Chapter 44 - Bab 44

Kerabat diraja selain dari keluarga Muhe sedang menikmati keseronokan untuk memburu. Mereka senyap-senyap berasa sangat gembira malah tiada sikit pun perasaan simpati terhadap kehilangan yang ditanggung oleh keluarga Muhe. Muhe Xifeng yang sering ingkar, dingin dan zalim itu banyak menghabiskan masanya di wilayah sempadan jadi tiada sesiapa yang menyokongnya. Lagipun orang sudah beranggapan dia telah lama sesat di dalam hutan dan tiada seorang pun yang berani menempah maut untuk menghancurkan rancangan jahat seorang elit yang sememangnya rapi.

Sudah tentu mereka juga sudah menjangka apa yang bakal terjadi.

Di dalam gua sekitar hutan tebal di barat laut, Yan Xun memerhati luka-luka dan lebam-lebam pada tubuh Muhe Xifeng. Dia tersenyum sinis sambil berkata dengan nada yang rendah, "Tuan Muhe, kamu apa khabar?"

Muhe Xifeng segera menoleh dengan matanya yang kelihatan seperti seekor serigala yang bengis. Kemudian, pandangannya yang tajam melirik ke arah Yan Xun dan dia pun berkata dengan nada yang dingin, "Yan Xun, kau tengoklah suatu hari nanti. Setelah apa yang kau dah lakukan pada aku, aku akan pastikan yang kau akan menyesal sebab lahir ke dunia ini."

Yan Xun hanya tersenyum sinis.

Muhe Xifeng mengetap giginya dan suaranya mula menjadi serak lantas kedengaran seperti seekor itik. Matanya bersinar kemarahan dan dia pun berkata, "Kau tunggu. Aku takkan lepaskan kau. Aku dah tidur dengan kakak kau dan aku akan rampas perempuan-perempuan kau yang lain. Yan Bei pun dah mati. Seluruh keluarga kau pun dah dipenggal dan tinggal kau seorang saja sebatang kara, si penakut lagi tak guna. Berani sangat ke kau nak bunuh aku? Pasti kau takkan membunuh aku. Kalau aku mati, pemburuan akan terjejas dan mereka akan mula menyiasat. Jangan harap yang keluarga Muhe aku akan lepaskan kau walaupun sesaat. Kau suka sangat hamba abdi itu kan? Kalau macam tu bawalah dia ke neraka bersama kau. Bolehlah kau dan dia bertemu dengan keluarga kau. Kau tu…"

Sebelum sempat dia menghabiskan kata-kata durjananya itu, anak mata Muhe Xifeng sudah terbeliak bersama darah yang sudah terpancut keluar dari lehernya.

Yan Xun melemparkan renungan yang penuh dengan kebencian pada wajah Muhe Xifeng yang meronta-ronta. Dia kemudian mencemuh, "Dasar tahanan tak sedar diri. Dah jadi tahanan pun nak berlagak sombong lagi. Bodoh betul."

Tubuh Muhe Xifeng kemudian terhempas ke lantai dan terbujur di situ. Kesan darah di pedang dilap oleh Yan Xun dengan bajunya. Dia kemudian memanggil orang-orang suruhannya untuk mendekati lantas berkata, "Ah Jing, bagi harimau-harimau tu makan dan tinggalkan petunjuk supaya dapat mengumpan keluarga Muhe ke sini."

"Cik Chu Qiao sudah siapkan perangkap untuk Zhao Che dan Wei Jing. Okey tak kalau begitu?"

Yan Xun mengangguk lantas berjalan keluar dari gua dan melompat naik ke atas kudanya. Sebelum beredar dia berkata, "Ikut saja cakap dia." Setelah itu, dia pun menunggang kudanya pulang ke khemah.

"Cik," Jia He memasuki khemah dan berkata dengan teruja, "Putera Yan dah kembali."

Chu Qiao mengangguk dan bertanya, "Tugas kamu dah selesai?"

"Semuanya berjalan dengan lancar tanpa cacat-cela."

"Bagus." Chu Qiao mengangguk dan berkata lagi, "Kamu semua pergilah rehat."

"Baik."

Tirai tiba-tiba dinaikkan dan Yan Xun berjalan masuk ke dalam khemah. Kepalanya habis diselaputi salji jadi Chu Qiao pergi kepadanya untuk menyapu salji-salji yang berada di atas kepalanya itu sambil bertanya, "Semuanya berjalan lancar?"

"Baik-baik saja." Yan Xun menanggalkan kotnya dan melabuhkan punggung di hadapan pendiang. "Huru-hara akan bermula menjelang pagi esok."

"Jadi?" Chu Qiao menggelengkan kepalanya. "Mustahil bagi mereka untuk bongkarkan siapa pembunuhnya. Dia sudah terlalu banyak berbuat jahat kepada orang ramai. Kita pula bukannya sesiapa di ibu negeri dalam masa tujuh tahun lepas. Mana boleh kita ambil risiko untuk melakukan jenayah sedangkan kawasan dikawal rapi, kan? Lagipun, Zhao Che dan Wei Jing dah kembali ke ibu negeri. Jika dibandingkan dendam kesumat antara Zhao Che dengann dia, kebenciaan Wei Jing kepada keluarga Muhe lebih mendalam untuk menuduh kita yang membunuhnya."

Yan Xun hanya menelengkan kepalanya sedikit sambil tersenyum. "Dia buli kau ke semalam?" Soalnya.

Chu Qiao terpaku. Dia menggelengkan kepalanya sambil ketawa. "Taklah. Bila masa pula aku dibuli?"

Yan Xun mengangguk dan berkata, "Baguslah kalau begitu."

Di saat salji turun dengan lebat di luar jendela, Yan Xun yang berada di dalam khemah mengutip sekeping kertas kuning dan memadam nama Muhe Xifeng yang terdapat di dalamnya. Maka kuranglah seorang nama musuh lagi yang terdapat dalam senarai nama musuh Yan Bei.

Pada hari kedua pemburuan musim bunga, ahli terulung dalam kalangan generasi muda keluarga Muhe iaitu Muhe Xifeng telah terkorban di hutan Xi Bai. Tubuhnya dimakan harimau, tulang-tulangnya patah dan retak manakala isi perut sudah habis terburai dek dimamah oleh haiwan itu. Lebih separuh daripada tubuhnya sudah lesap sebaik sahaja dia ditemui. Jika tiada ibu Muhe Xifeng di tempat kejadian, tiada sesiapa lagi yang dapat mengecam mayat kepada seorang yang sukakan perhatian serta bersemangat waja dan juga merupakan waris tertua bagi keluarga Muhe itu.

Suasana di tempat pemburuan mula menjadi tegang. Muhe Xifeng telah mengetuai pasukannya hampir sepanjang tahun dan semangat juangnya bukanlah calang-calang. Selalunya tiga puluh ke lima puluh orang pun terpaksa bersusah-payah untuk mendekatinya, jadi seekor harimau pasti takkan mampu untuk menandinginya. Lagipun, tiada bukti yang menunjukkan ada pergaduhan teruk yang berlaku di tempat kejadian, bahkan pedangnya masih terletak kemas di dalam sarung pedang. Dengan perasaan curiga, keluarga Muhe Xifeng telah menghantar tugu peringatan kepada Maharaja bagi merayu kepada istana Shang Lu untuk menyiasat kes ini kerana mereka yakin Muhe Xifeng telah mati dibunuh oleh seseorang.

Mulai saat itu, keadaan mula menjadi tidak terkawal. Suatu saat nanti, keluarga Muhe akan mengetahui segalanya yang berlaku oleh sebab kuasa yang dimiliki mereka di istana diraja. Di Majlis Ketua-ketua Terhormat, keluarga Mu dari Liang Nan tidak suka membabitkan diri dalam kekecohan atau pertengkaran yang berlaku di dalam Majlis. Keturunan Zhuge pula tidak pernah menonjol manakala keluarga Helian sudah mula membantah sejak generasi yang lampau dan mereka telah diasingkan oleh Majlis. Asal suku keluarga Shang dari Dong Yue juga ialah keagamaan jadi mereka tidak begitu berpengaruh dalam politik negara. Selain itu, keluarga Batuha di utara sudah lama berada di wilayah barat laut. Bidang kuasa mereka sedikit dan hanyalah bergantung pada keluarga Muhe untuk menjalani kehidupan. Yang tinggal kini hanyalah keluarga Wei yang telah melakukan dosa besar dan mampu menandingi keluarga Muhe. Setelah Wei Jing dilucutkan jawatannya dari majistret Ibu Negeri, yang tinggal hanyalah keluarga Muhe yang terdiri daripada seorang Maharani dan tiga lagi gundik di samping Maharaja. Sudah tentu mereka akan menjadi sebuah keluarga yang paling berkuasa.

Pegawai kerajaan Jiu Cheng memasuki arena pemburuan dan memilih orang untuk disoal siasat dengan rawak. Hutan Xi Bai merupakan kawasan yang tertutup jadi orang luar tidak dibenarkan masuk. Surat rasmi untuk melalui kawasan tersebut pun harus diawasi dan disemak supaya pesalah-pesalah tidak menggunakan helah ini untuk melepaskan diri. Keluarga Diraja Empayar Xia telah menzahirkan rasa simpati dan sokongan mereka kepada keluarga Muhe atas kehilangan mereka dan telah berjanji mereka akan membantu untuk menangkap pembunuh sebenar. Lantas, pemburuan pun terjejas.

Menjelang malam hari di khemah Yan Xun yang terletak di wilayah barat daya kawasan pemburuan, tirai khemah yang diperbuat daripada kulit beruang itu dibuka. Udara sejuk bertiup masuk ke dalam khemah dan menyebabkan lilin-lilin yang terletak di atas meja berkelip-kelip setelah ditiup angin. Seorang lelaki berpakaian putih menoleh dengan renungan yang dalam dan suram.

"Putera Yan, Cik Chu Qiao ada di sini?" Ah Jing tercari-cari di sekitar khemah. Sebelum sempat dia beredar, Yan Xun mengerutkan dahinya dan bertanya, "Kenapa?"

"Tuanku Ketiga belas telah mengarahkan orang gajinya untuk menghantarkan ini kepadanya."

Yan Xun mengerutkan keningnya lantas meletakkan bukunya di atas meja dan berkata, "Kalau begitu letak saja di sini."

"Baik." Jawab Ah Jing lantas meninggalkan khemah setelah meletakkan bungkusan tersebut di atas meja. Angin kencang di luar menyebabkan atap khemah dipukul kuat, Yan Xun menunggu dengan muram apabila melihat tirai yang dah lama tidak dibuka dikepak-kepak dek ditiup angin. Kemudian pandangannya terlirik kepada bungkusan di atas meja.

Bungkusan tersebut kelihatan besar dan diperbuat daripada sulaman sutera ungu Jiangsu. Kain pembalutnya berlatar belakangkan kain broked yang disulamkan dengan teratai putih dan bulan pudar. Hujung kedua-dua belah bungkusan tersebut pula telah disimpulkan dengan tali supaya kandungan bungkusan itu tidak dapat dilihat.

Yan Xun menjeling ke arah bungkusan tersebut sebelum kembali ke bukunya. Khemah tersebut terasa sunyi sehinggakan mampu terdengar tapak kaki askar-askar di luar khemah. Namun begitu, Yan Xun tiba-tiba berasa menyampah untuk menyambung pembacaannya dalam keadaan sunyi seperti itu, lantas dia terbangun dan mengatur langkahnya ke penjuru khemah untuk membancuh air teh. Aroma daun teh sememangnya sesuatu yang menyegarkan baginya. Teh tersebut merupakan teh baharu yang digunakan sebagai tanda penghormatan Ling Nan kepada Maharaja. Zhao Zhengde tidak menggemari teh jadi dia telah memberikannya kepada semua orang di istana. Ling Nan terkenal dengan teh sutera dan teh ini dinamakan "Perempuan Merah". Khabar angin mengatakan anak-anak dara menggunakan lidah mereka untuk memetik daun-daun teh ini pada waktu pagi jadi sudah tentu ia amat bernilai. Walaupun rasanya sama sahaja dengan teh biasa tetapi perasaan ketika meminum teh ini berbeza dengan teh yang lain dan jauh lebih bagus.

Dengan status Yan Xun di istana sekarang, dia tidak boleh menikmati pelbagai tanda penghormatan. Tapi apa yang mereka tidak tahu ialah putera mahkota Yan Bei yang tinggal di ceruk istana ini merupakan seorang pengusaha kedai teh terbesar di Ling Nan. Kerabat diraja Ling Nan dan suku keluarga Mu sendiri pun tidak mengetahui perkara ini.

Yan Xun memegang cawan tehnya dan kembali ke meja, aroma teh tersebut berjaya menenangkannya. Yan Xun kemudian mengecilkan matanya tetapi masih dalam keadaan tenang dan berjalan dengan berhati-hati, tetapi sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di kerusi, tapak tangannya terteleng dengan tidak sengaja dan menyebabkan air teh itu tertumpah dan mengenai bungkusan tadi. Habis basah dibuatnya bungkusan itu. Namun, Yan Xun masih kelihatan tenang dan setelah beberapa ketika barulah dia menggumam sendirian, "Sudah alang-alang aku buatkannya basah, lebih baik buka saja bungkusan ini."

Setelah lewat malam, barulah ternampak kelibat Chu Qiao. Sebaik sahaja berbual dengan Ah Jing, Chu Qiao terus pulang ke khemah Yan Xun dan berkata, "Yan Xun, kau cari aku?"

"Oh." Yan Xun meletakkan bukunya di atas meja dan berdiri. Jubah putihnya kelihatan bercahaya dan bersinar-sinar disebabkan pantulan api di pendiang. "Kau dah pulang. Pasti sejuk di luar kan?"

"Okey sahaja." Chu Qiao kemudian berjalan ke arah pendiang sambil menanggalkan sarung tangan berbulu musangnya itu lantas dia pun memanaskan tangannya sambil bertanya lagi, "Kenapa kau cari aku?"

"Tak ada apa. Yu Hetian datang untuk bertanya ke mana aku pergi semalam."

Chu Qiao hanya tertawa sambil berkata, "Mereka semua itu khuatir macam cacing kepanasan, tak boleh duduk diam. Yu Hetian sudah lama berada di utara dan berusaha keras untuk menaiki pangkat dari pegawai biasa. Setelah Zhao Che dibuang negeri ke wilayah sempadan, terdetik hubungan persahabatan antara mereka pula. Kalau bukan sebab Zhao Che, mana boleh dia naik pangkat secepat itu, kan? Apabila dia lihat Zhao Che ditimpa masalah hari ini, pasti dia tidak akan berdiam diri. Tetapi menurut tekaan aku, Zhao Che pasti tidak menjemputnya ke sini sebab dia itu seorang yang angkuh."

Yan Xun mengangguk dan berkata, "Sewaktu dia di sempadan utara, dia ada berhubung dengan ayah dan abang aku yang lain."

"Yu Hetian itu jahat. Dulu pun dia mengkhianati Yan Bei dengan memberikan peta topografi kepada ibu negeri dan kali ini dia datang nak kumpulkan makumat berguna pula? Kalau kau tak nak berurusan dengan dia, biar aku saja yang berurusan dengannya."

"Baiklah. Lagipun aku dah meluat tengok mukanya."

Cahaya lilin mula berkelip-kelip lagi apabila Chu Qiao bergerak mendekati pendiang. "Kalau begitu senang saja. Kita hanya perlu mencari peluang yang sesuai untuk beritahu Zhao Che dia datang ke khemah kita malam ini. Dengan perangai paranoid dan angkuh Zhao Che itu, dia pasti akan melindungi dirinya daripada kata-kata Yu Hetian lantas tak mengendahkannya. Aku rasa kita pun patut mengelak daripada berurusan dengannya sendirian." Ujarnya lagi.

"Baiklah kalau begitu." Yan Xun mengangguk dan menambah lagi. "Kau boleh merancangnya."

"Tapi Yan Xun, kau cari aku atas sebab ini saja?"

"Taklah." Yan Xun bangun dan berjalan ke arah platform di belakang khemah dan mengambil sebuah kotak yang diperbuat daripada jed putih. "Wenting ada menghantar pakaian semalam tetapi aku rasa dia dah tersalah ambil pakaian. Ini pakaian untuk wanita jadi kau boleh ambil." Ujarnya.

Chu Qiao kemudian mengambil kotak tersebut. Dia mengerutkan dahi dan berkata, "Ji Wenting sering beri kau hadiah, takkanlah dia salah pula kali ini?" Setelah membukanya, matanya bersinar-sinar. Dalam kotak tersebut terdapat sepasang kot yang diperbuat daripada bulu musang putih. Ia bukan sahaja kulit musang yang besar malah seluruhnya diperbuat daripada kulit musang. Bulunya berwarna putih tanpa tompokan dari warna lain dan lembut bagaikan sutera. Di bahagian kolar terdapat helang berbulu putih yang disulam padanya manakala bahagian lapel kot pula bercahaya dan berkilau bak permata dari laut hitam. Sekilas pandang pun pasti sudah tahu kot itu sangat jarang ditemui dan tiada nilainya.