melompat ke atas tugu maharani di Dataran Zi Wei dan meraung. Setelah itu, dia telah dipanggil ke istana Sheng Jin. Oleh sebab ketaatan dan semangat cinta akan bangsanya, Maharaja membuat keputusan untuk berjumpa dengannya secara peribadi.
Pada malam itu, Zhuge Yue dan Tuan dari keluarga Wei iaitu Wei Shuye menerima surat dari Barat Laut. Zhuge Muqing merenung surat tersebut begitu lama sebelum menolaknya ke tepi, perlahan-lahan menggeleng-gelengkan kepalanya. "Bagitahu yang tuan muda sakit dan tak rasa nak pergi."
Zhuge Yue berkerut. "Kenapa pula, Ayahanda?"
Zhuge Muqing membalas dengan perlahan, "Hasrat kita dah tercapai jadi tak payah nak masuk campur lagi. Kuasa keluarga kita masih tak kukuh dan Yanxuan masih perlukan masa dalam istana lagi untuk memantapkan kuasanya."
"Kalau kita boleh selesaikan hal ini, Maharaja akan bergantung pada kita lagi."
Zhuge Muqing perlahan-lahan mendongakkan kepalanya sambil berkata, "Kamu tak faham lagi ke Yue Er? Perhatian yang Maharaja berikan bukan bergantung pada sumbangan kita tapi pada kuasa kita. Jeneral Meng dah banyak menyumbang kepada empayar selama ini tetapi sampai sekarang dia tetap seorang jeneral. Tiada harta dan kekayaan. Keluarga bangsawan dan keluarga diraja dibahagikan kepada kuasa dan autoriti dan ia tak mungkin akan berdamai. Ayah dah ajar kamu berkali-kali kan."
"Tapi…"
"Dah, jangan ungkit hal ini lagi. Buat masa ini, tiada pelawat yang dibenarkan ke sini. Kita duduk dan tunggu keputusan dalam tiga hari lagi."
Kata-kata Zhuge Yue telah dipotong oleh ayahnya. Sebenarnya apa yang ingin dikatakannya, "Kalau si bodoh Ba Lei itu tak berjaya dan Yan Xun pula berjaya lepaskan diri daripada ibu negeri hidup-hidup bagaimana? Apa akan terjadi pada ibu negeri kalau Yan Xun berjaya kembali ke Yan Bei dan dapatkan autoritinya kembali?" Habislah seluruh empayar nanti.
Dia juga mahu mengatakan ayahnya sudah tua. Yang dia tahu hanya sesuatu yang memanfaatkan keluarga sahaja dan bukannya seluruh dunia. Jika tiada seluruh negara, habislah keluarga Zhuge juga. Kalau betul Yan Xun dapat melarikan diri, bagaimana pula dengan Chu Qiao? Dia akan ikut Yan Xun ke Yan Bei ke?
Namun, sungguhpun Ba Lei seorang yang bodoh, masih ada Wei Shuye lagi. Mereka pasti memanfaatkan peluang di sebalik kehilangan pengaruh politik itu.
Zhuge Yue perlahan-lahan mendongakkan kepalanya sambil menggumam sendirian. "Jangan hampakan aku…"
Keesokan harinya, Wei Shuye membawa 18 orang pahlawan ke dalam kediaman Batu Lama sementara Zhuge Yue pula tidak muncul-muncul. Walaupun pertama kali bertemu, Ba Lei dan Wei Shuye tidak begitu kekok bersama. Mereka duduk sambil Jeneral Ba Lei mendengus, "Nampaknya keluarga Zhuge nak lepaskan peluang untuk berbakti pada bangsa. Inilah masanya kita dua beradik merebut apa yang ada."
Raut wajah Wei Shuye begitu tegang seperti dia tidak ingin bertekak dengan Ba Lei lagi. Dia kemudiannya tidak berdolak-dalih lagi, "Yakinnya awak, Jeneral, tak macam saya. Awak dah ada rancangan ke?"
"Mestilah!" Ba Lei tersenyum megah.
Pada 18 Mei, seorang gadis berdiri di hadapan sebuah peta pada waktu lewat malam. Dia berkali-kali menyemak rancangannya pada hari lusa itu dan akhirnya dia berkata, "Semuanya berjalan lancar kecuali bahagian kau menuju ke Tokong Pusaka di sebelah selatan bandar. Aku tak yakin ini akan berhasil."
Yan Xun hanya mengangkat keningnya tanpa mengujar apa-apa sebagai tanda untuk Chu Qiao meneruskan penerangannya.
"Berdasarkan upacara itu, kau kena pergi ke Tokong Pusaka untuk menyembah hormat nenek moyang sebelum mengikuti pegawai-pegawai adat istiadat kembali ke istana dan berkahwin dengan tuan puteri. Pada waktu itu, kau pasti akan dikawal oleh askar-askar tapi mereka semua tu tak boleh pakai. Kalau ada orang yang halang jalan kau, nahaslah mereka."
Yan Xun melihat peta itu dan berkata dengan nada yang dalam, "Kawasan ini ada rupa bumi yang berbatu-batan dan berdekatan dengan Garison Utusan Barat Daya. Banyak suku keluarga yang akan berkumpul jadi kalau ada sesuatu yang berlaku, angkatan tentera yang ramai akan tiba dan hal itu akan memburukkan lagi keadaan. Lagipun kita dah pernah berurusan dengan utusan itu sebelum ini jadi dia takkan buat perkara yang aneh."
Chu Qiao menggelengkan kepalanya tidak bersetuju, "Kita kena ambil kira semua kebarangkalian dan beranggapan buruk. Kita berdua pun tahu yang Garison Utusan Barat Daya tidak mengangkat sumpah ketaatan mereka kepada kau ataupun Yan Bei jadi kita kena ada rancangan lain juga."
Yan Xun mengangguk dan mengambil peta tersebut lantas mula merancangkan kejadian yang mungkin akan berlaku dan langkah balasnya. Chu Qiao pun turut menyertai pemuda itu sambil menyandar pada meja. Setelah 15 minit berlalu, mereka bertukar kertas. Sekilas pandang sahaja membuatkan mereka tersenyum lega. Jika Maharaja Xia berani bermain api, mereka tidak akan teragak-agak untuk mempertaruhkan Bandar Zhen Huang!
Dua hari sudah berlalu tanpa sebarang kejadian yang teruk. Pada 20 Mei, seluruh Bandar Zhen Huang bersorak kegemilangan setelah karpet merah bersutera telah dibentang dari pintu Zi Jin di sepanjang Lebuh Jiu Wai sehingga ke pintu Istana Timur. Maharaja menunjukkan wajahnya sekali-sekala sewaktu para pegawai, pedagang bahkan rakyat jelata yang membanjiri kawasan tersebut sambil melaungkan kata-kata hormat serta sembah hormat. Pemandangan itu kelihatan begitu gilang-gemilang sekali.
Khas untuk upacara ini, ramai penjenayah kecuali pembunuh yang telah diampunkan. Di Dataran Zi Wei, penjenayah yang diampunkan menyembah hormat kepada Maharaja lantas membanjiri kawasan tersebut. Setelah kereta kuda yang membawa Maharaja tiba, mereka menzahirkan rasa terima kasih mereka kepadanya dengan girang.
Semua pegawai awam ataupun ketenteraan, utusan-utusan dari pelbagai tempat menyembah hormat di hadapan pintu Zi Jin dan kemudiannya diikuti dengan kereta kuda yang lain dalam perarakan tersebut. Perarakan berlangsung sehingga petang dan setelah itu, jamuan makan diadakan di istana Sheng Jin. Lampu-lampu masih bergemerlapan walaupun sudah larut malam. Para penari masih lagi mempersembahkan tarian mereka di dataran jadi muzik yang kuat masih dapat didengari dari jauh dan begitu juga dengan sorakan yang diberikan oleh orang ramai. Namun, dalam suasana yang bingit di dataran, sekumpulan manusia yang kemas berpakaian sedang menuju ke Tokong Pusaka secara perlahan-lahan.
Kawasan di Tokong Pusaka tidak sebegitu meriah jika dibandingkan dengan sorakan meriah di tengah bandar. Bunyi tepukan gemuruh dari jauh menyebabkan tempat ini lebih kelihatan suram dari kebiasaan. Bulan bersinar dengan cahaya yang samar-samar. Yan Xun yang duduk di dalam pedati kuda memakai baju berwarna merah. Dia hanya memejamkan matanya sambil menunggu peluang untuk menyerang. Setelah kereta kuda tersebut bergerak, tiba-tiba ia berhenti semula lantas membuatkan Yan Xun membuka matanya dan berkerut. Perasaan teragak-agak kini sudah lenyap dari hatinya.
Kereta kuda itu sangat sunyi dan begitu juga keadaan di luar. Sepertinya orang telah lupa tentang keberadaan kereta kuda ini dan destinasinya. Namun, sudah tentu sekali tiada orang yang tahu lelaki dalam kereta kuda telah beredar.
Di belakang sebuah rumah agam, pahlawan-pahlawan yang membaluti telapuk kuda dengan kain sudah sedia menerima kehadiran lelaki tersebut. Ah Jing turun dari kudanya untuk membawa Yan Xun ke kudanya sambil berbisik, "Tuanku, semuanya dah siap."
Yan Xun mengangguk lantas dia melompat ke atas kuda dengan sekilas. Setelah itu dia cepat-cepat menuju ke Garison Utusan Barat Daya di bahagian jalan yang lain. Lebih sepuluh ribu tentera Yan Bei yang telah ditukarkan ke ibu negeri oleh Maharaja untuk mengawal ibu negeri sudah berada di situ. Walaupun tentera-tentera ini tidak mengangkat sumpah taat setia kepadanya tetapi mereka tetap sebahagian dari Yan Bei jadi Yan Xun membuat keputusan untuk mengheret mereka bersama ke dalam keributan ini. Sekarang dia perlu meminta bantuan.
Tiba-tiba, pedang-pedang berkilau di bawah cahaya bulan yang samar-samar lantas menampakkan pengawal-pengawal Tokong Pusaka yang sudah bersedia untuk menyerang dengan pedang di tangan. Dengan ketangkasan seperti itu, mereka bukanlah pengawal yang asli tetapi sudah tentunya orang lama dalam bidang pertempuran.
"Yan Xun dah mengkianat! Bunuh dia!" Penyerang-penyerang itu menghunuskan senjata mereka lalu menerpa ke hadapan. Bahagian pertahanan yang dibentuk oleh pengawal-pengawal adat dan istiadat dengan mudah sahaja dihapuskan. Pada saat itulah ketua mereka berteriak, "Pembunuh upahan!"