Chapter 72 - Bab 72

Pedang dihayunkan membelah angin dengan bilahnya yang tajam. Ketua tersebut cuba untuk mengelak dengan menghunuskan pedangnya namun gagal kerana pedangnya dan pedang milik penyerang itu bertembung, dan lantas penyerang itu berjaya menikamnya dengan mudah maka rebahlah dia ke tanah.

Pegawai-pegawai adat istiadat belum lagi turun dari kereta kuda tersebut kerana terdengar bunyi tusukan berkumandang di udara. Namun, dalam sekelip mata sahaja, anak panah telah disasarkan pada pegawai-pegawai itu lalu mereka pun rebahlah seorang demi seorang ke tanah.

Suara pekikan meronta-ronta yang bergema pastinya menyeramkan bagi sesiapa yang mendengarinya. Anak panah yang tidak henti-henti menghentam telah membuatkan pegawai-pegawai adat istiadat yang tidak berdosa mati terkorban tanpa sebarang daya untuk melindungi diri.

Pengawal-pengawal sudah mencuba sedaya upaya untuk berlawan balik tetapi serangan hendap itu telah dirancang dengan begitu teliti. Sebelum sempat mereka menyerang, musuh sudah menyerang terlebih dahulu. Bunyi suara meronta-ronta diselangi dengan tangisan kesakitan membuatkan kedua-dua pihak berlawan bermati-matian. Sebelum sempat mereka mengeluarkan kata-kata, tangan mereka terlebih dahulu menghunuskan pedang lantas menikam sesama sendiri. Namun, beberapa pengawal telah ditewaskan dalam sekelip mata kerana jumlah mereka yang ramai.

Dalam keadaan kelam kabut ini, tiba-tiba bunyi sorakan didengari dari jauh. Bunga api menyinari langit malam sebagai tanda memperingati majlis gilang-gemilang yang berlangsung di bandar itu. Jadi sudah tentulah bunyi pekikan meronta-ronta tersebut akan ditenggelami dengan bunyi sorakan di bandar, tiada sesiapa yang akan mengetahui, melihat mahupun menjangkakan pertumpahan darah yang sedang berlaku sewaktu majlis tersebut berlangsung.

Pengawal-pengawal tidak berputus-asa dan masih berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir walaupun musuh muncul di setiap penjuru. Musuh mereka kelihatan begitu bengis lantas mematahkan saki-baki harapan yang terdetik dalam hati pengawal-pengawal itu.

"Bertahanlah! Nanti bantuan tiba!" Namun, yang mereka tidak tahu, golongan pembunuh upahan ini berasal dari bangsa mereka sendiri. Mereka merupakan kumpulan yang ditugaskan untuk mengorbankan diri demi empayar mereka.

Pedati Yan Xun penuh berlubang jadi tiada sesiapa dapat menjangkakan dia masih hidup. Antara dua ratus pengawal itu, tiada seorang pun yang terselamat termasuklah yang menentang atau yang menyerah kalah, semuanya telah dibunuh dengan kejam.

Pada waktu itu, sebuah bunga api besar telah dilepaskan dari ibu negeri, warnanya yang begitu terang mampu menerangi seluruh bandar tersebut. Sorakan yang gemuruh bergegar di bandar itu dan berbeza dengan suasana sunyi sepi di medan peperangan tersebut.

Ba Lei mundar-mandir sambil menolak orang suruhannya yang berwajah terkejut itu. Pemuda yang memakai jubah Cina yang gah itu sedang bersandar pada kereta kuda tetapi tubuhnya sudah dipenuhi dengan anak panah. Ketika melihat Ba Lei, dia cuba memuntahkan darah tetapi sebaliknya dia rebah dan terbatuk.

Raut wajah Ba Lei penuh dengan perasaan marah lantas dengan dinginnya dia bertanya, "Mana Yan Xun?"

Lelaki itu hanya berseloroh jadi tanpa berlengah lagi, Ba Lei pun mengeluarkan pedangnya dan dengan sekilasnya, dia memenggal lelaki itu.

Orang suruhannya yang lain sudah tentunya berasa takut setelah menyaksikannya. "Jen-Jeneral…" Ujarnya sambil menggigil-gigil.

Ba Lei menoleh sambil berkata dengan dingin, "Dengan serangan hendap yang mempuanyai lapan ratus tentera dan tambahan lagi tiga ratus tentera yang mengepung kawasan itu, semuanya bersenjata lengkap dengan rancangan yang teliti…tapi dia masih terlepas? Kau ingat aku boleh maafkan kau ke?"

"Jeneral, kita boleh pergi di kawasan luar tempat Wei menunggu. Mungkin dia dah tertangkap."

"Baiklah." Ba Lei mengangguk. Dengan sedikit harapan yang terdetik dalam hati, dia menunggang kudanya. Namun, bunyi telapuk kaki kuda tiba-tiba kedengaran dan bunyinya seolah-olah menggegarkan bumi. Ba Lei mendongak kepalanya dalam ketakutan dan melihat sekumpulan askar berkuda menghampirinya.

"Itu askar Yan Bei dari Garison Utusan Barat Daya!" Teriak Ba Lei sebelum dia cepat-cepat melarikan diri. "Berundur!" Namun, mereka sudah terlambat untuk melarikan diri tambahan pula berlari dengan dua kaki manusia dan dikejar oleh kuda berkaki empat, itu bukan lagi sebuah pertempuran malah satu pembunuhan kejam.

"Aku Jeneral Ba Lei dari keluarga Batuha! Kami ada perintah daripada Maharaja!" Jerit Ba Lei dengan panik. Setelah melihat orang-orang suruhannya tewas, dia menggunakan identitinya sebagai senjata terakhir untuk melengahkan musuh. Tapi siapa yang mempercayainya? Pahlawan-pahlawan yang diperintah oleh putera Yan Bei kini sedang dalam angin untuk membunuh. Setelah kejatuhan keluarga Yan, Garison Utusan Barat Daya turut diturunkan satu pangkat daripada tentera-tentera lain dan sering dibuli oleh pasukan-pasukan lain seperti Askar Berkuda Tanpa Gentar dan Pasukan Tentera Hijau. Oleh itu, ini merupakan peluang keemasan bagi mereka dan mereka ini sudah tidak mempedulikan apa-apa lagi kerana berani melakukan pembunuhan besar-besaran di Bandar Zhen Huang. 

Mereka terus-menerus membunuh dengan kejamnya. Askar-askar bertempiaran di jalan sebelum mereka memberikan laluan kepada lelaki yang berpakaian serba merah itu. Renungannya bak helang dan meskipun dia tersenyum seperti itu, auranya dapat dirasai.

"Tuan Putera! Semua musuh telah dihapuskan! Tiada seorang pun yang terlepas!" Timbalan komander Garison, He Xiao menghampirinya dengan menaiki kuda.

Yan Xun mengangguk sambil tersenyum. "Pencapaian yang baik, Komander He. Kamu dah selamatkan nyawa saya jadi saya takkan lupa budi baik kamu."

He Xiao hanya menggelengkan kepalanya. "Mana ada, Tuanku. Tugas saya memang untuk melindungi ibu negeri ini, lebih-lebih lagi Tuanku pula dari Yan Bei jadi memang taklah saya nak berpeluk tubuh saja."

Yan Xun tertawa. "Saya akan hantar laporan penuh kepada Maharaja dan pastikan yang jawatan 'timbalan' kamu akan ditukarkan."

He Xiao tersenyum lalu berkata, "Kalau begitu, saya ucapkan terima kasih awal-awal."

Pada waktu itu, seorang komander muda berjalan menuju ke arah He Xiao sambil berbisik padanya, "Ada yang tak kena ini, Tuan!"

He Xiao yang terperanjat berpaling lalu bertanya, "Kenapa?"

Komander muda itu pun berkata, "Sila ikut saya, tuan."

He Xiao cepat-cepat mengakhiri perbualannya dengan Yan Xun dan mengikut orang suruhannya itu. Setelah melihat mayat yang bergelimpangan satu per satu, dia berasa seram sejuk dan sebaik sahaja melihat mayat Ba Lei, hatinya seperti luluh sehingga dia hampir pengsan dan terjatuh dari kudanya.

Apabila Ba Lei memasuki bandar, dia telah membuat kekecohan besar tapi sesetengah orang mungkin tidak mengenalinya. Namun, selaku seorang komander yang bertugas untuk mengawal orang ramai, dia tidak mungkin tidak mengenali Ba Lei. Setelah melihat tubuh orang angkuh seperti Ba Lei itu terbujur kaku dengan anak panah yang tertusuk padanya, He Xiao berasa seperti ingin memuntah darah sahaja.

Namun begitu, dia cuba memaksa dirinya untuk bertenang. Pembunuhan ini mungkin pembunuhan bebas oleh keluarga Bahatu untuk menghancurkan empayar Putera Yan itu. Lagipun, keluarga Batu Lama mempunyai sejarah hitam dengan Yan Shicheng. Tetapi setelah dia mengenal pasti ramai tentera dari Askar Berkuda Tanpa Gentar terlibat, dia terus dapat menyimpulkan pembunuhan ini telah diaturkan oleh empayar sendiri justeru, apa yang akan berlaku padanya yang telah mengarahkan tentera ini untuk mensabotaj operasi ini dan menyelamatkan Putera Yan Bei? Pada waktu itu, hanya satu perkara sahaja yang terdetik dalam fikiran He Xiao iaitu dengan menumpaskan Yan Xun dan mereka cerita seolah-olah berlakunya kesilapan.

"Orang yang nak saya mati tak lain dan tak bukan adalah Maharaja Xia."

Pada waktu itu semua orang terpaku!

Yan Xun duduk di atas kudanya sambil menjeling ke arah tentera yang ramai itu acuh tidak acuh sebelum pandangannya terpahat pada He Xiao. "Komander He, maaflah kerana libatkan kamu dalam hal ini. Tapi kalau kamu dan Garison Utusan Barat Daya yang lain bukan berasal dari Yan Bei, mungkin dengan menangkap saya akan mengubah takdir kamu." Ucapannya itu membuatkan mereka semua kembali tersedar. Setalah melihat wajah Yan Xun membuta tuli, mereka tiba-tiba memahami sesuatu.

Garison Utusan Barat Daya sudah terjerat. Jika itu merupakan pasukan tentera lain, perang saudara itu dapat dianggap sebagai memelihara ketenteraman awam. Namun jika pasukan tentera itu merupakan pasukan tentera yang selalu meraih perhatian dan disyaki bersubahat dengan pengkhianat dari Yan Bei oleh empayar, Garison Utusan Barat Daya pasti tidak akan terlepas dari tuduhan mengkhianat. Empayar, Majlis Ketua-ketua Terhormat malah istana Sheng Jin sendiri pun tidak akan memaafkan mereka. Jika berpatah balik pun maut sahaja yang menanti. Komander itu mula naik berang memikirkannya. Dia tahu semuanya dan dia sengaja menyediakan perangkap itu! Namun, dia tidak berkata apa-apa. Setelah beberapa ketika, amarahnya pudar dan kini perasaan terdesak mula meracuni fikirannya.

Seseorang yang berfikiran waras dalam berpuluh ribu tentera yang bergelimpangan di atas jalan sudah tentu tahu apa akan terjadi kelak. Walaupun keadaan kembali tenang pada dasarnya namun mereka yang lain berasakan tanah sudah bergegar seperti ingin runtuh sahaja. Mereka sama ada memerhatikan He Xiao, Yan Xun ataupun langit, berdoa supaya dapat keluar dari situasi bahaya ini.

He Xiao melompat turun dari kudanya lalu mengangkat tangannya. Dia menghadap tentera-tentera di belakangnya dan berkata, "Saudara-saudara! Ada seperkara yang saya terpaksa pendam selama lapan tahun ini tetapi hari ini saya akan mengatakannya! Selama lapan tahun itu, siapa yang menghalang pemberontakan Raja Cang Lang dan memecah masuk dari pengepungan di istana Sheng Jin untuk selamatkan Maharaja? Siapa yang meredah ribuan batu ke Sempadan Bai Ma untuk selamatkan Majlis Ketua-ketua Terhormat dan Pegawai-pegawai dari Empayar? Dan siapa pula yang telah mempertahankan Tanah Tinggi Yan Bei dan keluarga kita dari kekejaman pihak utara? Itu semua Raja Yan Bei sendiri iaitu Tuan Yan Shicheng! Tapi apa yang dibalas kepadanya? Pembunuhan kejam kepada seluruh keluarganya! Selama lapan tahun tentera Yan Bei kita dibuli oleh Askar Berkuda Tanpa Gentar dan Pasukan Tentera Hijau yang tak guna itu! Selama ini kita berdiam diri saja tapi sekarang, empayar mahu menghapuskan satu-satunya waris tunggal Tuan lama kita tanpa sebab yang kukuh! Sebagai seorang tentera Yan Bei, takkan kita nak biarkan saja, kan?"

"Tak!!" Teriakan tiba-tiba berkumandang. Banyak askar yang mengangkat senjata mereka dan pada saat itulah legenda Yan Shicheng yang hebat telah membangkitkan semangat mereka semula. Penindasan yang selama ini dirasai mereka mula meletus seperti gunung berapi.

"Saudara sekalian! Kita semua tentera Yan Bei! Malam ini kita dah bunuh mereka semua jadi sekarang kita dah sehaluan dengan Tuan Putera! Jika tiada Tuan Putera, siapa kita? Boleh ke kita berpeluk tubuh saja?"

"Tak!"

"Kita tak boleh mati!"

"Maharaja membayar ketaatan kita dengan kekejaman! Dia tak layak nak memerintah kita!"